Ucapan salam kepada saudara Islam
Ucapan salam kepada saudara Islam wajib dijawab oleh orang yang menerima salam itu. Dalam hidup Rasulullah SAW selalunya baginda yang memberi salam terlebih dahulu kepada sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW berkata tiada seorang pun dari mereka yang dapat memberi salam terlebih dahulu kepada baginda melainkan baginda yang dahulu memberi salam kepada mereka.
Pada suatu hari ada seorang sahabat menunggu dijalan yang sering Rasulullah SAW gunakan untuk ke Masjid. Apabila sampai sahaja Rasulullah SAW ke arahnya beliau tidak sempat juga memberi salam kerana Rasulullah SAW terlebih dahulu memberi salam kepada sahabat tersebut kerana baginda sudah tahu ada seorang sahabat menunggu kerana hendak memberi salam. Begitulah hebatnya Rasulullah SAW kepada kita untuk mengambil ikhtibar beliau dalam memberi salam.
Menjawab salam pula hukumnya wajib. Tetapi disana terdapat beberapa tempat yang tidak disunatkan kita memberi salam dan tidak wajib menjawab.
Didalam kitab “ghizaul albab” karangan As-safarini jilid 1 mukasurat 242. Dimakruhkan memberi salam kepada beberapa kumpulan diantaranya:
1. Orang yang berwudhuk ( ketika sedang mengambil wudhuk ).
2. Orang yang sedang berada didalam tandas.
3. Orang yang sedang makan dan minum.
4. Orang yang sedang berperang.
5. Orang yang sedang membaca al-quran @ berdoa.
6. Orang yang sedang berzikir dan bertalbiah (ketika haji dan umrah).
7. Orang yang sedang mengajar,berkhutbah dan memberi nasihat.
8. Orang yang mendengar khutbah dan nasihat.
9. Orang yang sedang azan dan iqamat.
10. Orang yang sedang qada’ hajat.
11. Orang yang sedang bersama isteri (jima’).
12. Orang yang sedang iqamat.
13. Orang yang sedang mabuk.
14. Orang yang sedang sibuk dengan urusan qadhi.
15. Orang yang sedang solat.
16. Orang gila.
17. kanak-kanak.
18. Orang yang mengantuk @ sedang tidur.
19. Orang yang sedang dalam urusan penghakiman.
20. Salam pemuda kepada pemudi @ sebaliknya yang ditakuti membawa fitnah.
Setiap umat Islam itu bersaudara adalah kata-kata keramat yang sentiasa diulang untuk mengingatkan umat Islam pentingnya menjaga hubungan silaturahim demi mewujudkan kehidupan sejahtera.
Bersandarkan kepada ikatan persaudaraan, akan terbina kesatuan masyarakat yang memiliki satu rasa dan matlamat dibimbing oleh keimanan kepada Allah SWT yang dapat mengelak berlakunya perpecahan.
Walaupun berlainan keturunan, bahasa, bangsa, pangkat dan sebagainya, namun tetap di bawah keimanan sama, bersaudara kerana Allah SWT.
Dalam soal ini, Abdullah Nasih Ulwan menegaskan, “tidak ada persaudaraan tanpa iman dan tidak ada iman tanpa persaudaraan.” Penegasan itu selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Manusia yang sememangnya hidup bermasyarakat, konsep persaudaraan dalam Islam itu sangat penting difahami dan dihayati dengan bersungguh-sungguh.
Apabila disebatikan dalam kehidupan dengan penuh teliti seperti digariskan Islam, akan melahirkan gambaran sebuah masyarakat saling tolong-menolong, lengkap-melengkapi, bersifat kasih-sayang dan kenal-mengenal.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Berkenal-kenalan antara satu dengan lain membawa keuntungan besar kepada seluruh kaum Muslimin iaitu menguatkan persatuan, memperbesarkan lingkungan persaudaraan dan mengelak pertelingkahan mengakibatkan perpecahan dan pertumpahan darah.
Bagi memupuk persaudaraan ukhuwah Islamiah, setiap Muslim harus menelusuri dua jalan penting.
Pertama - ialah iman kerana sepanjang langkah perjalanan hidup umat Islam hendaklah berpandu dan berhukum dengan al-Quran dan sunnah Rasul SAW. Sentiasa ada upaya untuk menghindar tersasar daripada garisan syariat supaya setiap urusan, pekerjaan dan aktiviti seharian berpaksi kepada iman dan seterusnya memperoleh keredaan Allah.
Kedua - ialah membudayakan salam kerana budaya menyebarkan salam kepada sesama Islam, sama ada yang dikenali atau tidak dikenali, akan member hasil positif dalam membina kasih sayang dan perpaduan jitu.
Menurut Husnie Adham Jarror dalam bukunya Bercinta dan Bersaudara Kerana Allah SWT berpendapat bahawa menyebarkan salam bukan hanya sekadar bergetar di bibir saja, namun mencakupi tiga maknanya.
Salam yang diucapkan orang pertama kepada orang kedua, akan dapat mengikat hati dua insan bersaudara itu dengan ikatan kasih sayang. Ucapan salam pada saat pertama berjumpa, sungguh mententeramkan dan membuatnya kekal bersamanya.
Ucapan itu melimpahkan kebaikan yang banyak dan mengalirkan keberkatan mulia daripada Allah SWT melalui kalimah yang mendoakan kerahmatan serta keberkatan Allah SWT kepada yang menerima salam.
Umat Islam hendaklah mengekalkan persaudaraan demi kekuatan ummah yang menggerunkan pihak musuh serta membolehkan kedudukan Islam dihormati di mata dunia.
Usaha menyebarkan salam dan mengukuhkan persaudaraan boleh dijayakan dengan mengelakkan diri daripada perkara yang boleh merosakkan hubungan seperti bersikap mementingkan diri, berhasad dan suka menunjuk kelebihan diri.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu berdengki dan janganlah kamu menipu, dan janganlah kamu berbenci-bencian, dan janganlah kamu membelakangkan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hamba Allah bersaudara.”
Orang Islam bersaudara tidak boleh ia menganiayanya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tiada boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya.
Demikianlah beberapa larangan Rasulullah SAW kepada setiap orang Islam untuk memelihara kemurnian hidup persaudaraan yang tiada dibatasi oleh kekeluargaan, warna kulit, keturunan dan kedudukan.
Benarlah apa yang digambarkan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang terkenal bermaksud:
“Bandingan orang Mukmin dalam bercinta mereka dan berkasih sayang mereka dan bertolong-tolongan mereka seperti bandingan satu badan, apabila sakit satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga) tiada dapat tidur dan demam.”
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment