HOT SITE CLICK HERE KEBERKATAN HIDUP | Islam For All
Breaking News
Loading...
Thursday, January 2, 2014

KEBERKATAN HIDUP





Hidup berkat akan sentiasa  mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan kita memperoleh  keberkatan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha untuk meraih keberkatan hidup di sisi Allah SWT dan berdoa supaya kehidupan kita sentiasa diberkati oleh-Nya.

Berkat, berkah atau barakah adalah ayat yang sering meniti di bibir kerana barakah berasal  daripada bahasa Arab yang bermaksud tumbuh, berkembang dan kemudian bercabang  antara satu sama lain saling berdekatan.

Secara terminologi, berkat adalah kebaikan yang bersumber daripada Allah SWT yang  ditetapkan  terhadap sesuatu sebagaimana semestinya. Persoalannya, sudahkah kita merasai keberkatan berkenaan atau sama seperti mereka yang tidak  sempat beramal dan mengingati Allah kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia.

Walhal  gemerlap  dunia  ini  ibarat  meminum  air  laut, semakin banyak diminum semakin  menambah  rasa haus dan tidak akan pernah merasa cukup terhadap  apa  yang  sudah dimilikinya. Orang yang tidak pernah puas dan bersyukur tidak akan pernah bahagia.

Hidupnya  menjadi  tidak berkat di sisi Allah SWT dan menderita. Namun orang yang merasa cukup dengan apa yang dimilikinya, Allah SWT akan memberikan kurnia-Nya yang melimpah.

Sabda  Rasulullah SAW:  

“Barang siapa yang memasrahkan keperluannya kepada Allah, nescaya Dia akan mendatangkan kepadanya rezeki dengan segera atau menunda kematiannya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Menurut Ath-Thabathaba’i, kebaikan bersumber daripada Allah SWT muncul tanpa diduga dan tidak terhitung sepanjang kehidupan, baik yang bersifat kebendaan mahupun berbentuk kerohanian. Mulianya hidup apabila kehidupan sentiasa diberkati Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya Allah SWT yang Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hamba-Nya dengan rezeki yang Dia berikan kepadanya.  Barang  siapa  yang  reda dengan pemberian Allah, maka Allah akan  memberkati  dan  melapangkan rezeki untuknya dan barang siapa yang tidak reda nescaya rezekinya tidak diberkati.” (Hadis riwayat Ahmad).

Justeru untuk meraih keberkatan dalam kehidupan, ada dua tuntutan syarat yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam.

Firman  Allah SWT: 

“Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan  kepada mereka berkat dari  langit dan bumi, tetapi mereka  mendustakan  (ayat  Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah Al-A'raf, ayat 96).

Ayat ini menunjukkan balasan Allah SWT bagi hamba-Nya yang beriman dan sekali gus menjadi penjelasan bahawa orang yang kufur kepada Allah tidak akan pernah merasakan keberkatan, tenang dan bahagia dalam hidupnya.

Justeru  bagi  membina  iman,  kita  perlu  membersihkan  hati  daripada sebarang dosa dan noda. Bersihkan hati daripada karat jahiliah yang akan menghalang hadirnya hidayah, petunjuk dan pertolongan Allah SWT. Hati yang bersih akan menumbuhkan keimanan sebenar terhadap Allah SWT. 

Kedua, amal salih iaitu menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat diajarkan Rasulullah SAW.

Firman  Allah SWT:  

“Demi  malam  apabila  menutupi dan siang apabila terang benderang  dan  penciptaan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza. Adapun orang yang memberikan (harta di jalan Allah) dan  bertakwa  dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami  kelak  akan  menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Surah Al-Lail, ayat 1-7).

Sheikh  Abdur Rahman as-Sa'di berkata, jika mereka melaksanakan perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya, nescaya Allah SWT akan melimpahkan rezeki kepada mereka,  langit  dijadikan  menurunkan  hujan,  bumi  pula untuk menumbuhkan tanaman.

Semoga  kita  meraih  keberkatan  di sepanjang kehidupan. Tidak ada cara terbaik  untuk kita beroleh keberkatan melainkan sentiasa merujuk kepada panduan terlengkap yang Allah SWT bekalkan iaitu melalui al-Quran.

Firman  Allah SWT:  

“Dan al-Quran  ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai  berkat  yang  telah  kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya?” (Surah Al-Anbiyaa', ayat 50).

Kini kunci untuk meraih  keberkatan dalam kehidupan sudah terbongkar. Al-Quran  memandu kita supaya berbekal dengan iman, takwa dan amal salih untuk meraih keberkatan selagi kita masih bernyawa di bumi Allah SWT ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Sesiapa beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka  dengan  memberikan  pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).

Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved