HOT SITE CLICK HERE SYIRIK CINTA | Islam For All
Breaking News
Loading...
Thursday, January 30, 2014

SYIRIK CINTA





Syirik Cinta

Syirik. Ada apa dengan syirik?, anda mungkin pernah mendengar syirik ertinya menduakan. Ya benar, menduakan Allah. Ia terhitung raja segala dosa. Dosa yang tidak ada andilnya untuk diampunkan oleh Allah SWT.

Syirk al-mahabbah, ertinya menduakan cinta. Cinta yang paling agung melebihi cinta manusia dan seisi langit adalah cinta Allah SWT. Makanya, Allah SWT berfirman mengingatkan



“Dan antara manusia ada orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang yang beriman amat sangat cintanya pada Allah…( Al Baqarah 2: 165)

Syirk-al-mahabbah adalah menduakan Allah dalam cinta. Dalam pertembungan antara cinta sesama makhluk dan cinta kepada Allah, maka cinta kepada Allah perlu lebih diutamakan. Apabila kita mencintai seseorang maka segalanya terasa indah dan ringan. Bak kata Laila Majnun yang gila di rasuk cinta ‘andai aku tidak bisa melihat orangnya, maka atap rumahnya sudah bisa menenangkan ku’. Ya, itu kuasa cinta.

Seseorang yang mencintai Allah dengan sebesar besar cinta, maka ‘pertemuan’ dengan Allah menjadi agenda utama hidupnya. Kerinduannya untuk merenung dan mentadabbur kalam Ilahi membuak buak, hidupnya terasa sunyi andai ada hari yang dilalui tanpa ‘berbicara’ dengan kekasihnya. Cintanya juga membuatkan hatinya tidak senang andai ada perintah kekasihnya yang dikhianati juga sebaliknya, hatinya akan terasa pedih andai dia melihat ada yang dengan sengaja melanggar perintah kekasihnya.

Disini perlunya pertimbangan cinta. Cinta yang begitu kuat kepada Allah perlu mendominasi cinta yang lain. Apabila cinta kepada makhluk sama atau lebih kuat cintanya daripada Allah, maka dia telah mensyirikkan cinta. Ya, itulah yang disebut ulamak sebagai syirkul mahabbah.

Katakanlah: Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, istri-istrimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari pada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka nantikanlah sampai Allah mendatangkan perkara-Nya (azab-Nya). Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (QS. Attaubah 9: 24).

Andai cinta kepada yang lain selain Allah SWT mendominasi, maka diri akan binasa, hati jadi gundah gulana, mandi serasa tidak basah, jiwa terasa lesu, kalam Ilahi terasa tiada harganya justeru sang bidadari khayalan pula menari indah di atas Kalam yang maha indah, nikmat solat akan mundur pergi datang pula bidadari mainan bertasbih di hati.

Saudaraku sekalian, takutlah pada syirik cinta!.

Keinginan mencintai dan dicintai itu fitrah

Fitrah adalah perkara yang tidak dapat diubah. Ia adalah suatu kemestian dalam hidup. Mencintai dan dicintai adalah fitrah dan satu kemestian yang perlu ada dalam hidup. Andai tidak ada cinta dalam diri anda, maka anda seolah robot yang diprogramkan. Anda solat hanya kerana itu adalah program yang diatur dalam hhidup anda, anda puasa, kerana itu juga telah terprogram dalam akal anda, anda akan melalui ibadah tanpa hati. Apa gunanya anda beribadah?!. Justeru hanya cintalah yang mampu membuat hati anda hidup.

Bentuk dari terjemahan cinta

Ya, bukan Allah tidak tahu hatimu cenderung pada si dia. Allah Maha Tahu. Bukan juga Allah tidak mengetahui bahawa kau sering merindui si dia, Allah juga tahu bayangannya sering hinggap di minda mu. Allah Maha Tahu. Allah juga tahu bahawa ada ketikanya hatimu berusaha menghindarinya, tetapi bayangannya datang semula. Ingatlah, Allah Maha Tahu!.

Lantas bagaimana?, ketika anda telah berusaha menghindarnya tetapi si dia tetap hadir juga. Pesan saya, ingatlah itu fitrah manusia, saya juga pernah melaluinya, tapi awas, jangan sampai FITRAH BERTUKAR MENJADI FITNAH!.

Islam tidak menghalang fitrah yang wujud dalam hati tetapi Islam menggariskan panduannya. Pernikahan?

Nanti dulu, sebelum anda berfikir untuk menikah, ada banyak persoalan lain yang perlu anda fikirkan. Adakah anda siap?, bukankah anda sedang bertarung untuk lulus dalam pelajaran?, Adakah anda yakin ‘menikah’ adalah solusinya.

Sekiranya anda yakin dan anda siap maka teruskanlah niat baik anda. Tetapi, tidak sedikit saya lihat orang yang memperjudikan perkahwinan hanya kerana alasan menjaga hati. Nilai sebuah perkahwinan terlalu kerdil kalau alasannnya hanya untuk menjaga hati. Perkahwinan ibarat sebuah pelayaran, adakalanya ia dapat belayar tenang, adakalanya ribut taufan datang membadai, adakalanya angin bayu menerpa. Perkahwinan itu penuh ranjaunya, jadi jangan memperjudikan perkahwinan dengan hanya alasan menjaga hati. Persiapkan diri!

Adakah anda sudah siap?, kalau belum, hanya ada satu kata lagi yang mampu menjaga anda, MUJAHADAH. Jadikan rasa cinta ini sebagai UJIAN. Jadikan dia sebagai gelanggang ibadah untuk anda meraih pahala mujahadah.

Apabila diri anda disampuk ‘angau’ , cepat cepatlah beristighfar. Apabila anda terasa ingin chating dengan wanita yang bukan mahram tanpa sebab, maka segeralah berwuduk dan beristighfar, andai rindu pada si dia tetap datang bertandang, berwuduk dan solatlah!, hadirnya rindu itu tidak salah kerana ia di luar kehendak anda, tetapi istighfarlah kerana anda sedang membuka ruang menjalarnya zina hati.

“Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua dua mata itu berzina dan zinanya dengan melihat. kedua dua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari perkara tersebut” (Hadis Riwayat Ahmad)

Apabila anda tidak berusaha menutup segala ruang kepada terjadinya zina hati, maka anda terjebak dengan dosa. Anda berbicara mahu melupakan si dia kerana takut dosa, tetapi dalam masa yang sama gambar si dia masih anda simpan!, anda berbicara untuk mendapatkan cinta Allah tetapi anda tetap tidak mampu mujahadah meninggalkan chatting kosong dan sms bertanya khabar tanpa sempadan dengan si dia. Anda dating bertemankan syaitan!. Apalah guna anda berbicara tentang Cinta Allah kalau hati anda sekerdil itu?!.

Ingatlah firman yang Maha Esa


Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk ( Al Isra’ 17: 32)


Mungkin ada yang berkata, kami tak buat pun perkara yang menghampiri zina. Maka di sini ulamak menjelaskan tafsiran ayat “Janganlah kamu menghampiri zina” adalah ‘jangan kamu kamu mendekati sedikitpun daripada zina’ (Tafsir Al Qurtubi, jil. 10, hlm. 253). Ertinya janganlah kamu mendekati apa apa yang berhubungan dengan zina dan apa apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina. (Tafsir Ruh al Ma’ani, jil. 15, hlm, 67-68).


Apabila anda mampu bermujahadah, maka inilah bentuk terjemahan cinta yang sebaiknya. Anda telah mendahului cinta Allah daripada cinta makhluk. Anda telah terhindar dari syirik cinta. Tahniah!.

Setelah anda memahami ‘syirik cinta’, mungkin persoalan yang timbul dalam benak fikiran anda, bagaimana aku nak bertemu jodoh kalau semuanya tak boleh, sms tak boleh, chatting kosong tak boleh, ajak keluar pun tak boleh, tengok gambar saja saja pun tak boleh. Jadi macam mana?..

Saya tak berniat hendak memanjangkan tulisan saya, khuatir mendatangkan bosan kepada pembaca, mungkin boleh baca sedikit panduan dalam post saya sebelum ini ‘Sembang Sembang cinta’ atau ‘Diari Cinta Pengantin Baru’.

Sekian,

Wallahua’lam

Sumber : Pena Mujahid

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved