HOT SITE CLICK HERE NABI NUH (AS) DAN ANAKNYA KAN'AN | Islam For All
Breaking News
Loading...
Saturday, January 18, 2014

NABI NUH (AS) DAN ANAKNYA KAN'AN





Terjemahannya:

Surah Hud: 45 - 47

(45) Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: 
"Ya Tuhanku sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil adilnya".
(46) Allah swt berfirman:
"Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat) nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang orang yang tidak berpengetahuan ".
(47) Nuh berkata: 
"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui (hakikat)nya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, niscaya aku akan termasuk orang orang yang merugi".
Nabi Nuh 'Alaihis Salaam

Nabi Nuh adalah cucu Nabi Idris dan salasilahnya keatas sampai kejalur Syith anak Nabi Adam. Jarak antara Nuh dan Adam adalah 10 abad (1000 tahun). Nuh adalah Rasul Allah yang pertama yang diutus ke atas bumi ini, sedangkan Adam, Syits dan Idris yang diutus sebelumnya hanyalah bertaraf Nabi saja, bukan sebagai Rasul kerana mereka tidak memiliki umat atau kaum.

Kisah Nabi Nuh disebut pada 43 tempat di dalam Al Quran. Malahan nama beliau dijadikan sebagai salah satu nama surah dalam Al Quran iaitu Surah Huh. Beliau termasuk salah seorang daripada lima Rasul yang bergelar Ulul ‘Azmi. Sungguh banyak penderitaan dan cubaan yang menimpa beliau semasa beliau menjalankan tugas sebagai Rasul, bukan saja dari kaumnya tetapi juga dari keluarganya sendiri seperti dari isterinya dan anaknya. Beliau berdakwah siang dan malam selama 950 tahun namun kaumnya yang beriman kepadanya hanya 80 orang bersama dengan isteri isteri mereka masing-masing (menurut riwayat Ibnu Abbas).

Beliau mempunyai empat orang anak. Seorang daripada mereka bernama Kan’an. Dia durhaka kepada ayahnya dan tidak beriman kepada Allah. Kan'an mati ketika banjir dan taufan melanda bumi ketika itu kerana keengganannya mengikuti perintah ayahnya agar menaiki bahtera. Adapun tiga anaknya yang lain iaitu Sam , Ham dan Yafith terselamat kerana patuh kepada ayah mereka dan beriman kepada Allah. Penduduk bumi hari ini adalah keturunan dari tiga orang anak Nuh tersebut. Dan menurut riwayat Imam Ahmad: Dari Sam lahirlah orang Arab dan dari Ham lahirlah orang Habsyi dan dari Yafith lahirlah orang Rum. Wallahu A’lam.

Tafsir Ayat:

Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: 
"Ya Tuhanku sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan sesungguhnya Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya ".
Doa Nabi Nuh ini diucapkannya setelah beliau gagal memujuk anaknya Kan'an agar naik keatas bahtera bersama-sama dengan orang-orang beriman lainnya. Beliau menagih simpati Allah supaya menyelamatkan anaknya Kan'an, sambil menyeru:
"Anakku adalah keluargaku, Engkau pernah berjanji akan menyelamatkan keluargaku iaitu supaya aku membawa mereka kedalam bahtera, Engkau tidak pernah mungkir janji, malahan semua janji-Mu adalah benar belaka".
Nyatalah dari permohonan diatas bahawa keinginan Nuh ialah agar anaknya yang enggan menurut nasihat itu terselamat dari tenggelam. Dan juga tentu saja permohonan itu diajukan oleh Nuh setelah terjadi dealog antara beliau dengan anaknya. Tetapi anaknya tetap menuruti jalan pilihannya sendiri. Akhirnya Kan'an tenggelam.

Menurut sebahagian ulama bahwa Kan’an adalah anak Nuh yang sebenarnya tetapi ia tidak beriman kepada ajaran yang dibawa oleh bapanya Nuh (as). Sedangkan Hasan Al Basry berpendapat bahawa Kan’an adalah anak tiri Nabi Nuh (as) iaitu anak dari isterinya yang durhaka sebagaimana yang diisyaratkan oleh firman Allah dalam surah al Tahrim ayat 10:

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Lut perumpamaan bagi orang orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba hamba Kami; lalu ke dua isteri itu berkhianat kepada ke dua suaminya, maka ke dua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada ke duanya); " Masuklah ke neraka bersama orang orang yang masuk (neraka) ".

Allah SWT menegur Nabi Nuh: 
"Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu yang Aku perintahkan agar engkau bawa mereka ke dalam bahteramu supaya mendapat keselamatan, sesungguhnya perbuatannya perbuatan yang tidak baik".
Dan Allah SWT. menjelaskan sebabnya dalam ayat yang sama mengapa demikian, iaitu kerana anaknya (Kan'an) mempunyai perbuatan yang tidak baik iaitu menjauhkan diri daripada amal salih dan malahan sentiasa bergelimang dosa. Dan ada pula yang menafsirkan kata " perbuatannya " itu ialah doa Nabi Nuh agar anaknya diselamatkan daripada bahaya tenggelam. Maksudnya : Perbuatanmu memohon kepada-Ku agar Aku selamatkan anakmu itu adalah perbuatan yang tidak baik.

Allah SWT menegor Nuh (as) lagi: 
"Janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui hakikatnya ".
Dalam ayat ini ada pengajaran yang tersirat, iaitu kita dilarang memohon sesuatu yang bercanggah dengan ketentuan Allah terhadap makhluknya kerana kononnya kedudukan orang yang berdoa itu istimewa disisi Allah, atau memohon agar menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah. Kita hanya boleh berdoa supaya dipermudahkan jalan (taufiq) untuk melakukan sebab sebab yang boleh membawa kebahagiaan. Ataupun memohon petunjuk (hidayah) agar mengetahui Sunnah Allah dan ketentuan-Nya yang masih belum kita ketahui. Dan tentu saja pada waktu yang sama kita hendaklah memperbanyak amal salih dan mempertingkat amal kebajikan serta ihsan kepada semua pihak.

Selanjutnya Allah SWT menegaskan: 
"Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak mengetahui (jahil) ".
Maksudnya: Aku melarang agar kamu jangan termasuk kedalam golongan orang-orang yang jahil, iaitu supaya Aku membatalkan (menghapuskan) takdir-Ku terhadap ciptaan-Ku. Permohonan tersebut semata mata kerana memperturutkan hawa nafsu dan didorong oleh perasaan terlalu cinta kepada diri, keluarga dan orang yang dikasihi.

Ayat ini pula dapat dijadikan sebagai dalil bahawa di antara jenis kejahilan yang amat besar yang masih berlaku dalam masyarakat kita ialah memohon kepada Allah dengan perantaraan orang-orang salih dan wali-wali Allah terhadap perkara-perkara yang Allah telah melarang Nabi Nuh memohonnya. Bukankah itu boleh membawa erti bahawa Allah akan memberi mereka hajat yang Allah tidak berikan kepada Rasul-Nya?

Selanjutnya Nabi Nuh memohon ampunan daripada Tuhannya diatas keterlaluannya atau kekhilaafannya kerana meminta sesuatu yang tidak patut dipinta. Allah menceritakannya:

Nuh berkata: 
"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampunan kepadaku, dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang merugi ".
Maksudnya: Nuh memohon: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu sesudah peristiwa ini, daripada memohon sesuatu yang aku tidak mengetahuinya bahawa segala yang terjadi adalah berlandaskaan hikmah kebijaksanaan-Mu semata. Sekiranya Engkau tidak ampuni aku lantaran dosa memohon ini yang di dorong oleh sifat kebapaan terhadap anaknya dan terlalu mengharap kasih sayang Tuhannya, dan sekiranya Engkau tidak kasihani aku dengan menerima taubatku, nescaya aku akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang merugi, padahal pada mulanya aku hanya berusaha kiranya aku mendapat keuntungan dengan bebasnya semua anak-anakku dalam mentaati Mu, Engkau adalah lebih Maha Mengetahui daripadaku.

Pengajaran Ayat:

Permohonan Nuh kepada Allah untuk anaknya bukanlah suatu maksiat. Ini hanya kekeliruan dalam ijtihad dengan niat yang baik. Tetapi perkara itu dapatlah digolongkan sebagai suatu kesalahan kerana ia tidak patut timbul dari manusia seperti Nabi Nuh yang cukup tinggi ilmunya dan istimewa kedudukannya disisi Allah. Kekhilafan seumpama ini boleh terjadi dikalangan para Nabi, supaya mereka dapat merasakan betapa perlunya mereka kepada pendidikan dan bimbingan daripada Allah dari masa ke masa.

Sesungguhnya faktor keturunan dan warisan bukanlah faktor yang terlalu menentukan baik atau buruknya seorang manusia. Baik buruknya seseorang sangat tergantung dengan kesediaan individu itu sendiri dan keadaan persekitaran yang mengelilinginya. Dan kalaulah warisan atau keturunan menjadi faktor yang sangat menentukan nescaya semua anak cucu Adam akan sama tabiatnya, dan nescaya semua manusia hari ini yang berasal daripada orang-orang yang beriman dalam bahtera Nabi Nuh akan beriman kepada Allah semuanya.

Sesungguhnya Allah akan memberi balasan kepada manusia di dunia dan diakhirat setimpal dengan keimanan dan amalan mereka, bukan atas dasar keturunan mereka. Allah tidak akan memberi pertolongan atau keistimewaan kepada seseorang atas dasar hubungannya dengan ayahnya atau datoknya walaupun mereka itu daripada kalangan para Nabi atau Rasul.
Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab (keturunan) di antara mereka pada hari itu , dan tidak pula mereka saling bertanya. (Al Mukminun/23: 101)
Sesungguhnya orang yang terpedaya oleh keturunannya, dan dia tidak beramal untuk mendapatkan keredaan Allah, malahan mendakwa kononnya ia lebih baik dan istimewa daripada para ulama yang beramal dan para wali yang salih, sebenarnya mereka adalah orang yang jahil terhadap kitab Allah dan jahil terhadap syare’at dan agama-Nya. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah menegor kaumnya Kabilah Quraisy Mekah :
Hai sekalian Quraisy, janganlah hendaknya manusia mendatangi aku dengan membawa amalan mereka, sedangkan kamu pula mendatangi aku dengan membawa keturunan. (HR Tarmizi)
Wasallam. 

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved