TIDAK MENDAPAT CAHAYA DI AKHIRAT
Terjemahan:
Surah Al Hadid: 12 – 15
(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar dihadapan dan disebelah kanan mereka (dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak.
Pada hari ketika orang-orang munafiq laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu". Dikatakan (kepada mereka): "Kembalilah kamu kebelakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu). Lalu diadakan diantara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan disebelah luarnya dari situ ada siksa.
Orang-orang munafiq itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: "Bukankah kami dulu bersama sama dengan kamu?" Mereka menjawab: "Benar, tetapi kamu menfitnahkan dirimu sendiri, dan menunggu-nunggu (kehancuran kami), dan kamu ragu-ragu, dan kamu ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.
Maka pada hari ini tidak diterima tebusan dari kamu dan tidak pula dari orang-orang kafir. Tempat kamu adalah neraka. Dialah tempat berlindungmu. Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali.
Tafsiran Ayat:
(12) Allah SWT. menceritakan pada ayat ini tentang orang-orang yang benar-benar beriman bahawa pada hari kiamat kelak mereka akan dikelilingi oleh cahaya sesuai dengan kadar amal mereka.
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya membawa beberapa riwayat yang berkaitan rapat dengan ayat di atas, antaranya:
Abdullah Bin Mas'ud RA berkata:
Cahaya yang menyinari mereka ketika mereka meniti Shiratal Mustaqim itu kadarnya sesuai dengan kadar amalan mereka, ada yang cahayanya sebesar gunung, ada yang sebesar pohon korma, ada yang sebesar manusia yang sedang berdiri, dan cahaya yang paling kecil ialah sebesar ibu jari dan berkelap-kelip pula, sekali menyala dan sekali padam. (Riwayat Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir)
Al Dhahhak RA berkata: Tidak seorangpun pada hari kiamat melainkan diberikan kepadanya cahaya, dan apabila mereka tiba di pangkal titian Shiratal Mustaqim lalu dipadamkan cahaya dari orang-orang munafiq. Melihat keadaan itu orang-orang yang berimanpun khuatir kalau-kalau cahaya mereka juga dipadamkan. Lalu mereka berdoa:
"Ya Tuhan kami sempurnakanlah untuk kami cahaya kami, seungguhnya Engkau Maha Kuasa terhadap segala sesuatu ". (Al Tahrim: 8)
Rasulullah SAW. bersabda: "Akulah orang pertama yang diizinkan untuk sujud pada hari kiamat dan aku pula orang pertama yang dizinkan mengangkat kepalanya. Lalu aku melihat orang-orang yang berada dihadapanku, dibelakangku, dikanan dan dikiriku, dan aku mengenali umatku diantara mereka. Seorang sahabat bertanya: "Ya Nabi Allah, bagaimana Tuan dapat mengenali umat Tuan diantara umat umat itu? Jawab baginda:
Aku mengenali mereka kerana mereka bergelang kaki sebagai kesan wudhu' mereka, umat lain tidak mempunyai tanda itu, aku mengenali mereka kerana mereka diberi kitab catatan amalan dari sebelah kanan, aku mengenali mereka dari kesan pada wajah mereka, dan aku mengenali mereka dari cahaya yang menyinari mereka. ( HR Ibnu Abi Hatim dari Abi Darda’ )
(13) Dalam ayat ini pula Allah menceritakan keadaan orang-orang munafiq. Ketika cahaya dipadamkan dari mereka lalu mereka kembali ketempat asal pembahagian cahaya, namun mereka kecewa dan hampa kerana cahaya sudah tiada. Lalu merekapun meminta belas kasihan orang-orang yang beriman sambil memohon:
"Tolong tunggu kami, supaya kami boleh mengambil sedikit dari cahaya kamu!" Orang-orang beriman menjawab: "Kembalilah kamu kebelakang dan carilah sendiri cahaya untukmu!"
Nyatalah dari keterangan diatas bahawa keadaan manusia diakhirat nanti adalah nafsi nafsi (indevidualis). Masing-masing ingin menyelamatkan diri sendiri. Tidak ada disana sifat tolong menolong kecuali orang yang mendapat izin daripada Allah (syafa'at). Segala urusan pada hari itu hanya terletak ditangan Allah.
Ini sebagaimana firman Allah:
(Hari kiamat) ialah suatu hari dimana seorang diri tidak dapat menolong diri yang lain sedikitpun, dan pada hari itu segala urusan hanya terletak ditangan Allah (Al Infithar / 82: 19).
Pada ketika itulah mereka dipisah oleh Allah dengan tembok (dinding) yang sangat kokoh. Bahagian dalam dinding tempat orang-orang beriman yang dipenuhi dengan rahmat, dan bahagian luar dinding tempat orang-orang munafiq yang dipenuhi dengan siksaan. Maksud dinding pemisah diatas ialah dinding pemisah antara syurga dan neraka.
Pada dinding tersebut ada pintu. Orang-orang beriman semuanya akan masuk melalui pintu tersebut, dan apabila semuanya sudah masuk maka pintu itu akan ditutup. Dan orang-orang munafiq akan tinggal diluar pintu dalam keadaan terpingar pingar, terheran heran dalam kegelapan, tidak tentu haluan yang hendak dituju dan mereka tersiksa. Keadaan mereka disana seperti keadaan mereka di dunia yang penuh ragu dan tidak menentu seperti tidak ada panduan. Wal'iyadzu Billah.
Ungkapan orang orang yang beriman kepada orang orang munafik, iaitu: "Kembalilah kamu kebelakang dan carilah sendiri cahaya untukmu!" mengandungi tiga makna, iaitu:
Kembalilah kamu ke tempat yang asal kamu mendapat cahaya, lalu merekapun kembali tetapi hampa kerana cahaya yang ingin di ambil sudah tidak ada lagi.
Kembalilah kamu ke dunia dan lakukanlah amal soleh supaya Allah menganugerahkan kamu cahaya.
Tidak ada cahaya kamu dari sisi kami. Ketika itulah mereka dibatasi oleh dinding. Menurut Ibnu Abbas (ra) dinding tersebut ialah al A’raf iaitu dinding yang memisahkan antara syurga dan neraka.
(14) Orang-orang munafiq tetap merayu belas kasihan orang-orang beriman, dari luar tembok mereka memanggil: Bukankah dulu ketika di dunia kita bersama sama? Sama sama salat berjamaah, sama sama pergi haji dan umrah, sama sama menghadiri majlis ilmu? Lalu orang beriman menjawab: Memang benar, kita dulu memang sama! Tetapi sayangnya kamu telah memfitnah dirimu sendiri, kamu menunggu nunggu, kamu ragu ragu, dan kamu terpedaya oleh angan angan kosongmu sendiri.
Berdasarkan dialog diatas dapat diambil kesimpulan bahawa ada empat sifat utama yang boleh menghalang seseorang dari mendapat cahaya diakhirat nanti, mereka akan diliputi oleh kegelapan dari semua penjuru walaupun ketika didunia mereka itu kelihatannya selalu bersama dengan orang-orang yang beriman.
Orang orang yang beriman mengakui bahwa mereka di dunia bersama sama dengan mereka. Ini terbukti dari jawapan mereka ketika ditanya oleh orang orang munafik: Benar! Kita dulu di dunia memang sama pada zahirnya, seperti sama sama mengucap Dua Kalimah Syahadat, solat, puasa, jihad, haji dan umrah dan lain lain, tetapi kamu beramal tidak berdasarkkan iman yang murni dan tidak dengan niat yang ikhlas.
Adapun empat sebab utama yang membezakan nasib mereka di akhirat nanti, walaupun ketika di dunia bersama sama, ialah:
MEMFITNAH DIRI SENDIRI:
Mereka memfitnah diri mereka sendiri maksudnya: Mereka munafik dan gemar berpura pura ketika beramal. Walaupun mereka melakukan banyak amal soleh tetapi mereka masih bergelimang dosa. Masih suka menuruti kehendak hawa nafsu. Terlalu berleluasa mengejar kelezatan dunia sehingga tidak kira darimana sumbernya. Sudah tidak lagi memikirkan tentang mana yang halal dan mana yang haram. Pokoknya boleh hidup mewah dan senang lenang mengatasi orang lain.
MENANGGUH-NANGGUH:
Iaitu suka menangguh nangguhkan taubat. Ingin terus enjoy dan menikmati masa muda dan bersikap nanti saja tobat bila umur sudah lanjut. Mereka golongan yang suka menangguh nangguhkan amal soleh kerana terus menyibukkan diri dengan hal hal keduniaan. Dan ada pula yang menafsirkan: Kamu tertunggu tunggu masa yang tepat untuk menghancurkan orang-orang yang beriman.
RAGU-RAGU:
Iaitu kamu ragu ragu akan adanya hari berbangkit setelah kematian. Kamu ragu ragu akan kebenaran ajaran Allah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Walaupun berikrar dengan Dua Kalimah Syahadat tetapi dalam pelaksanaannya kamu masih lagi mengutamakan undang undang buatan manusia daripada undang undang Allah, kamu masih lagi mengutamakan pandangan dan pendapat manusia biasa dan ketepikan firman Allah dan Sunah Rasul-Nya. Malahan tidak jarang pula kamu memperleceh Sunnah Rasu saw dan beranggapan terhadap orang orang yang mencoba untuk menghidupkan dan mengikuti Sunnah Rasul sebagai ketinggalan zaman.
TERPEDAYA OLEH ANGAN-ANGAN KOSONG.
Iaitu kamu mengira bahawa Allah SWT kelak di akhirat pasti akan mengampuni dosa dosa kamu. Perkiraan itu hanya atas dasar kerana kamu beragama Islam padahal dalam kenyataannya amal salih tidak kamu dipertingkat malahan maksiat masih banyak kamu lakukan. Hidup penuh dengan khayalan kononnya kelak Allah swt pasti akan memberinya keampunan. Mereka tetap dalam keadaan demikian sehinggalah datang ajal mereka. Dan menurut Imam Qatadah: Maksud ucapan orang-orang beriman kepada orang-orang munafiq diatas ialah:
"Sesungguhnya kamu bersama kami di dunia hanyalah dengan jasad saja, bukan dengan hati dan niat. Kamu berbuat baik bersama kami hanya ingin melepas batuk ditangga, kamu tidak ikhlas ketika beramal, kamu beramal hanya didorong oleh kepentingan pribadimu, menunjuk nunjuk dan riak".
(15) Pada Hari Kiamat nanti tidak akan diterima tebusan agar boleh terlepas daripada azab Allah walaupun kita dapat mengadakan tebusan dalam bentuk emas sebesar bumi. Tempat kembali orang-orang kafir dan orang-orang munafiq adalah neraka. Disanalah tempat mereka berteduh. Wal'iyadzu Billah.
0 comments:
Post a Comment