HOT SITE CLICK HERE Solat Tahajud usir penyakit | Islam For All
Breaking News
Loading...
Friday, January 3, 2014

Solat Tahajud usir penyakit





Tidak dapat dinafikan tidur adalah satu amalan yang perlu dan pasti bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini. Manusia bukannya enjin. Ia tidak dapat bekerja tanpa rehat. Enjin boleh digerakkan tanpa rehat  selagi perkara yang diperlukan olehnya seperti minyak dan sebagainya dapat kita penuhi.


Manusia walau pun mendapat cukup makan dan minum akan merasa penat sekiranya bekerja terus menerus tanpa rehat. Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan. Cara berehat sebaik-baiknya bagi manusia  bukanlah dengan berhenti bekerja, tetapi dengan tidur.

Melalui tidur tenaga manusia yang digunakan semasa bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang digunakan untuk bekerja berhenti daripada tugasnya.

Pentingnya tidur dan waktu rehat itu diakui Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Surah Al- An’am ayat 96) 

Walaupun dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata. Kita seharusnya ingat dan sedar kepada motif dan tujuan Allah SWT menjadikan manusia.

Motif  Allah SWT menjadikan manusia jelas dinyatakan dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat  menyembah-Ku.” (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56) 

Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita harus menggunakan waktu malam. Jika pada siang kita menggunakan kira-kira 100 peratus masa untuk kerja dunia, pada waktu malam biarlah  kita peruntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.

Dan cara yang sebaik-baiknya untuk berhubungan dengan Allah SWT ialah bangun mengerjakan solat Tahajud atau sembahyang tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud banyak kelebihan dan besar pahalanya. Ini jelas dari Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan dari  malam  itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga- moga Allah akan mengangkat mu ke tingkat yang terpuji.” (Surah Al-Israk ayat 79) 

Amalan untuk bangun bertahajud adalah satu perbuatan yang amat berat untuk mengerjakannya. Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati tidak sedarkan diri lagi walau pun puas dikejutkan.

Matanya  akan  bertambah  mengantuk dan tubuhnya bertambah penat apabila mereka tidur lewat kerana asyik menonton televisyen. Keadaan sejuk dan suasana sepi di tengah malam juga menjadi faktor seseorang  nyenyak tidur dan merasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah SWT.

Satu  persoalan  yang boleh diketengahkan di sini ialah mengapakah Allah SWT meletakkan waktu Sembahyang Tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan? Jawapannya ialah untuk menguji sejauh manakah taatnya seseorang  makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah.

Manusia yang betul-betul yakin dan patuh  kepada Allah SWT tidak akan keberatan bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sesungguhnya sembahyang Tahajud satu daripada sembahyang sunat saja. Tetapi sembahyang ini mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.

Rasulullah  SAW bersabda:  

“Hendaklah  kamu  Qiamullail (solat malam) kerana sesungguhnya  solat malam itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, dan  mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi  dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” (Hadis  Riwayat  Ahmad,  Tirmizi,  Hakim dan Baihaqi) 

Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya beragama Islam ini sanggup dan bersedia   melakukan sembahyang Tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai solat berkenaan.

Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba melakukan Tahajud jika dapat merasa betapa sedap dan nikmatnya melakukan amalan itu.

Kenyataan itu membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton  tayangan siaran secara langsung walaupun hanya keseorangan.

Ini adalah lantaran perasaan dan dorongan minatnya yang berkobar-kobar. Pada hal pula tayangan kepada perlawanan itu biasanya akan dibuat  pada waktu siang beberapa hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan yang sama kita lakukan untuk bersembahyang Tahajud? Kita  merasa  keberatan  untuk bangun melakukan sembahyang  tersebut kerana kita tidak dapat merasai betapa lazat dan nikmatnya   sembahyang Tahajud.

Keheningan malam seolaholah akan memberi kesempatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan khaliq.

Apa yang dibaca oleh seseorang  ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Kuasa.

Biasanya permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat diterima dan dilayan apabila tidak ramai yang memohonnya.

Oleh itu mohonlah  keampunan dan limpahan dari Allah SWT ketika orang lain sedang  nyenyak tidur. Berhubunglah dengan Allah SWT ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah SWT.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved