Iman tidak diwarisi
Bagi yang ada harta banyak selalu akan mewarisi hartanya kepada anak-anak apabila mereka besar nanti. Si anak yang akan mewarisi harta akan berbuat demikian kepada anak-anaknya pula. Begitulah seterusnya sampai beberapa keturunan nanti. Kadang-kadang harta yang banyak dari datuk mereka hanya bertahan setakat tiga keturunan sahaja. Sampai kepada cucu , habis semua harta tergadai. Cucu pula yang tukang perabis. Joli katak dan membelanjakan harta sampai habis sehingga tiada lagi harta yang boleh diwarisi kepada cicit dan piut.
Tetapi iman seseorang itu tidak boleh diwarisi kepada anak-anaknya melainkan didikan agama yang baik dan sempurna sahaja. Jangan kita terkejut dan hairan jika ada anak Mufti atau Ulamak kena tangkap berkhalwat. Atau ibu yang pakai tudung labuh atau purdah. Anak perempuannya berdating kesana kesini dengan jantan dan mengandung anak luar nikah. Jangan ingat anak seorang pelacur akan mengikut kerjaya ibunya nanti. Kadang-kadang kita tak sangka seorang ustaz mempunyai seorang ibu yang kerjanya melacur diri. Macam-macam berlaku diatas dunia ini. Ini adalah ujian kepada mereka. Dari kecil lagi anak-anak dididik dengan pendidikan agama tetapi disebabkan iman yang lemah maka terjadilah perkara-perkara yang memalukan kepada keluarga.
Ketahuilah, iman yang ada di dalam diri seorang hamba itu boleh bertambah dan boleh pula berkurang atau bahkan hilang tanpa bekas dari diri seseorang. Al-Imam Abdurrahman bin Amr Al-Auza’i rahimahullah pernah ditanya tentang keimanan, apakah boleh bertambah. Beliau menjawab: “Betul (bertambah), sampai seperti gunung.” Lalu beliau ditanya lagi: “Apakah boleh berkurang?” Beliau menjawab: “Ya, sampai tidak tersisa sedikitpun.”
Seorang pelacur yang kita tidak tahu sejarah silamnya semasa muda, mungkin ditipu oleh bekas suaminya dan dijual kepada bapa ayam. Bagi menyelesaikan segala hutangnya kepada bapa ayam, terpaksalah, suka atau duka merelakan diri dengan pekerjaan terkutuk itu. Kita tidak boleh menghukum mereka tanpa tahu sebab musababnya. Mungkin semasa anaknya kecil beliau menghantar kepada orang lain untuk mendapat pendidikan agama. Mana ada ibu yang mahu anaknya menjadi insan yang tidak berguna. Jika ada ibu yang memaksa anaknya melacur seperti yang kita pernah baca dalam akhbar. Itulah ibu syaitan bertopengkan manusia. Tidak layak menjadi seorang ibu kepada mana-mana anak pun.
Umair bin Hubaib rahimahullah. Menurut Umair "Iman itu bertambah dan berkurang." Beliau ditanya : "Bagaimana bertambah dan berkurangnya iman?" Jawab beliau: "Bila kita berzikir kepada Allah s.w.t, bertahmid dan takut kepadaNya maka saat itu iman bertambah. Sebaliknya tatkala kita melupakan Allah s.w.t dan mengabaikanNya, maka saat itu iman kita berkurangan.
Bagi menguatkan ketahanan diri seorang muslim itu, iman adalah kunci segalanya kepada seseorang hamba Allah SWT. Memberi pendidikan agama sahaja tanpa memberi kekuatan dan cahaya keimanan pasti tidak akan berjaya melahirkan seorang insan yang kamil. Seorang insan yang betul-betul taat akan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Iman yang kuat dapat menangkis segala kejahatan dan kemungkaran. Iman yang lemah hanya akan mengikut gerak hati yang dibisik oleh syaitan dan iblis.
Iman yang kuat datang dari hati yang bersih. Hati yang bersih mesti diperbanyakan dengan zikirullah. Hindarkan dari sifat mazmumah dan tanamkan dengan sifat mahmudah. Nescaya Allah SWT akan buka pintu dan mata hati hambaNya. Oleh demikian belajar dari ustaz berkenaan Ilmu Tasawuf yang banyak mengajarkan kita tentang hati. Semuga beroleh keimanan yang kuat dari hati yang bersih.
Jazakallah Khairan.
0 comments:
Post a Comment