HOT SITE CLICK HERE Rasuah rosak diri anda dan masyarakat. | Islam For All
Breaking News
Loading...
Monday, January 13, 2014

Rasuah rosak diri anda dan masyarakat.





Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “Al-risywah”. Di dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “Memberi dan Menerima Suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. 
Rasuah tidak kira besar atau kecil jumlahnya dalam bentuk wang tunai atau pun dalam bentuk hadiah. Dahulu kita sering melihat anggota dari PDRM yang sering dikait dengan gejala rasuah. Tetapi apabila diamati balik gejala rasuah berlaku didalam semua bidang pekerjaan termasuk pendidikan dan yang terbaru pihak tentera ATM yang menjadi perbualan ramai.

Dalam kes rasuah yang sering kita lihat dalam berita tempatan, semua peringkat masyarakat yang terlibat mahu pun dari kerani pejabat sehingga ketua pengarah dan menteri-menteri terlibat dalam kes rasuah. Walaupun ditubuh SPRM sekali pun, gejala rasuah tetap akan berlaku kerana jika hendak ditangkap kesemua kes rasuah nanti tidak muat lagi penjara yang ada di Malaysia.
Kalau di negara China, yang terlibat dengan kes rasuah akan dijatuh hukuman mati. Ditembak dihadapan orang ramai tidak kira lelaki atau wanita. Pengajaran begini patut menjadi iktibar kepada sistem kehakiman di negara kita. Patut digubalkan undang-undang bersabit kes rasuah. Itu sebabnya perlu dilaksanakan Hukum Hudud di negara ini.
Semasa penulis memohon pekerjaaan dahulu. Pesan aruah ayah penulis, jangan mohon pekerjaan yang akan melibatkan dan senang terdedah dengan gejala rasuah seperti polis, JPJ. Jadi penulis pun memohonlah pekerjaan sebagai pegawai tentera. Ingat dalam tentera tidak ada rasuah, lebih teruk lagi rasuahnya dari polis. Sekiranya diberi peluang, lebih banyak askar berbanding polis akan menerima rasuah secara hormat.
Contohnya. Semasa penulis memegang jawatan di 91 Woksyop Pusat ATM, Batu Kantomen. Penulis adalah Pengerusi kepada panel yang bertanggungjawab membuka sebutharga bagi alat-alat ganti kenderaan tentera. Bukanlah semurah harga diluar kedai kerana harga pembekal tinggi kerana maklumlah terpaksa menunngu 3 atau 4 bulan baru pembekal menerima pembayaran cek dari kerajaan. Setiap sebutharga lebih kurang RM100,000 ke RM150,000. 
Jika penulis hendak menerima rasuah untuk satu sebutharga 3 atau 5 %. senang dan mewah hidup penulis. Bayangkan sebulan berpuluh sebutharga dibuka. Banyak syarikat yang ingin berjumpa dengan penulis untuk berbincang pasal sebutharga dan habuannya. Termasuk taukeh ekor haram yang berselindung operasi dengan membuat woksyop pembaikan kenderaan. Taukeh ekor haram ini memang kaya. Tetapi oleh kerana hendak menutup kegiatan haram, jadi diminta supaya syarikatnya disenarai sebagai pembekal. Tetapi penulis menolak semua permintaan beliau. Selang beberapa bulan, operasinya telah dibongkar oleh polis dan beliau telah ditangkap.
Jadi sepanjang 3 tahun, penulis mengelak dari perbuatan menerima rasuah kerana teringat akan pesan aruah. Sekiranya ada pembekal yang telah mendapat tender dan "payment" datang untuk memberi wang tunai sebagai saguhati. Penulis sediakan  sebuah tabung khas dan diuruskan oleh seorang kerani untuk merekodkan  wang tersebut digunakan untuk hal anggota-anggota yang memerlukan untuk kes kecemasan. Tabung ini diketahui oleh semua peringkat anggota di pasukan tersebut.      
Berbalik pada rasuah, sekiranya anda melakukan kesalahan lalulintas. Jika kamu hendak disaman oleh pihak polis trafik, minta maaf dahulu secara baik kepadanya dan minta kesalahan itu dimaafkan. Jangan beri rasuah kepada anggota trafik kerana bukan semua polis trafik menerima rasuah. Ada anggota polis yang baik dan jujur. Sama ada anda dilepaskan atau anda disaman sahaja. Sekiranya anda cuba memberi rasuah kepada polis yang jujur, sekiranya diadukan oleh beliau. Anda akan dikenakan tindakan mahkamah dan disabitkan kes memberi rasuah kepada polis, maka muka anda akan terpampang kat akhbar, malu besar dengan masyarakat. Dengan Allah swt lagi teruk hukuman di akhirat nanti. Jadi kalau kena saman terima sajalah. Bayar saman dapat diskaun jika dibuat rayuan.
Semua hasil yang dimakan dari rasuah adalah Haram, menurut Nabi SAW “As-suhut” iaitu api neraka lebih utama dengannya. Syurga hanya menerima penghuninya yang daging tubuhnya dari sumber yang halal sahaja. Sebelum mereka dimasukkan ke dalam syurga, daging tubuh dari sumber haram akan dibakar dahulu sehingga habis dan hanya tinggal daging tubuh dari sumber yang halal sahaja yang diterima masuk syurga Allah SWT.
Maka kita sebagai umat Islam haruslah menjauhi diri kita dari perbuatan terkutuk ini kerana siksaan di akhirat amatlah pedih bagi orang-orang yang terlibat dengan Rasuah. Ingat-ingatkanlah wahai para ahli-ahli politik dan menteri-menteri semua. Kalau di dunia kamu hidup senang lenang, mewah dengan wang ringgit. Di akhirat kelak kamu terimalah balasannya. 
Perbuatan rasuah amat dilarang keras oleh Syariat Islam, dihitung sebagai suatu Dosa Besar.
Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 177
“Janganlah kamu makan harta-harta diantara kamu dengan jalan haram dan kamu bawa (berikan) kepada hakim-hakim untuk kamu makan sebahagian dari harta-harta manusia (orang lain) dengan cara kedosaan walhal kamu mengetahui.”
Sabda Nabi S.A.W
“Laknat Allah atas orang yang memberi suap dan orang yang menerima suap dalam hukum”
PUNCA BERLAKUNYA RASUAH
Antara punca berlakunya rasuah ialah:  

1. Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

2.  Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

3.  Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

4.  Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat  menyiapkan projek dan sebagainya.

5.  Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita. 

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan  wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh  menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH


Antara langkah  mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jatidiri.
Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

2. Memasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan.
Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik  benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman.
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT.
Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan  supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan  proses.

Semuga dijauhilah perbuatan rasuah dan mendapat keberkatanNya di dunia dan di akhirat.


Wasallam.

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved