Safa dan Marwah
Firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 158)
Ibrahim al-Sari berkata, Safa bermaksud batu keras dan kental. Oleh itu, sebatang pohon tidak tumbuh di atasnya manakala Marwah pula ialah batu lembut. Kedua-dua tempat itu dijadikan syiar Allah SWT untuk dilaksanakan salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie.
Syiar bermaksud tanda atau lambang ibadah kepada Allah SWT. Oleh itu, ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang diperintahkan kepada hamba Allah sebagai satu ibadat kepada Allah SWT dengannya daripada segala urusan agama seperti tawaf, saie, wukuf di padang Arafah dan melontar Jamrah di Mina.
Sayid Qutub dalam kitab tafsirnya berkata, sesiapa yang berkeliling antara dua bukit, bererti dia menunaikan syiar untuk Allah SWT.
Syeikh Sya’rawi pula menyatakan, dua bukit Safa dan Marwah mengingatkan nostalgia lama bagaimana Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram.
Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama anak kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?
Di sinilah lahirnya ucapan Hajar yang masyhur, iaitu kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah SWT yang perintahkan kamu berbuat demikian?
Lantas jawab Nabi Ibrahimas:
Ya, dengan penuh yakin. Isterinya yang salihah berkata:
Jika begitu, Allah SWT tidak akan mengabaikan kami. Sebab nuzul ayat ini ialah riwayat yang menyatakan sesetengah Muslimin keberatan berkeliling di Safa dan Marwah ketika mengerjakan ibadat haji atau umrah disebabkan berhala Asaf dan Na’ilah diletakkan di atas dua bukit itu.
Orang Islam tidak suka dan keberatan untuk berkeliling di situ seperti mereka berkeliling di zaman jahiliah.
Diriwayatkan Asim Ibn Sulaiman berkata:
“Aku bertanya Anas mengenai (berkeliling) di Safa dan Marwah, dia menjawab:
Kami melihat kedua-duanya daripada upacara (ibadat) jahiliah. Apabila Islam datang, kami menahan diri daripada berkeliling pada kedua-duanya. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat di atas bermaksud:
"Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwah itu adalah daripada syiar Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Islam mengekalkan kebanyakan syiar ibadat haji yang diamalkan orang Arab dan menghapuskan syiar berhubungan dengan berhala serta kepercayaan karut jahiliah.
Sebaliknya, Islam menghubungkan syiar ibadat haji dikekalkan itu dengan kefahaman dan kepercayaan sebagai syiar Ibrahim yang diajarkan oleh Allah SWT kepadanya.
Allah SWT berfirman bermaksud:
“Dan sesiapa mengerjakan dengan sukarela amalan baik, maka sesungguhnya Allah memberikan balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”
Firman Allah SWT ini menegaskan amalan berkeliling di antara dua Bukit Safa dan Marwah itu adalah amalan baik, maka terhapuslah segala perasaan syak dan keraguan dari hati kaum Muslimin, akhirnya timbullah rasa senang hati untuk melaksanakan syiar ini.
Dalam erti kata lain, ayat ini memberikan ketenangan jiwa bagi orang beriman kerana Allah SWT menetapkan syiar bersaie sebagai satu syiar yang baik dan akan membalasnya dengan kebajikan.
Paling penting sekali ialah Allah Maha Mengetahui segala niat dan perasaan tersemat dalam hati setiap Muslim. Natijahnya, Allah SWT meredai segala perbuatan yang baik dan akan membalasnya dengan ganjaran baik.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment