HOT SITE CLICK HERE Demi masa | Islam For All
Breaking News
Loading...
Thursday, January 16, 2014

Demi masa






"Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran. "
Allah Maha Mengetahui keadaan dan nasib manusia kerana Dialah yang mencipta manusia itu. Dalam surah Al-Asr ini, Allah bersumpah bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali 4 golongan iaitu:
1.Mereka yang beriman 
2.Mereka yang beramal soleh 
3.Menasihati atas kebenaran dan 
4.Menasihati atas kesabaran 
Ini bermakna semua manusia tanpa mengira kedudukan sama ada kaya, miskin, berpelajaran tinggi, keturunan bangsawan atau peminta sedekah; kesemuanya Allah memberi amaran/ingatan tentang kerugian yang menimpa mereka. Untuk mengelakkan dari kebinasaan dan kerugian ini, mereka diberikan 4 alternatif seperti yang disenaraikan di atas; iaitu beriman, beramal soleh, bercakap atas kebenaran dan juga atas kesabaran.


1. Manusia yang beriman ialah mereka yang mempunyai kesedaran tertinggi dan meyakini bahawa di sebalik alam yang luas ini, ada 'zat' yang MAHA BESAR dan MAHA KUASA yang mencipta dan mengendalikan keseluruhan alam ini. Begitu juga di sebalik alam nyata ini ada lagi alam kehidupan yang lebih besar dan indah iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan abadi bagi setiap manusia. Sesiapa juga manusia tanpa mengira apa kedudukan sosio-ekonominya, akan terjerumus ke dalam api neraka yang amat panas sekiranya tidak mempunyai keimanan terhadap perkara-perkara ghaib ini.
Hidup di dunia ini adalah sementara. Kita akan berpindah ke alam barzakh (awal alam akhirat) tidak lama lagi iaitu selepas kita dimatikan. Yang dapat menyelamatkan kita di kubur ialah iman kepada Allah. Termasuk dalam ertikata iman ialah bukan setakat mempercayai Allah sahaja tetapi mesti dibuktikan dengan amalan. Jadi iman dan amal soleh ialah gandingan terbaik untuk menempuh dugaan di alam akhirat. Iman tanpa amal adalah ibarat pokok tanpa buah. Oleh itu kita dikehendaki melengkapkan diri dengan iman dan amal supaya hidup kita tidak sengsara sepanjang hayat tanpa batas waktu di akhirat.
2. Manusia kedua yang tidak akan rugi ialah mereka yang beramal soleh atau mengerjakan kebajikan. Orang yang meninggal dunia tanpa sebarang kerja kebajikan atau amal soleh akan rugi kerana mereka akan diseksa di dalam api neraka. Nasib kita di akhirat tidak sekali-kalibergantung kepada harta kekayaan, kedudukan pangkat atau pengetahuan tetapi sebaliknya ia dinilai dengan amal solehnya. Sungguhpun begitu ada juga orang yang rajin membuat amal kebajikan tetapi sayangnya tidak mempunyai keimanan terhadap Allah. Golongan seperti ini adalah rugi juga kerana tidak mempunyai asas aqidah terhadap Allah yang wajib ada dalam setiap individu. Kesemua amalan kita tidak akan diterima Allah jika tidak berpaksi kepada dasar keimanan kepada Allah.
Oleh sebab itu, kita seharusnya menggunakan masa hidup kita yang tidak lama ini untuk melakukan amal soleh sebanyak--banyaknya . Alangkah ruginya seseorang yang berbadan sihat, tegap,mempunyai hartabenda yang banyak tetapi seluruh kekuatan, kesihatan dan harta bendanya digunakan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja. Lebih dahsyat lagi jika ia digunakan untuk melakukan maksiat, aniaya, fitnah dan menzalimi orang lain. Sepanjang hidup ini kita tidak lari dari melakukan 2 perkara sama ada amal soleh (baik) atau amal tholeh (jahat). Orang yang berjaya ialah mereka yang beramal soleh bukan beramal tholeh. Diri kita adalah sebaik-baik kompas untuk menilai yang soleh atau sebaliknya. Namun tidak semua orang dapat memberikan penilaian yang tepat, malah ada orang memandang kebajikan itu sebagai kejahatan dan kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Kesemua ini memerlukan ilmu yang menjadi syarat untuk memberikan penilaian yang benar dan tepat berlandaskan syariat Islam.
Amal kebajikan boleh diusahakan dengan pelbagai cara sama ada dengan material atau menggunakan anggota badan. Menasihat kawan adalah kebajikan. Membuang duri di jalan juga satu kebajikan. Memberi makan kepada binatang juga kebajikan; apatah lagi memberi makan kepada fakir miskin. Pendek kata jika kita tahu caranya, semua aktiviti kita boleh dikategorikan kepada amal kebajikan.
Dengan melakukan amal kebajikan belum menjamin keselamatan seseorang selagi tidak meninggalkan kejahatan. Antara dua perkara iaitu membuat makruf (kebajikan) dan meninggalkan mungkar (kejahatan), yang kedua amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu membuat kebaikan tetapi untuk meninggalkan kejahatan tidak semudah itu. Contohnya ramai wanita boleh bersolat 5 waktu tetapi tidak sanggup menutup aurat atau mengumpat. Ada ulama berpendapat sebelum mengerjakan kebajikan hendaklah terlebih dahulu meninggalkan maksiat dengan cara bertaubat nasuha. Sungguhpun begitu dalam keadaan-keadaan tertentu, amal kebajikan yang kita buat dapat juga menghapuskan kejahatan-kejahatan. Namun yang lebih baik ialah sebelum melakukan kebajikan, perlulah membuang segala amal kejahatan terlebih dulu. Ini bermakna kita hendaklah mengosongkan diri kita dari segala maksiat sebelum melakukan kebajikan; sesuai dengan sunnah Nabi yang dibedah sebelum dibawa melakukan perjalanan Isra' dan Mikraj.
Umum mengetahui bahawa setiap pekerjaan kita sama ada yang besar atau kecil sentiasa dicatat atau direkod oleh malaikat yang dipertugaskan Allah supaya di akhirat nanti mereka akan dipertanggungjawabkan. Nyatalah kehidupan kita di dunia ini bukan sia-sia atau sembarangan. Kita mempunyai misi dan wawasan yang perlu dipenuhi di dunia ini sesuai dengan firman Allah:
"Barangsiapa mengerjakan kebajikan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat (balasannya) dan barangsiapa mengerjakan kejahatan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat juga. (Ini bermakna walau sekecil manapun kebaikan atau kejahatan yang kita lakukan akan kita rasakan akibatnya nanti"
Oleh itu untuk keselamatan di alam yang abadi, saya menyeru diri saya sendiri dan saudara-saudara semua supaya melakukan kebajikan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama meninggalkan segala kejahatan. Slogan 'menghalalkan segala cara' untuk kejayaan di dunia terutama dalam bidang keduniaan adalah semboyan syaitan dan iblis yang harus ditentang.
3. Golongan ketiga yang tidak rugi ialah mereka yang menggunakan masa hidupnya dengan menyampai atau menerangkan kebenaran/haq atau mereka yang membela/mempertahan kan kebenaran contohnya agama Islam. Konsep kebenaran dalam Islam banyak jenis; kebenaran dalam tuturkata, kebenaran dalam tindakan, kebenaran dalam niat, kebenaran dalam pergaulan, kebeneran dalam politik, kebenaran dalam penghakiman dan sebagainya. Di antara banyak-banyak kebenaran, yang paling utama sekali ialah kebenaran yang berasal dari ALLAH yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Al-Quran iaitu Deen Islam. Mengajar dan menyampaikan kebenaran wahyu Ilahi ini serta mempertahankan kebenarannya adalah misi tertinggi kemanusiaan. Golongan dai' ini hidupnya tidak akan rugi. Selain tugas dakwah dan menyampai kebenaran adalah sia-sia dan rugi semata-mata. Bertambah rugilah manusia yang cara hidupnya di muka bumi ini untuk tujuan bersenang-senang dengan makan-minum, mengumpul kekayaan dan beranak-pinak saja. Golongan ini tidak mempunyai nilai di sisi Allah.
Apa sebenarnya Haq itu? Haq itu adalah kebenaran yang datang dari Allah. Oleh sebab itu ia tidak boleh dipertikaikan. Firman Allah:
Kebenaran itu adalah dari Tuahnmu. Oleh sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk dari golongan orang yang ragu. (Al-Baqarah: 147)
Kebenaran apa jua bentuknya adalah dari Allah. Induk dari segala kebenaran ialah Kalimah Tauhid "Laa ilaaha illallah" yang membawa maksud tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dalam ertikata Allahlah yang Maha Besar yang mesti disembah. Segala yang lain adalahmakhlukNya. Tauhid adalah haq manakala syirik pula adalah bathil. Begitu juga syurga adalah haq, neraka haq, azab kubur haq, malaikat haq, tiitian sirath juga haq. Begitulah seterusnya diqiaskan kepada perkara-perkara lain seperti membaca Al-Quran, membuat kebajikan dan lain-lain. Manakala apa jua yang buruk dan keji yang dilarang oleh Allah adalah bathil seperti mencuri, meninggalkan solat, membunuh, syirik dan sebagainya.
Akal yang sihat yang dapat bimbingan Ilahi mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan. Apabila telah mengetahui sesuatu itu sebagai kebenaran, maka mudahlah kita mengikutinya. Begitulah sebaliknya jika kita mengetahui sesuatu itu sebagai kejahatan, mudahlah bagi kita menjauhikannya. Kefahaman sebegini adalah pemberian Allah kepada hamba yang disayangiNya. Betapa ramai manusia yang tidak diberikan kurniaan ini, lantas mereka menganggap bahawa kebaikan itu sebagai kejahatan manakala kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Orang begini telah dipetri hatinya dan tidak dapat membezakan lagi antara baik dan jahat. Bagaimana mungkin sebuah kompas yang jarumnya sudah tidak menunjuk arah yang betul dijadikan panduan untuk meneroka satu padang pasir yang amat luas? Semoga kita dijauhkan dari keadaan yang gelap ini dan berdoalah mudahan dapat kita melihat yang haq itu haq dan bathil itu sebagai bathil.
Setelah mata hati kita dapat menyuluh hakikat kebenaran sesuatu perkara, dapatlah kita menjadikannya sebagai panduan hidup. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan sempadan; sehinggalah ia menjadi resam hidup yang sebati dengan diri kita; dan inilah yang harus dijadikan asas perjuangan untuk diri dan masyarakat. Setelah mempraktikkan kebenaran itu dalam diri sendiri barulah mudah memperkatakan kebenaran kepada orang lain. Misalnya berkata benar tidak berbohong, menipu atau memfitnah. Telinga pula benar dari segi tidak mendengar perkara yang haram dan dilarang. Mata pula tidak melihat sesuatu kecuali yang halal. Pendekkata semua anggota tidak melakukan sesuatu kecuali yang benar dan tidak bercanggah dengan kebenaran itu sendiri iaitu ISLAM. Penyebaran dakwah ini menjadi penting dan wajib atau fardhu 'ain dilakukan terutama dalam zaman kegawatan akidah dewasa ini. Tidak guna manusia yang asyik memperkatakan atau cuba menyelamatkan generasi ini dari kegawatan ekonomi saja tanpa sedikit pun memikirkan masalah yang Allah pandang besar iaitu kegawatan aqidah, moral dan agama. Adakah ekonomi akan menyelamatkan manusia terjun ke lembah hina di dunia dan terjun ke neraka di akhirat? Pendekatan 'ekonomi adalah segala-galanya' seolah-olah menafikan kebenaran Islam.
Setelah berhasil mencapai kebenaran dalam diri sendiri dan masyarakatamnya, barulah kejayaan itu diperkukuhkan atau dimantapkan secara istiqamah. Usaha ini perlu berterusan meskipun melalui duri dan ranjau yang cuba ditentang oleh puak yang memusuhi kebenaran iaitu Paksu (nafsu), Pak Leh (Iblis), Pak Wa (hawa) dan Pak Tan (syaitan). Di sini perlunya kesabaran - satu sifat yang perlu untuk menjadi golongan terakhir yang dinyatakan dalam Surah Al-'Asr iaitu pendokong kesabaran.
4. Mereka yang menyampaikan nasihat dengan kesabaran adalah golongan terakhir yang beruntung dan tidak akan rugi. Konsep sabar dalam Islam ada 3 jenis: pertama, sabar menanggung kesusahan dan sebarang bala yang menimpa diri, kedua, sabar mengerjakan ketaatan seperti sabar untuk mengerjakan sembahyang dan segala ibadat lain, dan ketiga ialah sabar diri dari melakukan sebarang maksiat. Jelasnya, sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah sabar atau tetap hati di dalam memegang ajaran Allah yang benar itu; tanpa sedikit pun bergoyang oleh sebarang anasir yang datang. Di antara musuh yang cuba menggoyang atau merosakkan pendirian ini ialah syaitan, nafsu, hawa dan iblis. Mereka yang sabar ialah mereka yang berjaya melawan diri dari musuh-musuh ini untuk mencapai keredhaan Allah.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved