HOT SITE CLICK HERE Perarakan Maulidur Rasul : Wajar Diterus Atau DiUbah? | Islam For All
Breaking News
Loading...
Monday, January 13, 2014

Perarakan Maulidur Rasul : Wajar Diterus Atau DiUbah?



muhammad1.jpg

Baru-baru ini timbul sedikit pertikaian apabila disebut kerajaan negeri Pulau Pinang ingin membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Ia dijadikan isu politik oleh ahli politik. Walaupun telah dijelaskan bahawa hal itu tidak benar, saya suka untuk mengulas amalan tersebut dari perspektif bukan politik kepartian, tetapi melalui perspektif yang sedikit berbeza. Adakah jika benarlah dibatalkan perarakan itu, adakah ia merupakan satu isu besar dari sudut agama serta tanda tidak menghormati baginda Rasul dan Islam?

Seumur hidup saya, saya belum dan tidak pernah menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya tidak berhasrat untuk membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan hukum tentang perarakan seperti itu. Saya kira hal ini setiap tahun akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk, menyemai titik kebencian di antara satu sama lain. Saya ada pandangan dan pendirian dalam hal sama ada bid'ah atau tidak sebuah perarakan Maulidur Rasul, Namun cukuplah memadai tulisan-tulisan dari mereka yang telah mengulas panjang lebar.Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita sama-sama fikir dan fahami tentang keutamaan atau yang ‘sepatutnya' sahaja.
Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
Justeru itu, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul, atas alasan-alasan yang mereka yakini, aktiviti yang paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.
Ruang inilah yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Kerana itu juga merupakan inti dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.
Jika demikian, bagaimana cara untuk mengengahkan semua itu kepada masyarakat? Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingat mereka yang lupa, mengukuh pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta membetul mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.
Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.
Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat  mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta TIDAK memberi banyak manfaat dari sudut akhiratnya, di tambah pula lagi di ketika wujudnya pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa yang patut dibuat?
Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan. seperti program kuliah dan ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama. Kerana itulah satu cara yang terulung dan paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur, meneguh dan membetul.
Memang benar, sebahagian besar perkara di atas memang sudah menjadi amalan, namun apa yang perlu diubah adalah cara dan kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan sebuah klimaks sambutan Maulidur Rasul. Sebaliknya ia hanyalah inisiatif kecil-kecilan pihak-pihak tersebut sahaja, sedang ruang dan peluang yang dipunyai oleh pihak pemerintah sama ada negara atau negeri menunjukkan mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.
Justeru, gunakanlah kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut diatas, jangan dibazir dengan sebuah perarakan tanpa mesej yang jelas.
Biasanya coverage program-program ceramah terlalu kecil, berbadning sebuah perarakan yang diwajibkan setiap jabatan kerajaan menghantar wakil.
Adalah lebih tepat jika pihak kerajaan pusat menggunakan ruang Televisyen untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah, syarikat gergasi GLC dan swasta wajar boleh menyumbangkan sedikit dari keuntungan mereka untuk menaja program-program kesedaran di ruang TV. Itu yang sepatutnya berbanding memberi tajaan kepada peraduan yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.
KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI
Jika ingin menarik minat pelbagai latarbelakang, muda dan tua, berpendidikan tinggi dan rendah. Saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah itu. Konsert Islam seperti Konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang menolak nasyid secara total. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding perarakan beserta selawat tanpa sebarang ingatan dan nasihat.
Atau boleh juga kita menunjuk syiar Islam dan kecintaan kepada Rasul, melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, apa yang perlu adalah duduk mendengar dan menghayati mesej-mesej dari sang penceramah berwibawa atau melalui forum, atau boleh beserta selingan nasyid. Majlis penaugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh disiar secara langsung di televisyen, bagi menambah jangkauan liputan kepada mereka yang lebih suka berada di rumah.
Hari tersebut juga perlu disambut dengan usaha menutup pusat-pusat hiburan dan rancangan hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej dari kebangkitan Rasulullah.
Itulah tugas seorang pemimpin disemua peringkat, rumahtangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih besar tanggungannya di sisi Allah.
Nabi s.a.w bersadba :
ما من أمير يلي أمور المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح لهم إلا لم يدخل معهم الجنة
Ertinya : Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga ( Riwayat Muslim)
Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai
فلم يحطها بنصحه لم يجد رائحة الجنة
Ertinya : dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga sehingga bauannya pun tidak diperoelhi apatah lagi syurga itu sendiri)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas, tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.
Justeru, jikalau ada mana-mana negeri yang membatalkannya sekalipun lalu diganti dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.
Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda Rasulullah bersempena sambutan hari lahir baginda.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved