BERSYUKUR DENGAN NIKMAT
Manusia bijak dan berhemah sentiasa berjimat cermat, menabung, menyimpan atau melabur wang demi masa depan. Mereka tidak boros dan tidak pula kedekut. Segala perbelanjaan secara sederhana atau mengikut keperluan.
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)
Islam sama sekali tidak menghalang pengguna daripada berbelanja tetapi mereka diajar tatacara berbelanja supaya tidak berlebih-lebihan atau boros. Sikap penting diamalkan ketika berbelanja ialah sentiasa sederhana, elakkan pembaziran dan tidak membeli sesuatu yang diharamkan.
Amat mendukacitakan apabila ada kalangan kita hari ini masih suka berbelanja melebihi keperluan dan kemampuan sehingga sanggup berhutang. Hal ini jelas dilihat ketika jualan murah pada musim perayaan atau jualan runtuh menjelang tahun baru.
Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu bertentangan dengan prinsip kesederhanaan. Islam melarang umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam apa juga urusan berkaitan perbelanjaan harta atau pengurusan masa.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israk, ayat 26-27)
Masalah tidak cukup atau perbelanjaan melebihi pendapatan disebabkan tiada perancangan kewangan untuk mengawal aliran wang. Kelemahan ini boleh menyebabkan timbulnya masalah termasuk perselisihan suami isteri dalam rumah tangga.
Justeru, bagi mengelak masalah ‘bajet lari’, ekonomi diri serta keluarga perlu ditadbir dengan betul. Perbelanjaan perlu melihat kepada keutamaan kerana keperluan sampingan masih boleh ditangguhkan menunggu jika ada wang lebihan.
Ibarat pepatah Melayu, ‘ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. Sebaik-baiknya berhemah dalam perbelanjaan dan jangan terburu nafsu kerana kita tidak tahu apa menanti di hadapan dan keadaan semakin sukar jika dalam keadaan mendesak, tiada wang simpanan untuk digunakan.
Selain itu, sentiasa bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah kerana orang yang bersyukur tidak terpengaruh dengan dorongan nafsu yang boleh menyebabkan kita membuat keputusan di luar kemampuan iaitu berbelanja besar sedangkan kedudukan kewangan tidak mengizinkan.
Jangan tepuk dada tanya selera tetapi seluk poket dan tanya diri, cukupkah untuk belanja sementara menunggu gaji akan datang. Semuga posting ini untuk diriku yang lemah dalam merancangkan perbelanjaan dan para pembaca yang sebelum ini selalu "lari bajet" bila dapat gaji.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment