HOT SITE CLICK HERE Haji yang mabrur (2) | Islam For All
Breaking News
Loading...
Wednesday, January 8, 2014

Haji yang mabrur (2)




Sambungan dari catatan: Haji yang Mabrur (1)

“Janganlah ke sana untuk mencari karamah (peristiwa-peristiwa aneh) tetapi cukup sekadar bertemu ISTIQAMAH. “

Saya lihat sendiri  betapa ada  Haji dan Hajah yang bercerita tentang  “kehebatan” dan “keberuntungan” diri kerana terpilih tetapi bila disuluh dengan ilmu mereka sebenarnya masih tersisih. Mujur, jika kita belum pergi, maka itu peluang untuk lebih serius mempersiapkan diri. Jangan sampai dipilih untuk disisih!

Bagi yang akan pergi, bertaubatlah banyak-banyak, pinta petunjuk dan hidayah sepanjang kembara  di  sana.  Bersedia  atau  tidak,  jangan diperkirakan lagi. Tetapi tanamkan rasa terus berusaha, bermujahadah dan berdoa serta bersangka baik. Katakan pada diri, “Allah telah memanggil aku, aku wajib pergi,  bersedia atau tidak aku mesti pergi! Aku mesti bersangka baik kepada Allah. Dan memberi peluang untuk diri sendiri.”

Bagi  yang  telah pergi, sudi-sudilah terus-terusan bermuhasabah ibadah hajiku tahun-tahun yang lalu sudah “berbuah”? Akhlakku bagaimana?  Istiqamahku   setakat   mana?   Solat,   puasa   dan   lain-lain  ibadah habluminallah  apakah  sudah  semakin  meningkat?  Bagaimana  pula dengan riyak,  ujub  dan summah? Hasad, marah dan tamak? katakan, “wahai Tuhan, apakah amalan hajiku tempah hari telah KAU terima?”

Untuk  anda  saudara-saudaraku.  Sudi apalah kiranya membaca kisah-kisah ini.  Bukan untuk menyuluh orang lain, tetapi buat menyuluh diri sendiri.

Bukankah  kita  saling  menjadi  cermin  antara  satu  sama  lain?  Jadi   pandanglah “wajah” kita dalam kisah-kisah ini:

1..    Sekali pun sudah berkali-kali haji. Kisah yang  menyayat hati ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Seorang kaya yang bergelar haji mati dalam keadaan yang menyedihkan sekali. Pada tahun-tahun  terakhir  menjelang kematiannya, dia hidup begitu menderita dan terseksa sekali. “Kau maafkanlah kesalahannya, “ rayu saya kepada adik. Saya tahu adik saya begitu kecewa dengan sikap haji yang pernah menjadi    majikannya.

“Dah maafkan bang,” ujar adik saya perlahan.  Saya  masih  ingat  betapa  marahnya dia kepada Pak Haji majikannya itu.  Setelah  bekerja hampir setahun, gaji yang diberikannya kurang daripada apa  yang  dijanjikan  dahulu. Adik saya tetap bersabar. Dengan harapan, gaji  yang  tidak  sampai  separuh itu akan dibayar penuh pada satu hari nanti.  Namun  malang, hari yang dinantikannya tidak pernah tiba. Hendak    dikatakan  perniagaannya  rugi tidak juga… Perniagaannya bertambah maju. Pekerjanya makin bertambah. Dan yang paling ketara setiap tahun dia akan pergi mengerjakan haji. Entah kali ke berapa, sudah tidak dapat dihitung lagi.

Mula-mula adik saya bersangka baik. Mungkin majikannya ada strategi tersendiri. Dia setia menanti. Namun segala-galanya terbongkar apabila rakan kongsi perniagaan Pak Haji itu menemuinya pada satu hari.

“Bulan depan saya akan mengerjakan haji. Saya minta maaf dan ini separuh daripada gaji-gaji kamu yang tidak dibayar selama ini,” katanya kepada adik saya.

“Maksud tuan?” tanya adik saya kehairanan.


“Saya rasa berdosa kerana turut terbabit tidak membayar gaji kamu,” kata rakan kongsi niaga Pak Haji tersebut.

“Kalau begitu mengapa separuh sahaja?”  tanya adik saya lagi setelah mengira wang diberikan.


“Separuh  lagi  kamu  mintalah  kepada Pak Haji. Bukankah kami berkongsi perniagaan ini. Tidak adillah   kalau saya seorang sahaja yang membayarnya,”


kata rakan niaga Pak Haji itu secara berterus-terang. Adik saya malu alah untuk menuntut baki gaji tersebut. Maklumlah sudah beberapa kali meminta tetapi ditolak dengan pelbagai alasan.


Memandangkan Pak Haji itu juga turut akan mengerjakan haji buat sekian kalinya pada tahun itu, adik saya menyangka beliau akan mengambil sikap yang serupa dengan rakan niaganya.

Tunggu punya tunggu, harapan adik saya tetap tidak kesampaian. Pulang daripada  Makkah  tahun  itu dan pulang lagi pada tahun-tahun berikutnya tetap  membuahkan  natijah  yang sama. Ketika adik saya memohon berhenti kerja sekalipun baki gajinya tetap tidak dilangsaikan. Pak haji tersebut tetap selamba  dengan  sikapnya. Teganya  dia, berulang alik ke Makkah tetapi  menzalimi  pekerjanya  sendiri.  Apakah dia sudah tidak mengenal lagi  keutamaan  yang  wajib berbanding  dengan  yang  sunat.  Pada hal mengabaikan  hak  sesama  manusia  itu  kekadang  lebih padah hukumannya daripada mengabaikan hak Allah.

“Betul kau telah reda?”

“Insya-Allah  bang. Tetapi masalahnya bukan saya seorang sahaja yang  mengalami  keadaan  begitu,  ramai  lagi  pekerja-pekerjanya  yang  lain menerima nasib yang sama.”
   
Saya tunduk. Sedih. Pak Haji telah diserang “stroke” yang berat hingga badannya  terketar-ketar  dan  hilang daya pertuturan dan lumpuh separuh badan. Dan berbulan-bulan kemudian, dia pergi buat selama-selamanya. Semoga Allah SWT merahmati rohnya. Mana tahu dia bukan sengaja… dia hanya tidak tahu! Mungkin.

2.    Sah tetapi tidak mabrur. Pernahkah anda dikejutkan oleh  sikap  seseorang  yang  baru  pulang mengerjakan  haji?  Hasil pergaulan dengan masyarakat, ramai yang pernah mengalami  kejutan  apabila  kawan  atau saudara mereka yang baru pulang dari Makkah  telah  berubah  sikap.  Bukan  ke arah  kebaikan  tetapi sebaliknya.  Jika  dahulu  tutur katanya lembut dan merendah diri tetapi kini bertukar sama sekali.

Benarlah  seperti apa yang pernah saya pelajari dahulu, ego itu bermacam ragam.  Ada  orang  ego dengan harta dan kuasa, tetapi ada juga yang ego dengan  amal  dan “pahala”nya. Padahal ibadah itu (termasuk haji) umpama pokok, buahnya adalah akhlak. Apalah gunanya pokok yang tidak berbuah?

Minggu  lalu  berlaku  satu  dialog  ringkas antara saya dan sepupu saya selepas mengerjakan solat tarawih di masjid berhampiran rumah kami.

“Ibadah  haji hanyalah satu proses. Yang dicari ialah “output”nya,” kata saya.

“Maksud abang kesan haji?”

“Ya.  Daripada  output  itulah  dapat diukur apakah haji itu mabrur atau tidak,” jelas saya lagi.

“Apakah kesan haji?” tanyanya lagi."

“Takwa dengan Allah. Berakhlak sesama manusia.”

“Siapa yang mampu mengukur takwa dan akhlak?”


“Payah sekali. Terlalu maknawi. Tetapi sekadar boleh diagak-agak.”


“Oleh siapa?”


“Oleh yang empunya diri.”


“Bagaimana?”


“Melalui rasa hati.”


“Bagaimana?”

“Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah  diri.  Mudah  rasa  berdosa  dan  segera bertaubat. Tutur kata menjadi  lembut  dan  senang sekali untuk bersedekah,” saya menceritakan semula apa yang pernah dipelajari dahulu.
   
“Kita sepatutnya bermuhasabah  kenapa  ada orang yang begitu berbangga bercerita  tentang  beberapa  kali dia mengerjakan haji dan umrah tetapi perangainya tidak pernah berubah… Masih tega menzalimi, mengumpat dan menipu orang lain.”
   
“Sahkah haji yang begitu?” tanyanya untuk mendapat kepastian.

“Jika tepat syarat dan segala rukunnya memang sah, tetapi tidak mabrur!”

Setelah dialog itu berakhir, dalam hati saya terpahat satu kesimpulan:
Janganlah hendaknya diheboh-hebohkan sudah berapa kali kita telah melaksanakan haji dan umrah tetapi  tanyalah diri sendiri, sudahkah akhlak kita bertambah baik setelah itu? Apalah gunanya memiliki beratus-ratus pokok  buah-buahan tetapi sebatang pun tidak menghasilkan buah?

3.    Di Hajarul aswad itu. Tolak  menolak  begitu  hebat.  Rebut  merebut begitu dahsyat. Acap kali berlaku pertengkaran. Kekasaran, siku menyiku usah dikatakan lagi. Sudah biasa. Ironinya, itu semua konon katanya ingin mendapat keredaan Allah SWT ingin  mencium batu syurga, Hajarul aswad itu. Mungkin jika Ansar dan Muhajirin berada di situ  melihat gelagat umat ini, mereka akan sedih berbaur  hairan. Apa  tidaknya,  ketika persaudaraan mereka dikukuhkan sebaik pasca peristiwa  hijrah,  mereka saling berkorban demi iman dan Islam.

Jika  ada di antara Ansar punya dua bidang tanah, diserah satunya kepada saudara muhajirinnya. Begitu juga yang punya dua rumah. Yang punya satu, rela  dikongsi  bersama . Harta dan segala milik dibelah dua. Malah yang punya  dua isteri, rela diceraikan untuk diberikan kepada kaum muhajirin yang  tidak  punya  apa, hilang segala-galanya apabila berhijrah dari Makkah ke Madinah. Itu semua sudah tercatat dalam sejarah.

Sudah menjadi teladan yang  indah yang dinukilkan dalam kitab Hayatus Sahabah,  bagaimana  dalam  satu peperangan telah terjadi peristiwa yang indah. Di kalangan tentera Islam saling menolak untuk meminum air walaupun terlalu dahaga kerana mengutamakan sahabat seperjuangannya yang lain. Pada saat yang sangat kritikal pun ukhuwah terus dipertahankan kerana itulah buah iman. Iman kukuh, ukhuwah teguh.

Namun sedih dan malang sekali, kini di hadapan Kaabah, Muslim sesama Muslim saling bertolak-tolakkan, meluntur persaudaraan, meleburkan iman, hanya  untuk mendapat barakah sunat mencium batu syurga itu. Ukhuwah itu wajib,  mencium  Hajarul Aswad itu walaupun dituntut tetapi hanya sunat.
   
Jika tidak berkesempatan, cukuplah ber”istilam”, melambai dan mengucup tangan sambil mengucapkan, “bismillahi Allah hu Akbar!” Jika ikhlas, itu pun sudah memadai untuk mendapat barakah Hajarul Aswad.

Semua ini mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang kenalan sebaik pulang mengerjakan umrah tidak beberapa lama dahulu.
   
“Kau dapat menciumnya?” dia bertanya, senyumnya sinis sekali. Ketika saya diam.

“Aku dulu dapat menciumnya  lebih  tiga  kali,”  dia bersuara apabila  melihat saya diam.

“Bagaimana kau boleh dapat peluang macam tu?”

“Itulah ajaibnya. Dah memang rezeki aku semacam satu lorong khas disediakan untuk aku untuk menciumnya…”
   
Dan dia terus bercerita tentang “keajaibannya”.

Saya  tersenyum. Mengapa kekadang kita mencari yang “ajaib-ajaib” sahaja di Makkah dan Madinah.  Kemudian  kejadian  luar  biasa itu dijadikan semacam  penanda  aras  pada  status diri dalam beragama. Seorang kawan, asyik bercerita bagaimana dia akan mendapat gelas air zamzam pemberian orang  berjubah  putih setiap kali selepas bertawaf. Dia seolah-olah merasakan orang berjubah putih itu adalah “insan  luar biasa” yang mengiktiraf akan kehebatannya. Pada hal, rasa saya, kalau dialah yang memberi gelas air zamzam kepada orang lain selepas orang lain itu penat bertawaf,  itu yang lebih luar biasa. Bukankah tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?

Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved