HOT SITE CLICK HERE PINJAMAN NYAWA | Islam For All
Breaking News
Loading...
Thursday, January 2, 2014

PINJAMAN NYAWA





Ingatlah usia umat akhir zaman terlalu singkat iaitu sekitar 60 hingga 70 tahun saja. Jika ada  yang mampu hidup lebih daripada itu maka ia dikira sebagai bonus namun jumlahnya tidak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, sedikit yang melampaui itu." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi Muhammad sendiri wafat ketika usia baginda 63 tahun.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata: 

“Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana  kadang-kadang  manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang  yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."

Jadi gunakan sebaiknya peluang 'pinjaman'  nyawa yang Allah berikan dengan bertaubat  daripada kesalahan yang dilakukan hampir setiap hari. Bagaimana sekiranya nyawa dicabut ketika kita sedang melakukan dosa dan maksiat? Nauzubillah.

Sahabat Nabi adalah orang yang bijak memanfaatkan umur. Mereka dididik oleh Nabi Muhammad supaya merancang kehidupan mereka.

Setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan yang diberikan secara bijaksana.

Perkara paling penting adalah memberi tumpuan kepada aspek ibadah dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang menjejaskan kualiti amalan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada  berguna."  (Surah al-Mukminun ayat 3).

Berdasarkan ayat di atas setiap Mukmin yang mendapat kemenangan adalah mereka yang  khusyuk dalam sembahyangnya, tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah, mengeluarkan zakat hartanya, memelihara kehormatannya, amanah, menepati janji, menjaga waktu sembahyangnya.

Rasulullah SAW dan sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Umar hidup selama 63 tahun saja  tetapi mereka gunakan sepenuhnya demi memajukan serta memartabatkan Islam.

Nabi  Muhammad SAW sendiri memanfaatkan 23 tahun kerasulannya untuk menyebarkan  Islam. Saidina  Abu  Bakar, memegang tampuk kepemimpinan kurang tiga tahun namun berjaya memerangi pendusta, mengembalikan orang yang murtad kepada Islam, bahkan berjaya  menakluk kerajaan Rom dan Parsi.

Mereka hanya diberi kesempatan menikmati umur yang tidak panjang berbanding umat  terdahulu tetapi dapat memberi sumbangan cukup besar hingga nama mereka kekal abadi ke hari ini.

Ganjaran pahala yang mereka perolehi akan terus sampai meskipun mereka tiada lagi di dunia ini. Nabi Nuh contohnya mampu hidup sehingga lebih kurang 1,000 tahun dan menjalankan kerja dakwah selama hampir 950 tahun namun hanya beberapa orang saja daripada umatnya yang  menerima ajarannya.

Allah menjadikan hidup dan mati bagi menguji siapa yang baik amalannya. Jadi manusia perlu berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.

Amal kebajikan yang dimaksudkan pula tidak terhad kepada amal ibadat seperti sembahyang  tetapi  termasuk juga memberi nafkah dengan mencari sumber halal, membangunkan masjid, rumah kebajikan malah perkara sekecil membuang duri di jalanan juga termasuk dalam amalan yang baik.

Ukuran usia yang diberkati dan memberi manfaat itu bukan terletak kepada berapa lama  seseorang itu mampu hidup tetapi dinilai daripada amalan kebajikan yang tidak putus-putus dilakukan mereka.

Sahabat yang menjadi Khalifah agung seperti Abu Bakar, Umar dan Ali hidup sehingga umur 63 tahun saja. Manakala Anas bin Malik dikurniakan usia hingga mencapai 103 tahun.

Namun mereka menggunakan usia yang diberikan itu dengan penuh kebaikan. Tidak ada gunanya juga seseorang yang panjang umurnya namun menjadi bebanan kepada orang lain.
Keberkatan usia itu pastinya membawa serta mengajak kepada perkara bermanfaat. Hamba  yang diberkati umurnya akan terasa usia yang dianugerahkan kepadanya tidak mencukupi dan  begitu singkat untuk beribadah kepada Allah.

Keinginan umur panjang yang didasari cintanya kepada dunia tidak akan membawa manfaat. Allah memberi peringatan terhadap manusia yang menginginkan umur panjang namun cintanya hanya pada kehidupan dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya engkau dapati mereka orang paling kuat berkehendak untuk hidup (di dunia), sehingga lebih daripada orang-orang musyrik, salah seorang mereka mengkehendaki supaya hidup seribu tahun lamanya; sedangkan dia tidak jauh daripada azab, meskipun  panjang usianya dan Allah Maha Melihat apa-apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 96).

Cukup mendukacitakan apabila seorang itu menginginkan umur panjang tetapi umur itu digunakan untuk tujuan maksiat kepada Allah.

Umur seseorang itu sama ada panjang atau singkat adalah dalam rahsia Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia yang panjang usianya dan baik amalnya".  Bermakna, ada orang yang singkat umurnya tetapi dari segi kualiti amalannya cukup baik.
 
"Begitu juga Allah kurniakan orang yang panjang umurnya tetapi sepanjang usianya dia  bergelumang  dengan maksiat dan sudah pasti umur itu tidak diberkati," katanya.

Beliau berkata setiap Muslim perlu sematkan dalam diri tujuan utama mereka hidup di dunia  adalah semata-mata untuk beribadat dan terus meningkatkan amalan kepada Allah.

"Kesempatan hidup di muka bumi ini hanya bersifat sementara. Cukup bererti sekali jika meninggalkan dunia ini nanti nama kita akan sentiasa dikenang dan diingati atas sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan demi agama.

"Bagi mendapatkan keberkatan umur panjang, seseorang itu perlu menjaga kualiti ibadatnya,  menjaga hubungan silaturahim sesama manusia dan banyakkan bersedekah jariah dan meninggalkan khazanah ilmu dan anak yang soleh" katanya.

Bagi melengkapkan sisa kehidupan seseorang itu perlu mengatur dengan baik kehidupan seharian mereka berdasarkan fitrah kejadian manusia. "Setiap hari yang dilalui perlu diimbangi dan dibahagi sebaiknya. Masa perlu diperuntukkan untuk melaksanakan ibadat, bersama keluarga, berehat dan berlibur mengikut aturan yang ditetapkan.

"Allah memperuntukkan waktu siang untuk kita keluar mencari rezeki manakala malamnya adalah waktu untuk beribadat kepada Allah,"


Kesempatan hidup perlu dimanfaatkan dengan amalan yang membawa kebaikan dan kemuliaan.

Melaksanakan solat tahajud juga adalah rahsia kejayaan bagi seorang Muslim. Solat tahajud  yang dilakukan secara rutin dan khusyuk dapat menghapuskan dosa silam.

"Tidur juga perlu diberi perhatian. Tidur yang berkualiti dalam sehari lebih kurang empat jam saja dan jika tidur secara berlebihan ia akan mendatangkan pelbagai penyakit," katanya.

Wassalam
 

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved