Buang yang keruh ambil yang jernih
Tinggal beberapa hari lagi, bulan Syawal akan meninggalkan kita. Jika ada diantara kita yang masih belum bermaafan, lakukanlah. Walaupun pun bulan lain kita masih boleh melakukan tetapi bulan Syawal adalah satu bulan yang penuh dengan kemaafan. Jangan lepaskan peluang yang ada. Usah dipendamkan perasaan marah yang dahulu. Lepaskan rasa tidak puas hati yang selama ini terbuku dihati sanubari kepada pasangan anda. Kata perpatah melayu "Buang yang keruh ambil yang jernih". Jika nak dikutip kesalahan orang lain terhadap kita, banyak yang kita ingat. Tapi jika nak diingatkan kebaikan orang lain kepada kita, jarang sekali. "Perkara yang baik selalu orang lupa tapi perkara yang jahat, orang ingat sampai mati".
Pernahkan anda menyambut hari lebaran iaitu hari raya Adilfitri tanpa isteri tersayang di sisi atau menyambut hari lebaran dalam keadaan hubungan dengan pasangan anda bagai telur di hujung tanduk? Adakah hari lebaran kali ini disambut tanpa suami atau anak-anak di sisi? Keadaan ini mungkin dirasai pasangan yang sudah bercerai atau sedang menghadapi krisis rumah tangga dan mungkin akan bercerai. Keadaan ini sudah atau akan dialami isteri yang suaminya mengamalkan poligami dan lebaran tahun ini bukan gilirannya.
Keadaan ini juga pernah dan mungkin dialami ibu atau bapa terpaksa berpisah dengan anak kerana berlaku perceraian. Bagi anda yang pernah melalui pengalaman ini, walaupun pahit, namun ia mempunyai hikmah tersembunyi yang hanya dalam pengetahuan Allah SWT.
Menyusuri sejarah Aidilfitri, ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat di sana merayakan dua hari raya diwarisi sejak zaman jahiliah iaitu ‘Nairus’ dan ‘Nahrajan’ dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, minum arak serta hidangan juadah mewah.
Rasulullah SAW tidak menghalang terus masyarakat berhari raya tetapi Baginda mengubah sambutan perayaan ke arah lebih bermanfaat dan menjadi suatu ibadah kepada Allah SWT.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasai yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menukar kedua-dua hari raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”
Nilai baik daripada kedua-dua hari raya ini ialah mewujudkan hubungan antara hamba dengan Tuhan Yang Maha Pencipta dengan bertakbir dan silaturahim sesama makhluk melalui amalan bermaafan.
Pada hari raya juga kita menunjukkan simpati kepada golongan tidak bernasib baik dengan membayar zakat fitrah, bersedekah, bermaafan antara satu sama lain supaya manusia terhindar daripada perpecahan dan permusuhan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada tuhanmu yang menciptakanmu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan dari kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang (dengan nama-Nya) kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasimu.” (Surah An-Nisa’, ayat 1)
Sempena hari yang mulia ini, marilah bersama bermaafan, buang yang keruh ambil yang jernih. Biarlah keruh di hulu kita jernihkan di muara. Bagi pasangan yang sudah bercerai, usahlah jadikan perceraian sebab untuk terus membenci satu sama lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)
Pasangan yang sedang menghadapi krisis, jadikanlah Aidilfitri sebagai pencetus untuk bermaafan antara satu sama lain, kembali bermuhasabah diri dan merenung kesilapan dilakukan serta berusaha untuk mengubahnya.
Masih belum terlambat untuk memulihkan kerukunan dan menyelamatkan rumah tangga yang sedang diuji Allah SWT.
Menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain adalah salah satu ciri ketakwaan kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa; iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang berbuat perkara baik.” (Surah Ali Imran, ayat 133-134)
Isteri yang suami tiada di sisi sewaktu lebaran, bersabarlah dan anggaplah ini suatu ujian Allah SWT. Hakikatnya, anda kuat untuk menerima ujian.
Kepada yang membenci wanita lain dikatakan ‘merampas’ suami anda, tidak akan rugi apa-apa jika di Aidilfitri ini anda memberi kemaafan kepada wanita itu. Dendam terhadap perkara lampau sehingga menjejaskan hubungan sebenarnya menyalahi perintah Allah SWT untuk mencintai sesama muslim.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Buat ibu bapa yang sebelum ini menjadi pemutus atau penghalang bapa dan ibu anak anda berjumpa, jadikanlah Aidilfitri sebagai titik noktah. Usahlah anda jadi pemutus silaturahim kerana hubungan ibu bapa dengan anak tidak terputus.
Hindarkan diri menjadi rakan kepada Iblis Dasim yang sangat benci kepada rumah tangga yang rukun dan bahagia, sebaliknya mengajak suami isteri melakukan kemaksiatan terhadap Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-An’am)
Marilah bersama mencipta sejarah kebaikan pada hari lebaran mulia ini. Setidak-tidaknya untuk kita kenang di usia tua, diceritakan kepada anak apabila mereka besar kelak dan paling penting, mendapat keampunan dan keredaan Allah SWT.
Wassalam. Jazakallah Khairan.
0 comments:
Post a Comment