WAJIB BERDAKWAH WALAUPUN DIRI TIDAK SEMPURNA
Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.
Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?
Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.
Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda: Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.
Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:
(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.
0 comments:
Post a Comment