Sedekah itu payung di akhirat
Apabila kita menghadapi musim panas, banyak orang mengeluh kerana tidak tahan dengan cuaca panas dan selalu mencari tempat redup dan berhawa dingin untuk menyejukkan badan. Kadang-kadang tidur pun badan berpeluh dan bangun mandi tengah malam baru sedap untuk tidur kembali.
Itu baru kat atas dunia ini. Bayangkan cerita dari orang tua kita semasa kecil dahulu, katanya di Padang Masyar nanti. Matahari hanya sejengkal dari kepala kita. Tak boleh nak bayangkan betapa dasyatnya nanti. Sebagai seorang Muslim sentiasa khuatir akan nasib kita di hari kiamat nanti kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.
Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad SAW bertuah kerana baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti. Antara keterangan Rasulullah SAW ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia.
Ketika di Padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili. Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.” Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan:
“Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah SWT. Jangan meremehkan amalan sedekah.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang bersedekah dengan sebutir kurma dari usaha yang halal, maka Allah akan menerimanya dengan baik, lalu dipelihara-Nya seperti kamu memelihara anak kambing atau anak unta sehingga sedekahmu itu bertambah besar menjadi sebesar gunung atau lebih besar daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah kami meremehkan sedikitpun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada dua hadis di atas, ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah yang dikira, tetapi keikhlasan hati. Sedekahlah apa saja mengikut kemampuan
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya,
“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendaklah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu.
Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud:
“Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim)
Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan juga merupakan sedekah dan salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam. Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.
Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.
Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.
Tujuh golongan insan contoh
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis riwayat AbuDaud dan Ibnu Majah)
Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :
a) Pemerintah yang adil – Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid – Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah – Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah!” – Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya – Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.
Renung-renungkan!
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment