DISIPLIN DAN KEIKHLASAN DALAM SOLAT
Ketahuilah kejayaan seorang Muslim dan kebahagiaan di dunia serta akhirat bergantung sejauh mana ketaatan dan muhasabah diri terhadap perkara yang diredai Allah.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan perhatikanlah apa yang akan dilakukan untuk hari esok serta bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat mengetahui dengan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hashr: Ayat 18).
Kita semua melihat, mengetahui, merasai dengan kesusahan dan kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini berpunca daripada kesalahan kita sendiri yang banyak melakukan pelanggaran hukum serta mengabaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan apa-apa musibah yang menimpa kamu adalah perbuatan tangan mu sendiri dan Allah memaafkan banyak dari kesalahan kamu.” (Surah Syura: Ayat 30).
Sesungguhnya keadilan Allah terlaksana dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya terhadap semua makhluk tanpa seorang pun yang terlepas darinya. Inilah sunnah Allah yang akan berlaku tanpa syak dan ragu lagi.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Maka kamu tidak akan mendapat perubahan dari Allah dan tiada penyimpang bagi segala ketentuan Nya.” (Surah Fatir: Ayat 43).
Ulama tafsir menyebut, Allah tidak akan menganiaya kamu di dunia dan akhirat jika kamu bersyukur serta tahu menilai dengan ukuran perbuatan baik tetapi Allah akan menimpakan azab-Nya kepada yang ingkar dan berpaling tadah. Kunci utama pembentukan peribadi masyarakat cemerlang ialah menjaga solat serta mengukuhkan pegangan dengan Allah dan menyeru manusia ke jalan yang benar.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya berjaya mereka yang mendirikan solat dengan penuh khusyuk.” (Surah Al-Mukminun: Ayat 1-2).
Disiplin dan keikhlasan dalam solat disifatkan oleh Rasulullah dalam sabdanya bermaksud:
“Sesiapa yang bersolat tepat pada waktunya dengan penuh khusyuk serta menyempurnakan wuduk, rukuk serta sujudnya, akan didatangi solatnya pada hari kiamat seraya berkata: Semoga Allah memelihara kamu seperti kamu memelihara aku dulu dan sesiapa yang bersolat di luar waktunya serta tidak menyempurnakan wuduk, rukuk serta sujudnya dan tidak khusyuk, akan dikatakan padanya: Kamu akan diabaikan pada hari ini seperti kamu mengabaikan aku dulu.” (Hadis riwayat Tabrani).
Sahabat Nabi serta tabi’in sentiasa bermuhasabah solat yang dilakukan sehingga darjat dan kedudukan mereka sentiasa diangkat oleh Allah.
Sahabat Nabi, Zuhri bertemu Anas Bin Malik di Syria dalam keadaan Anas menangis lalu Zuhri berkata: “Kenapa kamu menangis wahai Anas?
Lalu Anas menjawab:
“Aku tidak dapat pastikan solat manakah yang diterima oleh Allah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Bersempena semangat dan keazaman baru ini, marilah bersama kita renungkan ibadat solat kita lakukan, apakah ia menepati kehendak syarak (dengan ilmu) atau sekadar melepaskan batuk di tangga.
Sejauh mana ilmu yang dipelajari mengenai solat kerana gejala dan perpecahan sedang melanda umat Islam kini adalah hasil daripada pengabaian mereka terhadap kewajipan solat.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Mohonlah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 45).
Sebenarnya, segala kebaikan dan keberkatan adalah buat umat Nabi Muhammad sehingga hari kiamat. Namun, ia memerlukan muhasabah tinggi terhadap ibadat solat mereka lakukan.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment