Bencana Alam Kifarah Bagi Orang Beriman
Apakah gempa bumi melanda balasan Allah SWT kepada penduduk yang semakin jauh menyimpang daripada jalan dibawa Nabi Muhammad SAW?
Musibah atau tragedi seperti banjir besar, gempa bumi serta bencana alam lain yang berlaku memang ada sebab musababnya dan semua dapat difahami dengan mengkaji ayat Allah SWT yang menjelaskan kejadian berlaku itu.
Katanya, dalam konteks gempa bumi yang mengakibatkan kemusnahan teruk dan ia perlu dilihat sebagai ujian didatangkan sebagai azab bagi yang kufur dan musibah kepada golongan beriman.
Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: 155)
"Allah SWT memberitahu manusia akan diuji dengan pelbagai cara dan ini sedang dilalui masyarakat yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan punca pendapatan. Bagi mereka yang sabar dengan ujian Allah SWT ini, ada ganjaran menanti mereka," katanya.
Tanggapan bahawa mereka yang ditimpa bencana disebabkan tindakan tidak mengamalkan suruhan Allah SWT atau melakukan kejahatan perlu diperbaiki kerana bukan semua yang menerima nasib malang itu berdosa.
Sebaliknya, ia adalah fitrah dijanjikan Allah SWT termasuk dalam bentuk bencana alam yang didatangkan tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang melakukan kemungkaran atau beriman dengan suruhan Allah SWT.
Justeru, katanya, apabila berlaku bencana dan tragedi di sesuatu kawasan atau terhadap sekumpulan masyarakat, tidak wajar timbul tanggapan negatif pihak lain terhadap mereka yang ditimpa musibah itu.
"Manusia ini ada dua, satu yang kufur dan satu lagi beriman. Apabila satu kawasan dilanda bencana kita tidak boleh katakan semua masyarakatnya melakukan kejahatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
"Bagi yang kufur, memang ia azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas di akhirat tetapi yang beriman, ini adalah musibah mereka terima di dunia dan terlepas di akhirat. Jadi jangan ada pandangan negatif jika berlaku azab di satu-satu tempat," katanya.
Beliau berkata, Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini tetapi bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian, musibah yang didatangkan sebagai kafarah untuk dosa mereka.
Hakikat itu boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya." (Surah Al-Anfal: 25)
Katanya, tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.
Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.
Ketiga ialah orang salih yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat kerana kesabaran menerima ujian Allah SWT ketika di dunia.
Sebaiknya bencana yang berlaku menjadi peringatan serta memberi kesedaran terutama kepada mereka yang belum diuji untuk mengelak daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan.
Katanya, tidak dinafikan kejadian yang berlaku juga adalah amaran Allah SWT terhadap sikap manusia yang suka melakukan pelbagai kerosakan di darat dan laut tanpa memikirkan kesannya pada kemudian hari nanti.
"Sekarang kita tidak ada Nabi yang boleh beritahu bila azab Allah SWT akan datang. Macam dulu contohnya, Nabi Luth sudah beritahu kaumnya mengenai amaran Allah SWT dan apa yang berlaku selepas itu adalah benar.
"Oleh itu, apa yang berlaku hendaklah menjadi pengajaran bukan saja kepada masyarakat di sana malah kita juga kita di tempat lain, kerana kita tidak tahu bila Allah SWT akan mendatangkan azab-Nya," katanya.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment