HOT SITE CLICK HERE FARAID WAJIB TAKUT TERMAKAN HARTA ANAK YATIM DAN HARTA SAUDARA MARA. | Islam For All
Breaking News
Loading...
Wednesday, January 1, 2014

FARAID WAJIB TAKUT TERMAKAN HARTA ANAK YATIM DAN HARTA SAUDARA MARA.




gambar hiasan shj

Pada hari ini menyelesaikan pusaka bukan lagi menjadi satu keutamaan kepada umat Islam. Tiada masa kerana sibuk bekerja, tiada hubungan baik dengan keluarga, malas hendak masuk campur kerana tidak berminat untuk mendapatkan harta tersebut, tinggal jauh dari kampung dan sikap enggan ambil tahu tentang harta pusaka adalah antara sebab-sebab remeh yang lazimnya kita dengar apabila ditanya mengenai status harta pusaka yang belum diselesaikan oleh waris.

Lebih membimbangkan lagi adalah kesan dari tindakan di kalangan waris sendiri yang gagal untuk menyelesaikan pusaka simati walau pun mengetahui perlu berbuat demikian seperti yang dikehendaki oleh syarak.





Apakah kesan dan implikasi yang dimaksudkan?

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa tindakan melengah atau menangguh penyelesaian pusaka ataupun enggan menyelesaikan pusaka simati atas sebab-sebab yang tidak diketahui membawa kepada pengabaian ketetapan Allah SWT iaitu tidak melaksanakan pembahagian Faraid.


Pelaksanaan ini adalah satu perkara yang dituntut dan wajib dilaksanakan kepada waris yang berhak sekiranya tiada persetujuan bersama dibuat sama sekali.

Senario begini amat membimbangkan, sekiranya masih berterusan dan tidak ditangani dengan positif akan membawa satu implikasi yang buruk dan kesannya amat memudaratkan kepada umat Islam khususnya. Umat Islam akan kehilangan ilmu faraid.

Secara ringkas apabila pentadbiran pusaka tidak diselesaikan, maka beberapa proses utama tidak akan dilakukan antaranya; mengenal pasti dan mengesahkan waris yang berhak, harta pusaka simati, hutang dan juga wasiat tentunya tidak dapat dilakukan dengan sempurna seterusnya pembahagian berdasarkan Faraid.

Oleh itu, seorang waris perlu tahu dan sedar akan kewajipan, tanggungjawab dan keutamaan yang perlu dilakukan kerana ianya boleh menjurus kepada perkara yang cuba dielakkan iaitu mengabaikan pelaksanaan Faraid. Dalam masa yang sama, waris juga jangan lupa, bagaimana pula kedudukan simati yang berada di alam yang berbeza? Apa jua yang dilakukan, yang pasti kesan dan implikasinya bukan hanya kepada yang hidup tetapi juga kepada yang telah mati.

Umat Islam dan waris perlu menyelesaikan pusaka simati secepat mungkin sama ada secara Faraid atau Persetujuan Bersama. Sekiranya tidak dilakukan dikhuatiri akan mengakibatkan berlakunya tiga perkara; memakan harta anak yatim, memakan harta saudara mara (Waris yang berhak ) dan memakan harta Baitulmal.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab waris untuk memberi keutamaan kepada beberapa perkara penting; iaitu menyelesaikan pusaka simati dengan kadar segera dan memastikan waris yang berhak mendapat hak masing-masing. Sama ada dilakukan sendiri atau sebaliknya, hak waris yang berhak perlu dilindungi setiap masa tidak sekali-kali diabaikan
serta mengelakkan berlakunya masalah-masalah pusaka berlapis.

Sekiranya pentadbiran pusaka tidak diselesaikan maka amat dikhuatiri berlaku kezaliman dan penganiayaan kepada waris-waris yang berhak contohnya; Golongan Ashabul-Furud yang menerima pusaka menurut dan berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada : 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka ini terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

Sekiranya di kalangan golongan ini terdapat kanak-kanak bawah umur belum berusia 18 tahun maka hak mereka telah diabai dan dianiaya. Apabila ini berlaku maka balasan yang akan diterima sesungguhnya hanya Allah SWT saja yang tahu.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), Yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (Masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan Yang betul (menepati kebenaran)” - Surah An-nisa’, ayat 9

Begitu juga dengan hak simati yang perlu dilaksanakan contohnya: yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang status dan kedudukan harta waris itu sendiri. Terutama sekali dari segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara lain seperti Zakat, Nazar, Kaffarah, Haji, Gadaian, Denda Hukum, Hutang kepada Allah dan sebagainya.

Sekiranya zakat belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, maka wajib ditunaikan. Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah, maka perlu dibayarlah hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan Haji, tetapi dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya, begitulah seterusnya.

Umat Islam dibolehkan dan dibenarkan menggunakan instrumen lain seperti; Wasiat, Amanah, Hibah dan Hadiah asalkan tidak bertentangan dengan tuntutan dan kehendak syarak tanpa sekali-kali membelakangi dan mengenepikan Faraid. Ini wajib difahami oleh umat Islam kerana pembahagian harta pusaka berdasarkan Faraid dilakukan dengan adil. Bagi tujuan pelaksanaan dan melindungi hak waris maka pembahagian dibuat hanya kepada nama waris dan bahagian masing-masing seperti yang tercatat di dalam Sijil Faraid.

Asas kepada kadar dan bahagian yang akan diterima oleh waris yang berhak sudah ditetapkan secara khusus juga melalui wahyu. Ayat-ayat mengenai faraid ini banyak terdapat dalam AI-Qur'an, begitu juga dalam hadis-hadis. Di antaranya hadis adalah seperti berikut yang bermaksud:

Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sabdanya:

“Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard’idh (waris) berdasarkan Kitabullah.”Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud).

Pada hari ini peranan manusia adalah untuk menunaikan fungsi utamanya iaitu bertanggungjawab untuk pelaksanaan hukum Allah. Perkara ini amat penting kerana hukum atau tatacara pembahagian harta waris melalui Faraid adalah wajib.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved