HOT SITE CLICK HERE Bagaimana acuan begitulah kuihnya | Islam For All
Breaking News
Loading...
Sunday, January 12, 2014

Bagaimana acuan begitulah kuihnya




Pada masa dahulu tahun 60an zaman kanak-kanak tidaklah seperti sekarang yang kemajuan eletronik tak terfikir oleh kita seperti adanya kemudahan internet seperti sekarang.  Pada zaman yang serba maju dalam bidang eletronik telah merubah segalanya minda anak-anak kita yang mungkin jauh kehadapan dari ayah dan ibu mereka.

Mungkin ibu dan ayah ketinggalan tetapi itu bukanlah alasannya supaya kita membiarkan sahaja mereka melakukan aktiviti yang merosakkan tanpa pengawasan kita. Pembentukan akhlak dan bina diri mereka hendaklah dibentuk sendiri oleh ibubapa. Jika ada modal yang lebih, boleh dihantar anak-anak ke pusat motivasi supaya dapat dibentuk dengan baik lagi sekiranya kita tak mampu dan tidak ada kemahiran serta berkebolehan dalam mendidik anak-anak.

Dunia  tanpa  sempadan  menuntut  komitmen  yang  luar  biasa  terhadap kehidupan.  Jika dulu,  tugas  ibu cukup dengan mengawasi anak di depan  mata,  tahu di mana tidurnya, bagaimana makannya, elokkah pakaiannya dan   siapa temannya. 

Tetapi  hari  ini,  ada  satu  dunia  lain  yang  dihuni oleh anak tanpa   disedari  si  ibu.  Inilah dikatakan ‘alam maya’, sekecil-kecil anak pun   tahu  merentasinya  tanpa  berbekalkan wang sesen pun, cukup dengan jari   jemari yang tahu menari.
 
Sama  ada  alam  maya  menjadikan  anak  orang  yang  lebih berilmu atau   sebaliknya  bergantung  kepada  kesediaan si ibu mencari ilmu menghadapi   tanggungjawab memimpin rumah tangga dalam dunia serba mencabar kini. 

Semua  ibu  pasti  merasakan  tanggungjawab  membesarkan anak jauh lebih   sukar  daripada mencari rezeki, makan dan pakai buat mereka. Apatah lagi   seorang  ibu  yang  turut  berkerja  dan dalam masa yang sama membimbing   cahaya mata yang dianugerahkan Ilahi.
 
Sudah  pastilah  masa  yang  diperuntukkan  berganda  banyaknya,  tenaga  diperah tidak terhingga, tetapi semuanya kerana tanggungjawab yang perlu  dilaksana,  jadi  ibu  yang  mulia  tidak akan terasa penat dan lelahnya apabila melihat anak-anak semuanya berjaya.
 
Setiap  ibu  sedar dan mengerti suruhan agama, tahu tanggungjawab sedang dipikul  dan  kesan  buruknya  jika ia tidak ditunaikan untuk memastikan amanah  Allah  yang  lahir  dari  rahimnya  memulakan kehidupan di dunia dengan baik dan berakhir dengan baik. 

Bahkan anak-anak lahir daripada benih seorang bapa dan ibu yang bertakwa serta  takutkan  Allah SWT yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan  menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka hanya dengan doa mereka.

Sudah  tentulah  setiap  ibu  ingin menyelamatkan anak-anak daripada api neraka  yang  bahan  bakarnya  manusia dan batu. Tiada ibu yang tergamak menjadikan  anaknya  arang  membara  membakar manusia, tetapi hasrat dan nekad  itu  tidak  akan  menjadi  jaminan  tanpa usaha membimbing mereka mentaati suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Allah  SWT berfirman  yang bermaksud: 
“Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Jika seorang ayah adalah pemimpin bagi sebuah keluarga, ibu pula pemimpin kepada rumah tangga. Rumah tangga adalah satu naungan yang di dalamnya ada satu ikatan antara dua hati berkasih sayang kerana Allah, menjadi tempat perlindungan, musyawarah, saling mengasihani dan berbudi.

Jika  ayah  menjadi  ketua  yang wajib dihormati, dipatuhi dan mengetuai segala urusan membabitkan ahli rumah tangga, si ibu pula memimpin sistem di  dalamnya  untuk  memastikan  ahli  taat  dan  setia  kepada pemimpin keluarga.

Tidak semudah berjanji, memimpin rumah tangga memerlukan daya tahan yang tinggi,  teguh  berdiri di belakang ketua keluarga yang bertanggungjawab atas segala tindak tanduk ahlinya.
 
Rasulullah  SAW  bersabda  yang bermaksud: 
“Setiap kamu adalah pemimpin,   dan  setiap  pemimpin  akan  diminta pertanggungjawabannya. Seorang imam   adalah  pemimpin  dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.
Seorang  suami adalah pemimpin bagi keluarganya, dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin pada rumah tangga  suaminya  dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.  Seorang  pembantu  adalah  pemimpin  pada  harta  tuannya  dan  ia  bertanggungjawab  terhadap  apa  yang  dipimpinnya.  Setiap  kamu adalah  pemimpin  dan  setiap  pemimpin bertanggungjawab  terhadap  apa  yang dipimpinnya.”

Menyelak  sedikit kisah akhlak sahabat Rasulullah SAW seperti Zubair bin Awwam  yang  diasuh  ibunya  Shafiyah binti Abdul Muthalib dengan akhlak mulia  dan  sifat  dermawan  tinggi,  dapatlah diketahui hasil diperoleh seorang ibu yang tidak jemu membimbing anaknya dengan akhlak Islami.

Juga  anak  Zubair,  iaitu  Abdullah,  Al-Munzir dan Urwah yang semuanya memiliki  kedudukan  yang  terpuji  kerana asuhan ibunda tercinta, Asma’ binti Abu Bakar.

Ali  bin  Abi  Talib mewarisi keluhuran akhlak ibunya Fatimah binti Asad yang  sentiasa  berhikmah  dalam  tindak  tanduknya. Abdullah bin Jaafar lahir sebagai seorang yang sangat dermawan hasil daripada tarbiah ibunya Asma’  binti Umais, yang juga tokoh wanita Islam sangat luhur akhlaknya, sama ada semasa berdepan dengan musuh atau sahabatnya.

Muawiyah  bin  Abi  Sufyan  pula  dibimbing  menjadi  seorang  bijak dan mempunyai  peribadi  baik  seperti  ibunya,  Hindun  binti  Utbah, tidak seperti ayahnya. Ciri sama juga ada pada saudara Muawiyah, Ziyad bin Abi   Sufyan yang tersohor kerana ketajaman akalnya.

Abdul  Malik  bin Marwan dididik ibunya Aisyah binti Al-Mughirah menjadi seorang  lelaki  yang  pintar  dan  tegas, sementara Umar bin Abdul Aziz dibimbing  ibunya Ummu ‘Ashim binti ‘Ashim yang tersohor kerana kebaikan dan kesalihannya.
 
Setiap ibu yang berjaya menjadikan anak mereka orang salih dan baik budi pekerti  sudah  tentulah  bermula  dengan  cara  dibentuk mengikut acuan agama.  Ia seawal mendedahkan anak dengan kisah nabi dan sahabat Baginda SAW yang tidak terkira banyaknya.

Moral  kisah benar yang membuktikan keunggulan Islam, teladan akhlak dan ukhuwah  akan menjadi pegangan anak yang dibentuk dengan didikan seorang ibu  ikhlas,  menjadikan  anak  itu bijak menilai baik serta buruk tanpa mampu dipengaruhi sesiapa.

Ibu tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan, ia  patut bermula seawal usia mereka 10 tahun, apabila lalai mengerjakan solat.  Sabda  Rasulullah  SAW  yang  bermaksud:  

“Perintahkanlah anakmu  melaksanakan  solat  pada  saat  mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka  bila  enggan mengerjakannya  pada  saat  mereka berusia sepuluh tahun.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Nabi  tidak  meminta  anak  dipukul  sebelum  usianya 10 tahun, walaupun  mereka  melanggar  perintah Allah tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat dan  dibimbing  supaya proses pembentukan akhlak yang mulia dengan Allah serta manusia lainnya dapat dilakukan dengan sempurna dan konsisten.

Ibu yang tidak merotan anaknya kerana meninggalkan solat selepas usianya 10  tahun  bakal  mendepani  anak  tidak  boleh  ditegur  jika melakukan kesalahan,  tidak  taat  perintah  Tuhan serta keliru antara suruhan dan larangan dalam agama. 



Wasallam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved