HOT SITE CLICK HERE Tiga amalan jadi perisai harungi dugaan | Islam For All
Breaking News
Loading...
Wednesday, January 8, 2014

Tiga amalan jadi perisai harungi dugaan




Sesetengah dari kita setiap kali ditimpa musibah, bomoh atau dukun menjadi tempat rujukan. Perbagai andaian dari mereka yang kononnya sangat hebat dengan ilmu kebatinan boleh merosakkan diri kita. Selalunya bomoh atau dukun yang sesat ini akan meracuni fikiran kita dengan menyalahkan pihak lain kerana menyebabkan diri kita ditimpa musibah. 

Kita seolah-olah lupa bahawa yang berkuasa menentukan hidup dan mati seseorang itu hanyalah Allah SWT. Baik dan buruk adalah ujianNya. Kita sebagai hambaNya disuruh berusaha dan tawakal apa yang Allah SWT tentukan dan tertulis di KalamNya.

Ingat! jangan diterima sebarang tangkal atau azimat dari bomoh atau dukun. Mereka ini kebanyakan pandai berkata-kata seperti seorang ilmuan. Ingat, tangkal dan azimat akan membuat kita menjadi syirik dan terkeluar dari Islam. Segala pendinding yang berbentuk azimat dan tangkal sekiranya ada pada kita. Segeralah buang dan banyak-banyak beristighfar dan taubat nasuha. 

Azimat dan tangkal bukanlah perisai untuk kita.  Agama Islam  sebagai  pegangan  hidup kita yang serba  lengkap  dan menyeluruh mengajar  setiap  Muslim  supaya berpegang pada tiga amalan utama apabila berdepan dengan persoalan hidup atau mati iaitu istiqamah, istikharah dan istighfar.

Istiqamah

Istiqamah  membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian    asal,  tidak berganjak dan tidak mundur ke belakang biar selangkah juga.    Biar   apa   terjadi   dan   bakal  dihadapinya,  pendirian  asal  tetap    dipertahankan  walaupun  nyawa  dan  jasadnya  menjadi bahan pertaruhan.

Pentingnya  istiqamah  ini,  diriwayatkan seorang lelaki datang bertanya  kepada  Rasulullah  SAW:  

"Wahai  Rasulullah!  Beritahulah  kepadaku satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu lagi aku ajukan soalan lain".

Lantas  Baginda  menjawab  dengan  bersabda  maksudnya:  
"Katakanlah! Aku  beriman  kepada  Allah,  kemudian  tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada  pendirian itu". (Hadis riwayat Muslim).
Jika iman yang bertapak di sudut jiwa seseorang kukuh dan mantap, maka dia adalah  seorang  yang  benar-benar beristiqamah dalam ruang lingkup kehidupannya.

Sebaliknya,  jika imannya amat tohor dan nipis, maka dia mudah terpedaya dengan godaan dan pesona dunia.

Justeru, iman sewajibnya diisi dan dijana menghiasi jiwa seseorang Muslim terlebih dulu  hingga mantap dan kukuh supaya mampu bertahan menepis segala badai cubaan serta dugaan.

Istikharah   

Istikharah pula antara saluran untuk Muslim memohon petunjuk Ilahi dalam setiap  langkah,  sekali gus memohon pertimbangan yang jitu dalam setiap keputusan.

Sebenarnya  setiap  insan  mempunyai pilihan dan kebebasan untuk berbuat apa saja.

Namun, menurut perspektif Islam tidak ada kebebasan mutlak tanpa batasan bagi Muslim mengaku beriman kepada Allah. Dengan kata lain, Muslim terikat dengan peraturan ditetapkan Allah dalam  menjalani kehidupan ini.

Oleh  itu, seorang Muslim sewajibnya berfikir banyak kali dan meletakkan neraca Ilahi sebelum berucap mahupun bertindak.

Dalam  hal  ini,  Muslim  dianjurkan untuk selalu berdoa ke hadrat Allah memohon petunjuk hidayah ke arah jalan yang lurus.

Kata-kata hikmat berfikirlah untuk hari ini dan berbicaralah untuk hari esok sepatutnya  menjadi  cermin  diri dan sumber inspirasi bagi setiap Muslim. 

Apabila terfikir sesuatu ucapan atau perbuatan yang boleh menyakiti orang lain, maka hendaklah dia bersabar.

Sebaliknya jika ucapan atau tindakannya itu jika difikirkan baik, maka hendaklah dia teruskan walau apa pun risikonya.

Maka  benarlah  sabda  Rasulullah  SAW  yang  bermaksud: 
"Tidak akan rugi  seorang  yang sentiasa  beristikharah,  tidak  akan kecewa seorang yang  sentiasa bermusyawarah dan juga tidak akan miskin seorang yang hidupnya sentiasa berjimat cermat". (Hadis riwayat Tabrani)
Istighfar

Akhirnya istighfar, amalan bermuhasabah dan seterusnya memohon keampunan kepada  Allah SWT atas kelemahan, kekurangan dan kedaifan diri kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Tetapi, setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan pada hakikatnya adalah penyakit yang akan  merosak dan menghancurkan hidup manusia. Oleh itu, segala kesalahan dan dosa hendaklah dihindari setiap Muslim.

Tidak sedikit musibah dan bencana yang menimpa manusia sejak akhir-akhir ini sebenarnya berpunca daripada kesalahan dan dosa mereka sendiri.

Maka, inilah masanya paling sesuai bagi bermuhasabah dan seterusnya memanjatkan doa keampunan ke hadrat Ilahi supaya diampuni segala dosa.

Adakalanya kehidupan masyarakat dilanda musibah demi musibah yang tidak henti-henti  disebabkan  dosa  masa lalu dan tidak pula pernah disucikan  melalui  amalan  istighfar atau taubat. Jika itulah sebabnya, maka tidak ada penawar yang  mujarab melainkan beristighfar dan bertaubat kepada  Allah SWT.

Allah SWT merakamkan kisah Nabi Hud dalam Al-Quran yang sepatutnya menjadi teladan  dan peringatan seperti firman-Nya yang bermaksud: 
"Dan wahai  kaumku!  Mintalah  ampun  kepada  Tuhan  kamu,  kemudian kembalilah taat kepada-Nya,  supaya  Dia  menghantarkan  kepada  kamu  hujan lebat serta menambahkan  kamu  kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah  kamu  membelakangkan  seruanku  dengan  terus melakukan dosa!"  (Surah Hud, ayat 52)
Begitulah  sunnah kehidupan ini yang tidak pernah sunyi daripada cabaran dan dugaan melanda hidup manusia.

Maka, untuk selamat dalam perjalanan hidup yang penuh liku ini setiap Muslim wajib  menghiasi dirinya dengan amalan istiqamah, istikharah dan istighfar supaya  berjaya  meraih  keredaan  Ilahi,  sekali  gus meraih kesejahteraan serta kebahagiaan hidup dunia akhirat.

Wassalam

Jazakallah khairan.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved