SIAPA SAJA BOLEH BERSEDEKAH
Suatu hari, selepas menyampaikan kuliah di surau dan hendak mencari selipar untuk pulang, saya dapati selipar saya sudah dipusingkan ke arah luar. Siap untuk disarung! Mungkin insan yang memusingkan selipar tersebut telah mempraktikkan hadis yang dikongsikan sebentar tadi – sedekah.
Dalam sebuah hadis dari Abu Zarr yang diriwayatkan oleh Muslim, sebahagian sahabat muhajirin yang miskin mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kecemburuan mereka terhadap sahabat-sahabat yang kaya raya, kerana mempunyai kelebihan untuk bersedekah dengan harta mereka.
Maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa mereka juga boleh bersedekah walaupun tidak memiliki harta yang banyak. Iaitu melalui takbir, tahmid, tasbih, tahlil, amar makruf dan nahi mungkar. Bukan setakat itu, menyetubuhi isteri masing-masing juga boleh jadi sedekah yang mendatangkan pahala!
Pengajaran dari hadis:
1. Allah SWT buka peluang kepada semua orang untuk mendapat pahala sedekah. Tidak semestinya kita seorang yang kaya baru boleh bersedekah. Jika kita seorang ahli surau, menutup suis lampu atau tingkap surau sebelum meninggalkannya adalah sedekah. Membasuh cawan dan mengelap meja makan, sedekah. Membersihkan tempat wuduk dan tandas surau adalah sedekah. Jika kita penghuni sebuah taman perumahan, berselisih dengan jiran sambil melemparkan senyuman, adalah sedekah. Mengangkat tangan kepada pengawal keselamatan, sedekah. Membersihkan longkang yang tersumbat, adalah sedekah. Jika kita seorang penjawat awam (termasuk guru), datang awal atau pulang lewat tanpa menuntut imbuhan adalah sedekah. Jika kita seorang ketua jabatan, melakukan kerja-kerja anak-anak buah, juga sedekah. Dan macam-macam lagi…
2. Kita patut cemburu melihat orang lain yang lebih banyak amalnya, maka kita berlumba-lumba untuk menyaingi pahalanya. Demikianlah sifat sahabat yang perlu diteladani. Mereka sibuk memikirkan bekalan akhirat dan runsing jika ada amalan soleh yang tidak dapat disempurnakan. Kalaulah dengan perkara duniawi yang sementara ini kita sanggup berlumba dan bersaing, mengapa tidak kita berlumba untuk bekal akhirat yang kekal abadi! Semua ini bergantung kepada kecenderungan dalaman kita.
3. Sedekah adalah amal dan setiap amal perlu dilakukan dengan ilmu. Bukanlah ikhlas semata-mata, tetapi perlu dengan ilmu. Beberapa hadis membuktikan para sahabat bertanya kepada Nabi SAW, cara atau jalan yang boleh menyampaikan mereka ke syurga dan jauh dari neraka. Maka jika kita buntu untuk beramal, tanyalah orang yang lebih arif, supaya amal kita diterima Allah SWT dan menjadi ‘pelaburan yang menguntungkan’. Berapa ramai orang yang suka mengerjakan haji dan umrah lebih dari sekali. Mereka membelanjakan RM5,000 hingga RM10,000 untuk ke Mekah dan Madinah, dan pulangannya hanyalah untuk diri mereka sendiri sahaja. Bayangkan kalau jumlah yang sama digunakan untuk maslahat umum seperti membiayai majlis-majlis ilmu di surau atau masjid atau aktiviti-aktiviti dakwah, bukankah pahala berlipat kali ganda! Benarlah pepatah Melayu. "Buat baik berpada-pada".
Semoga Allah SWT kurniakan kita kekuatan untuk kita faham dan beramal soleh.
Wallahu a’lam. Jazakallah khairan
0 comments:
Post a Comment