SYIRIK CINTA (SYIRK AL-MAHABBAH)
Terjemahan:
Surah Al Baqarah: 165 -167
Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat besar siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).
(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.
Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami". Demikianlah Allah memperlihatkan amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.
Tafsir Ayat:
(165) Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah)
Sebelum ayat ini Allah menyatakan bahawa hanya Dia Yang Maha Esa (Wahid) yang berhak disembah. Dan Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (Al Rahman dan Al Rahim) dan tetap akan menerima tobat hamba-hambaNya sekiranya mereka kembali kepangkal jalan.
Dalam ayat diatas Allah menyatakan sikap sebahagian manusia ada yang mengambil tandingan tandingan sebagai sembahan mereka selain daripada Allah. Mereka mengikuti secara membabi buta arahan dan larangan pemimpin pemimpin mereka. Mereka mencintai pemimpin mereka sebagaimana mereka mencintai Allah. Mereka menyamakan pemimpin mereka dengan Allah dalam hal kepatuhan (taat) dan pengagungan (ta'zim)
Mereka mendekatkan diri mereka (taqarrub) kepada pemimpin mereka sebagaimana mereka bertaqarrub kepada Allah. Ini disebabkan sikap mereka yang tidak mengharap apapun dari Allah kecuali dengan menjadikan pemimpin pemimpin mereka sebagai perantaraan (tawassut) agar makbul permintaan mereka. Mereka sebenarnya telah mempersekutukan Allah (SYIRIK) kerana KECINTAAN ini.
Syirik jenis inilah yang sedang melanda sebahagian umat Islam dewasa ini. Sikap mereka yang keterlaluan mengagung agungkan pemimpin, mendakwa kononnya mereka orang suci lagi kasysyaf dan dapat mengetahui perkara ghaib. Jika ditimpa malapetaka atau kesusahan mereka segera menyebut nyebut nama pemimpin yang mereka agung agungkan itu agar terhindar dari malapetaka.
Inilah yang dimaksudkan dengan menyamakan CINTA kepada mereka dengan CINTA kepada Allah. Kerana mereka tidak mengharap satu apapun dari Allah melainkan dengan menjadikan pemimpin mereka seumpama Allah. Mereka segera menyandarkan harapan mereka kepada pemimpin yang mereka agungkan ketika memerlukan pertolongan sebagaimana mereka menyandarkan harapan mereka kepada Allah Yang Maha Pencipta.
Ketika mereka memerlukan pertolongan, mereka bukan hanya ingat kepada Allah, tetapi juga perlu mengingat dan menyebut nama orang-orang yang mereka kasihi seperti Syekh Abdul Qadir Jailany, Nabi Khaidir, Syekh Rifa'i, Syekh Badawy, Abuya Asy'ari At Tamimy dan lain lain. Perbuatan ini sama dengan keyakinan Hindu yang mendakwa bahawa dewa dewa suci dapat menolong mereka, dan inilah sebabnya mereka merasa perlu mencintai dewa tertentu, sebab tanpa menyebut nama nama dewa tertentu nescaya doa mereka tidak akan makbul.
Kalau orang Hindu memuja patung dan gambar dewa yang mereka kasihi yang tergantung didinding dinding kuil atau rumah rumah mereka. Tetapi hari ini terdapat dikalangan umat Islam yang memiliki akidah yang lebih buruk dari itu. Mereka bawa gambar pemimpin yang mereka kasihi itu dimana mana saja; dalam van, restoran, malahan digantung disetiap dada pengikut setianya. Dan tidak mustahil sedikit masa lagi (jika tidak dibendung segera) mereka akan meletakkan gambar pemimpin yang mereka kasihi ditempat tempat ibadah mereka dan di bilik bilik wad supaya dapat menatap wajah pemimpin hingga ke akhir hayat, dengan harapan supaya kelak dia boleh memberi syafaatt atau pertolongan pada Hari Pembalasan.
Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.
Jika dibandingkan antara cinta Mushrik kepada pemimpin yang mereka agung agungkan itu, maka cinta Mukmin kepada Allah adalah lebih mantap lagi. Ini disebabkan kerana cinta Mukmin kepada Allah adalah bulat dan padu, tidak berbelah bagi. Mukmin mengikhlaskan cinta mereka hanya kepada Allah, tidak kepada yang lain. Sedangkan musyrik tidak demikian, mereka mempersekutukan cinta antara Allah dan pemimpin, cinta mereka berbelah bagi. Sebagaimana cinta mereka kepada Allah tidak bulat dan mantap, demikian jugalah cinta mereka kepada orang yang mereka kasihi.
Mukmin hanya cinta kepada Yang Berhak Dicintai, yang dengan kecintaan inilah penyebab utama agar ia memperolehi kebaikan untuk dirinya, kebahagian dan kejayaan.
Sedangkan musyrik pula mencintai orang yang tidak berhak dicintai, yang dengan kecintaan ini pulalah yang menyebabkan kecelakaan untuk dirinya, kemusnahan dan kerugian.
Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat siksa-Nya (nescaya mereka menyesal).
Dalam ayat ini pula Allah memberi amaran keras kepada orang-orang yang mencintai tandingan tandingan selain Allah, iaitu jika mereka mengetahui azab apakah yang bakal mereka terima kelak di akhirat akibat perbuatan syirik mereka itu bahawa pemimpin yang mereka agungkan itu tidak dapat menolong mereka dan semua kekuatan hanya ada ditangan Allah, nescaya mereka akan tahu dan sadar bahawa kekuatan yang mentadbir alam akhirat, Dialah juga sebenarnya yang mentadbir alam dunia ini. Mereka akan menyesal kelak tidak habis habisnya kerana mereka telah sesat disebabkan mempersekutukan Allah.
(166) (Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti berlepas diri dari orang-orang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.
Pada hari berhisab nanti akan sia sialah harapan para pengikut kerana orang-orang yang diikuti dan diagung agungkan selama ini ternyata tidak boleh membantu mereka sedikitpun walaupun sebesar atom (zarrah). Ini tidak sebagaimana yang mereka sangka ketika di dunia. Orang-orang yang dipuja dan disanjung selama ini ternyata berlepas tangan dari mereka.
Pada waktu inilah mereka baru menyedari bahawa pemimpin yang mereka kasihi itu ternyata " pembohong besar ". Harapan mereka selama ini iaitu dengan mengasihi pemimpin kiranya akan mendapat manfaat dan pertolongan disana ternyata sebaliknya berganti menjadi kerugian yang amat besar dan penyesalan yang tidak berkesudahan. Suasana ini tergambar pada ayat berikut:
(167) Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami.
Para pengikut berkata: Ya Allah, kiranya kami dapat kembali ke dunia nescaya pasti kami akan mengikuti jalan yang benar (HAQ), kami akan memurnikan tauhid kami dan tidak akan mempersekutukan Engkau dengan siapapun, kami hanya akan berpandukan kepada Kitab-Mu dan Sunnah Rasul-Mu; Kemudian setelah mati kami dihimpunkan untuk dihisab, lalu kami akan berlepas diri dari pemimpin pemimpin yang sesat sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami, kami akan bahagia dengan amalan kami, dan mereka akan menderita dengan amalan mereka.
Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.
Jadi yang diperlihatkan kepada mereka di akhirat bukan hanya siksaan, tetapi amal perbuatan mereka juga turut diperlihatkan oleh Allah. Untuk apa amal perbuatan mereka itu turut diperlihatkan? Supaya menjadi pengajaran bagi mereka bahawa perbuatan mengagung agungkan pemimpin secara keterlaluan itulah sebenarnya yang menjadi penyebab utama yang akhirnya membuat mereka menyesal dan disiksa di akhirat.
Kesan amal perbuatan seseorang memang tidak kelihatan di dunia ini, tetapi ia akan menjadi nyata di akhirat nanti, apakah akan membawa kebahagiaan atau kecelakaan.
Atas dasar itulah maka kita jangan mudah terpedaya dengan kehebatan seseorang pemimpin di dunia ini, walaupun ia mampu melakukan perkara yang luar biasa atau " khawaariq al ‘aadat ". Bagi kita tempat rujukan yang paling selamat dan telahpun mendapat jaminan Nabi SAW ialah Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Wasallam.
0 comments:
Post a Comment