HOT SITE CLICK HERE Mereka yang mendapat hidayah-Nya | Islam For All
Breaking News
Loading...
Sunday, January 12, 2014

Mereka yang mendapat hidayah-Nya






Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilahirkan oleh ibubapa Melayu yang beragama Islam. Lahir saja kita ke dunia ini sebagai anak orang Islam, telah diasuh dan dididik dengan ajaran-ajaran Islam. Bagaimana pula mereka yang dilahirkan dari ibubapa yang bukan Islam? Dari kecil lagi telah disesatkan dan disemaikan dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan oleh ibubapa mereka. Mereka yang mendapat hidayah-Nya sahaja yang terselamat dari api neraka dan azab Allah setelah  memeluk Agama Islam. 


Kita janganlah menghukum dan membuat berbagai tafsiran sendiri setelah mereka ini memeluk agama Islam kerana itu adalah ketentuan Allah SWT kepada seseorang hamba-Nya. Ada yang memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki Islam. Ada setengah paderi agama Nasrani yang mendapat hidayah setelah lama mencari kebenaran pencipta-Nya.

Ada yang mendapat hidayah mungkin disebabkan oleh kejadian yang berlaku seperti kematian, kemalangan, sakit atau perkara-perkara yang kita tidak ketahui. Hanya dengan sedikit keajaiban dari Allah SWT kepada mereka, membuat pintu hati mereka terbuka dan mendapat hidayah sehingga menjadi seorang muslim yang begitu taat berbanding kita yang "Born Muslim".

Lihatlah beberapa orang tokoh agama yang dilahirkan bukan dari perut bukan orang Islam seperti Ustaz Farid Ravi Abdullah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan beberapa orang lagi pendakwah bebas yang penulis lupa nama mereka. Setelah memeluk Islam, mereka ini mendalami ajaran Islam sehingga kita pula belajar dan mendengar ceramah Islam dari mereka.    

Sesetengah daripada orang-orang Islam yang mengaku Islam tapi bergelumang dengan maksiat serta melanggar perintah Allah SWT. Mereka ini tidak mendapat hidayah-Nya. Ini yang kita takutkan kerana jika tidak sempat bertaubat. Apabila mati nanti, zahirnya sahaja Islam, tetapi batinnya kafir. Maka kematiannya seperti orang-orang kafir yang lain. Nau'zubillahi minzalik...

Berbalik kepada perkara tajuk. Apa itu hidayah? Hidayah adalah sebuah kata yang kerap digunakan oleh orang-orang yang merasa dirinya telah kembali atau menemukan jalan kembali menuju ke Tuhannya

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Dengan mengingati mati cukuplah bagi seseorang untuk tidak menyukai dunia, dan menyukai akhirat.”

At-Tabari pula meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “cukuplah kematian itu sebagai nasihat untukmu.” Justeru itulah, maka Rasulullah SAW menyuruh kita supaya memperbanyak mengingat kepada hancurnya semua kenikmatan dunia, iaitu mati, sebagaimana baginda menyuruh kita untuk memperbanyak menziarahi kubur. Hanya kerana dengan demikian akan mengingatkan kita kepada akhirat dan sesungguhnya dengan menyaksikan kematian itu juga telah ramai orang yang bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar.

Adapun saudara baru kita ini bernama Khalid Markin yang sebelum Islamnya bernama Williem Michael Machillin, dia masuk Islam disebabkan menyaksikan kematian. Kematianlah yang mendorong ia untuk berfikir tentang perkara-perkara sesudah kematian itu dan hikmah dari kehidupan ini. Kemudian kematian pula yang mendorongnya berfikir tentang yang menghidupkan dan yang mematikan, lalu ia menemukan bahawa sesungguhnya Bonda Perawan (Maryam) dan Al-Masih keduanya, mati seperti kematian manusia lainnya.

Orang-orang yang mendapat HIDAYAH-NYA akan sentiasa:-

1. Merasakan kemudahan dalam beramal soleh.
Orang yang telah mendapatkan hidayah akan merasa mudah atau ringan dalam melaksanakan amal soleh, rajin dan tekun dalam beribadah, serta sangat takut berbuat kedurhakaan. Sementara orang yang tidak mendapatkan hidayah-Nya akan merasa malas dalam beramal soleh dan tidak merasa bersalah kalau berbuat maksiat. 
Allah SWT. berfirman, “Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk mendapat petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (QS Al-Anam 6: 125)
2. Merasakan kerinduan kepada Allah SWT.
Orang yang mendapatkan hidayah, setiap relung hatinya terisi dengan kerinduan kepada Allah swt. Jika nama Allah swt. disebut, akan bergetar hatinya, Kalau dibacakan firman-Nya, akan bertambah imannya; ia bertawakal, mendirikan shalat, dan mengeluarkan zakat sebagai ekspresi syukur atas nikmat yang diterimanya.
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.” (QS Al-Anfal 8: 2-4)
3. Konsisten atau Istiqamah.
Orang yang mendapatkan hidayah akan istiqamah atau konsisten dalam menjalankan perintah-perintah-Nya. Ia akan merasa nikmat saat beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam ayat berikut, 
Firman Allah SWT bermaksud, “Barangsiapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS Ali-Imran 3: 101). 
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah suka apabila seorang hamba mengerjakan suatu pekerjaan dan dia konsisten melakukannya.” (H.R. Baihaqi)
Ketaatan  mereka dalam memegang ajaran agama diumpamakan dalam ayat berikut. 
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik (la Ilaha Illallah) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (QS. Ibrahim 14: 24-25)
4. Bersemangat dalam mempelajari ajaran agama.
Orang yang mendapatkan hidayah akan memiliki semangat untuk selalu menelaah ajaran-ajaran Allah. Islam itu agama yang harus difahami, bukan sekadar diyakini. 

Rasulullah saw bersabda, 
”Apabila Allah akan memberikan kebaikan pada seseorang, Dia faqihkan orang tersebut dalam agama.”
Yang dimaksud dengan Dia faqihkan orang tersebut dalam agama yaitu orang tersebut bersemangat untuk menelaah ajaran-ajaran Islam.

5. Sabar menghadapi berbagai ujian. 
Allah swt. memberikan kehidupan kepada manusia sebagai ujian. Siapakah di antara hamba-Nya yang paling baik amalnya. Kehidupan dunia merupakan ladang amal. 
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (QS. Al Mulk 67: 2)
Orang-orang yang mendapatkan hidayah akan tahan menghadapi berbagai ujian kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam ayat berikut. 
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS Al-Baqarah 2:155-157)
Pada akhir ayat di atas tertulis dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. Ini merupakan pengunci ayat yang menegaskan bahawa orang-orang yang bersabar adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk atau hidayah-Nya.

Orang-orang yang DITUTUP hijabnya:-

Hijab Pertama.

Jahil.
Disebabkan keperluan Ilmu untuk mencapai hidayah, maka Ahli Sunnah mewajibkan menuntut ilmu di atas setiap muslimin dan muslimat.

Hijab Kedua.

Bid’ah
Amal soleh yang kita kerjakan mesti selari dengan  dengan 2 syarat :
1.Demi wajah Allah SWT dan suci daripada Syirik
2.Mengikut Sunnah Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, semua amalan yang tidak pernah Rasululah SAW lakukan pasti Allah SWT menolaknya tanpa diragui.

Hijab Ketiga.

Orang yang memilki sifat-sifat rohani yang keji atau sifat-sifat mazmumah seperti Takabbur,hasad, ujub, bangga dengan diri. sendiri, bakhil, melakukan perkara sia-sia serta perbuatan berzina, minum arak, mencuri dan sebagainya daripada kategori sifat-sifat mazmumah, maka pemilik kepada sifat-sifat tersebut sebenarnya adalah manusia yang terhalang daripada mendapat Hidayah Allah SWT, walaupun pada zahirnya dia seorang yang berpakaian Islam setiap hari.

Hijab Keempat.

Orang yang berusaha kearah mencuri sesuatu secara bijak seperti melalui akaun dan projek-projek kerajaan, pengusaha yang mencari arak dan lain-lain usaha kearah mendapat dosa-dosa besar. Semuanya pasti terhalang daripada mendapat hidayah Allah SWT, walaupun disertai dengan taubat. Selagi pakaian dan segala kemudahan hidupnya berhasil daripada perkata haram pasti dia bukan dari golongan yang mendapat hidayah Allah SWT, begitu juga daging tubuhnya yang sebesar zarah yang terhasil daripada makan haram tidak dibenar daripada tubuhnya, pasti Allah SWT menolak Taubat  Nasuhanya, Haji dan Umrah yang Ikhlas, solat dan Puasa yang sempurna, sedangkan tubuh yang berada di atas sejadah adalah Tubuh dan Tulang yang 
bercampur dengan perkara-perkara haram pasti Allah SWT menolak amalan dan doa mereka.

Hijab Kelima.

Dosa-dosa kecil yang telah sebati dengan kehidupan harian, kerana orang-orang mukmin tidak akan merosakkan amalan atau perbuatan soleh kepada Allah SWT dengan dosa-dosa kecil, kenapa kita harus merosakkan nasi yang kita makan dengan najis seperti tahi ayam .

Hjiab Keenam.

Syirik kepada Allah SWTyang kita tidak sedar.
Zaman moden begini syaitan telah menggunakan segala kecanggihan IT dan Teknologi untuk merosakkan pandangan mata dengan nikmat berzina melalui mata, mulut berzina melalui perbualan-perbualan lucah dan lain-lain kecanggihan yang telah merosak kehidupan manusia segala-galanya syaitan baluti dan hiasan dengan seni ukiran syaitan. Sebenarnya IT dan Teknologi adalah digunakan menyembah Allah SWT .
Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu Kami menghimpun mereka semuanya kemudian Kami berkata kepada orang-orang musyrik: “Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) Kami?”.Semua makhluk Allah yang mukallaf.Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: 
Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah”. Yang dimaksud dengan fitnah di sini ialah jawapan yang berupa kedustaan. Lihatlah bagaimana mereka telah berdusta kepada diri mereka sendiri dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan.

Hijab Ketujuh.

Perut yang dipenuhi dengan bahan-bahan haram. Pasti segala tenaga dan kudrat tubuh yang bersumberkan perkara haram tidak akan dapat memancarkan Cahaya dan Tenaga Allah SWT yang suci murni.

Hijab Kelapan.

Hidup yang dipenuhi dengan kelalian. Lihatlah setiap hari aktiviti tidak menuju ke Rumah Allah SWT, Setiap hari kita tidak rindu kepada wajah Allah SWT, kita penuhi perbuatan sia-sia sehingga kita menipu diri kita dengan dikir barat Islam ,piala bola dunia Islam, nyanyian dan nasyid Islam, Al-Quran dibaca berserta muzik secara Islam, sukan berbentuk Islam dan sebagainya kita cuma namakan segala ciptaan kita dengan Islam , lalu kita berdoa kepada Allah SWT agar amalan yang kita ciptakan mendapat pahala disisi Allah SWT.

Hijab Kesembilan.

Menjadikan budaya dan adat kita sebagai ibadat kepada Allah SWT, kita sanggup katakan permainan gasing , wau, dikir barat dan sebagainya adalah satu ibadat. Sesungguhnya kita tidak segan dan silu memaksa Allah SWT menerima permainan budaya kita sebagai ibadat, sedangkan budaya dan adat Rasulullah SAW telah Allah SWT Nobatkan sebagai Ibadat dan Allah SWT telah janjikan budaya dan adat Rasulullah SAW akan tetap diberkati sehingga Hari Kiamat.

Hijab Kesepuluh.

Golongan yang cintakan:
1.Kepentingan peribadi.
2.Syaitan.
3.Dunia
4.Hawa Nafsu

Telah membudayakan manusia agar segala kemudahan nikmat dunia dan pancaindera yang Allah SWT kurniakan benar-benar tidak digunakan untuk Allah SWT, malah dengan tidak segan dan silu maka manusia zaman ini telah melakukannya dengan penuh ketaatan kepada syaitan, segala nikmat dan pancaindera telah dikerahkan kepada program-program berbentuk maksiat setiap saat.

Waallahu alam.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved