HOT SITE CLICK HERE MASJID TEMPAT TURUNNYA RAHMAT ALLAH | Islam For All
Breaking News
Loading...
Tuesday, January 14, 2014

MASJID TEMPAT TURUNNYA RAHMAT ALLAH





Umat Islam sentiasa mencari ketenangan, kasih sayang, kesucian jasmani dan rohani di rumah Allah SWT. Masjid menjadi pilihan mereka yang mendambakan kebahagiaan hidup setelah puas dilanyak kerasnya ujian duniawi. Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram sehingga surut segala kesakitan yang diderita. Di masjid bermulanya tapak keimanan yang disemai tumbuh menjadi pohon-pohon berakar kuat, tidak mudah rebah dihempas badai kehidupan. Di masjid pula diharapkan tersedia khazanah ilmu yang boleh menjawab setiap persoalan hidup yang dihadapi setiap anak manusia.

Ketenangan hidup, kasih sayang hakiki dan kesucian rabbani sememangnya wajar menjadi moto bagi setiap masjid yang berdiri megah di tengah kekalutan dunia maksiat. Nilai itu adalah jawapan paling tepat dengan keperluan manusia moden yang hampir-hampir kehilangan nurani manusiawi. Tetapi sayang, kadangkala dijumpai suasana yang bertolak belakang dengan semangat ketenangan, kasih sayang dan kesucian. Ada sesetengahnya yang ternoda oleh semangat perpecahan, persengketaan hingga perebutan kuasa yang memanaskan suhu masjid ke tahap yang amat membimbangkan.


Jika pada zaman sahabat terkorban di mihrab masjid Nabi, yang menumpahkan darah Umar al-Khattab sewaktu mengimami jemaah, demikian pula tragedi berdarah di masjid Kufah yang mengorbankan Saidina Ali Abu Talib maka saat ini tidak mustahil perpecahan umat Islam yang dihasilkan api permusuhan boleh mencetuskan pertumpahan darah juga.

Benarlah firman Allah SWT mengenai mahalnya harga persaudaraan yang bermaksud; 


“Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal ayat: 63)
Umat Islam di negara ini selayaknya bersyukur dengan limpah kurnia rahmat-Nya yang menyatukan hati umat Islam dalam keadaan berkasih sayang. Sunnah Rasulullah SAW yang mengajarkan selembut-lembut akhlak menjadi pegangan umat yang memakmurkan masjid dengan semangat kasih sayang. Padahal di belahan dunia Islam lain telah terjadi pertumpahan darah atas sebab fanatik mazhab seperti pembunuhan silih berganti antara penganut Syiah dan Sunni di Iraq menjadi berita hangat hampir setiap hari. Baru-baru ini Hamas yang memperjuangkan Islam dari kekejaman Israel terpaksa menghadapi musuh dalam selimut di kalangan umat Islam sendiri. Sehingga terpaksa menjaga khatib yang berkhutbah dengan senjata kerana keadaan darurat ini.

Masjid yang dibina dengan asas teladan sunnah Rasulullah SAW amat menekankan hubungan hati antara hamba dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia. Orang yang berhimpun di dalamnya bersedia menggantungkan pakaian dunia di luar pagar masjid. Mereka menggantikan pakaian itu dengan pakaian takwa yang mampu menundukkan hawa nafsu di bawah kawalan iman sepanjang masa. Walaupun mereka keluar dari masjid dan kehidupan berubah menjadi sibuk oleh urusan dunia tidak sekali mereka dilalaikan olehnya kerana setelah keluar dari masjid pakaian taqwa kekal digunakan hasil semangat solat yang berkualiti.

Untuk memastikan fungsi masjid berjalan selari dengan sunnah Rasulullah SAW sewajarnya ahli masjid sentiasa beringat dan bermuhasabah mengenai peranan mereka dalam menghidupkan rumah Allah SWT yang suci ini.

1. 
Memperbaharui niat.

Orang munafik di Madinah yang diketuai Abdullah bin Ubay bin Salul amat membenci perpaduan umat Islam, mereka faham mengenai kedudukan Masjid Nabi yang mampu menghimpunkan hati-hati orang mukmin sehingga kekuatan mereka semakin padu. Oleh itu mereka telah membina satu masjid yang bertujuan untuk memberi saingan kepada umat Islam, memecah belah perpaduan dan menghasut mereka untuk saling membenci sehingga terbantutlah usaha Rasulullah SAW membina kekuatan umat.

Allah SWT telah menurunkan wahyu-Nya mengenai keadaan mereka yang mempunyai niat yang keji ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 


“Dan (di antara orang munafik itu) ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang beriman.  (Surah al-Taubah ayat: 107)
Apabila hati telah berkata-kata walaupun tidak didengari orang ramai, maka siapakah yang boleh berdusta di hadapan Allah di atas kata hatinya itu? Melakukan amal salih wajib dengan niat yang ikhlas, seseorang yang suka memakmurkan masjid tetapi dengan maksud di luar niat lillahi Taala tidak akan mendatangkan kebaikan untuk agama dan dunianya.

2. 
Masjid tempat turunnya rahmat Allah kepada orang yang berkasih sayang.

Asas berdirinya negara Islam pertama didahului dengan terbinanya masjid. Sebelum Baginda SAW memilih tapak rumahnya terlebih dulu Baginda mencari tapak untuk dibangunkan masjid. Baginda melihat kepentingan menyatukan hati umat dengan simbol masjid sebagai alat perpaduan kerana hanya Allah SWT yang berkuasa menyatukan hati manusia. Detik-detik pertama berkembangnya negara Islam pertama itu telah dihidu oleh musuh lama yang
mencari peluang merosakkan kasih sayang di antara sesama muslim. Mereka amat membenci sabda-sabda Rasulullah SAW yang mengajak kepada perpaduan umat seperti sabda baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu berhasad dengki, jangan belakang membelakangi, jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” - (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Kasih sayang adalah sunnah Rasulullah SAW, walaupun ramai yang berusaha kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah jarang sekali yang tidak diduga dengan konflik perbezaan fahaman akibat ketaksuban nafsu. Hatta di dalam masjid pun mereka bertelingkah kerana isu peribadi. Hal ini amat bertolak belakang dengan semangat adab dan akhlak yang diajarkan Rasulullah SAW kepada umat.

3. 
Masjid sebagai corong dakwah.

Ahli masjid yang terpanggil memikul amanah dakwah sebagaimana yang diwarisi daripada Rasulullah SAW sentiasa mencari alternatif yang sesuai untuk mema-syarakatkan masjid di hati umat. Jika baik dan lancar fungsi dan peranan masjid yang dibina, nescaya baik pula masyarakat di sekelilingnya.

Program keilmuan yang ditawarkan hendaknya boleh menarik minat umat Islam tanpa memandang usia. Tidak sepatutnya yang memegang kuasa di setiap masjid itu mereka yang ketandusan idea dalam melancarkan program dakwah. Ahli masjid yang beramanah dituntut untuk menguasai keadaan masyarakat sekitar yang memerlukan asuhan dan bimbingan. Program media bersama masjid, remaja angkat masjid, program bimbingan belajar dan tuisyen, sukan dan seni, hiburan dan rekreasi, tempat bimbingan kewangan dan kerjaya untuk fakir miskin diharapkan boleh menyelesaikan setiap permasalahan umat.

Tidak mustahil ketenangan, kasih sayang dan kesucian jasmani dan rohani akan tercipta hasil daripada usaha gigih ahli masjid yang beramanah. Mereka adalah penyambung dakwah Rasulullah SAW yang berhak menerima balasan berlipat ganda daripada Tuhannya sekiranya mereka berjaya menjadikan semangat masjid itu wujud di tengah-tengah masyarakat yang kini kian berkecamuk.
 



Wasallam.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved