HOT SITE CLICK HERE Ganjaran Berlipat Ganda Bersolat Jemaah | Islam For All
Breaking News
Loading...
Wednesday, January 8, 2014

Ganjaran Berlipat Ganda Bersolat Jemaah




Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah. Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjid. Pembinaan masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya  tidak  menzahirkan  gambaran diharapkan apabila jumlah mereka  yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu.

Ada  masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat  fardu,  bilangan  jemaah  hanya  sekadar  dua  atau tiga saf saja sedangkan  solat  secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh.

Pahala  bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan  setakat  itu  saja,  bahkan  ia  berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid.

Banyak  keutamaan  solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid. Bekas perjalanan  bagi  mereka  yang  menuju  ke  masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala.


Daripada Jabir bin 'Abdullah, dia berkata:

"Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong.

Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda: 
Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan  kalian  (ke  masjid).  Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah." (Hadis riwayat Muslim)
Tambahan  lagi  langkah  perjalanan  menuju  ke  masjid  untuk  bersolat berjemaah  itu  dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah SWT. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda  yang  bermaksud:  
"Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan  dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? 
Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: 
"Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin,  perbanyakkanlah melangkah menuju masjid,  dan  menunggu  selepas  solat.  Demikianlah  itu  bagi  kalian  pertalian." (Hadis riwayat Muslim)
Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap  melakukan solat daripada permulaan perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya.

Ini  sebagaimana  sabda  Rasulullah SAW daripada Abu Umamah yang bermaksud: 
"Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat  wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Allah SWT juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid.  Diriwayatkan  daripada  Abu  Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 
"Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara  berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri.

Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk  bersolat  secara  berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah.

Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah SWT memuliakan tetamu-Nya.

Rasulullah SAW bersabda  yang  bermaksud: 
"Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi ke masjid maka dia  adalah  tetamu Allah dan kewajipan bagi yang  dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi."
Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat  sesungguhnya  dia  mendapat  pahala  seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah SWT dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya.

Rasulullah  SAW bersabda yang bermaksud: 
"Seseorang daripada kalian yang menunggu  waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat  mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia." (Hadis riwayat Muslim)
Mengerjakan  solat  berjemaah  memiliki  keutamaan  berlipat  ganda jika dibandingkan  solat  sendirian. Daripada 'Abdullah bin 'Umar, Rasulullah  SAW  bersabda  yang  bermaksud:
"Solat  berjemaah  lebih  utama  jika dibandingkan  dengan  solat  sendirian dengan 27 darjat." (Hadis riwayat Bukhari)
Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang  bersolat.  Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum. Daripada Ubai bin Ka'ab,  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya  solat  seseorang  bersama  seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya  dengan  seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Allah SWT juga  memberi  perlindungan  daripada  syaitan kepada mereka yang mengerjakan  solat  berjemaah.  Rasulullah SAW bersabda  yang  bermaksud:
"Sesungguhnya  syaitan  itu  bagaikan  serigala  bagi  manusia  seperti serigala  bagi  kambing,  yang  menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian  dan  lalai  sebagai  mangsa,  maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid."  (Hadis riwayat Ahmad)
Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut  maka  Allah  membebaskannya  daripada  api  neraka  dan kemunafikan.

Rasulullah  SAW bersabda yang bermaksud: 
"Barang siapa yang solat kerana Allah  selama  40  hari  di  dalam  jemaah  dengan mengikuti takbir yang pertama,  ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan." (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Keutamaan  solat  berjemaah  ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga.  Daripada  Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
"Apabila salah  seorang  di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang."
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:
"Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya  menjadi  aspirasi  bagi  kita  semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved