HOT SITE CLICK HERE Peristiwa Maal Hijrah | Islam For All
Breaking News
Loading...
Friday, January 3, 2014

Peristiwa Maal Hijrah





Peristiwa  Maal Hijrah yang disambut sebagai permulaan takwim Islam pada 1 Muharam, adalah peristiwa penuh bersejarah kepada umat Islam khususnya dan umat manusia amnya.

Peristiwa penghijrahan umat Islam dari Kota Makkah ke Madinah adalah satu strategi yang  mengambil kira perancangan jangka panjang untuk  menterjemahkan  gagasan  dan  wawasan  Islam dalam bentuk penyusunan masyarakat bernegara.

Islam diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bermula di Makkah sejak 13 tahun  sebelum hijrah. Dalam usia pengikut Nabi yang masih mentah dengan Islam ketika di Makkah, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi. Pendekatan hidup Islam yang dihayati masyarakat awal Islam ini dianggap pembesar Quraisy pada masa itu sebagai satu ancaman merbahaya kepada sistem hidup jahiliah di Makkah. Sistem bermasyarakat jahiliah masa itu akan dapat mengekal kedudukan keistimewaan mereka.

Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan terhadap masyarakat massa  Makkah tanpa penentangan. Masyarakat yang khayal dengan kehidupan berlandaskan nafsu, struktur  masyarakat berpuak-puak dengan sistem perhambaan membolehkan pimpinan jahiliah Quraisy meneruskan penindasan.

Penyembahan kepada patung berhala adalah sesuatu untuk masyarakat massa terus berkhayal kepada keadaan realiti.

Selain itu, sebagai pusat perniagaan dan ibadat yang dikunjungi ramai masyarakat Arab,  penguasaan golongan berkuasa terhadap kota Makkah membolehkan mereka mengaut keuntungan besar. Oleh itu, masyarakat awal Islam ditindas, dizalimi dan dipencilkan masyarakat jahiliah di Makkah. Namun, keimanan yang mantap disertai kepemimpinan,  keilmuan dan teladan perilaku Rasulullah pebagai model ikutan, mereka mampu  menghadapi  cabaran penuh keyakinan dan mencapai kemenangan.

Mereka dididik dengan keimanan yang mantap disertai keilmuan Islam. Ayat al-Quran yang  diturun di Makkah bukan saja membina keimanan manusia kepada  keesaan hanya kepada Allah tetapi sekali gus mendidik pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk menegak kebenaran.

Islam membawa suatu misi untuk membangun masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang  mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta  manusia. Allah  menganjur penyusunan umat manusia hendaklah berasaskan semangat keadilan dalam bermasyarakat. Dasar ini sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat massa Makkah pada masa itu.

Gagasan Islam ini memerlukan kepada kepemimpinan yang adil dan berusaha membina  personaliti atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan  peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh di terima pembesar Makkah pada masa itu.

Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraisy terhadap  pengikut Islam kian meningkat dengan lebih terancang. Mereka memutuskan untuk  membunuh Nabi dengan  menggembleng  semua suku kaum Quraisy di Makkah.

Quraisy  jahiliah merancang, Rasulullah dan pengikutnya turut merancang. Dalam  suasana  sedemikian, Allah membuat penentuan Rasulullah berhijrah ke  Madinah. Penghijrahan Rasulullah dan Muhajirin Makkah di terima baik oleh golongan Ansar Madinah.

Penghayatan  prinsip  bermasyarakat  secara  Islam  di  Madinah adalah kemuncak  kepada  kejayaan  Islam.  Masyarakat  majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk kepada nilai Ilahi.

Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun dengan kewibawaan kepemimpinan Rasulullah SAW dalam melaksanakan prinsip Islam, umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam.

Peristiwa  hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam perlu dikaji dan direnungi umat manusia dewasa ini kerana dalam membina dan menyusun umat manusia dengan  berpaksikan  nilai Ilahi yang berteraskan  kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah.

Peristiwa hijrah mengajar kita erti pengorbanan. Kejayaan umat Islam Makkah (muhajirin)  yang terpaksa berhijrah demi untuk menegak keadilan Ilahi dan seterusnya usaha muafakat membangun Islam dengan kaum Ansar di Madinah menjadi satu pengajaran yang penuh erti.

Peristiwa hijrah adalah tindakan strategik untuk membangun Islam secara komprehensif. Bagi Islam, setiap masa berlalu perlu untuk menilai kepada usaha silam dan mengatur langkah menempuh masa depan.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved