JANGAN BERSEDIH
Assalamualaikum pembaca yang budiman. Pada hari jumaat semalam, tanggal 4 Feb 2011. Penulis telah bersolat jumaat di Masjid Aziziah Bt 10, Taman Desa Bernam, Hutan Melintang, Perak. Penulis dahulu kariah di masjid tersebut. Setelah sekian lamanya tidak menziarahi kawan-kawan semasa menyewa disitu setelah masjid lama yang baru dibina semula siap 2 tahun yang lepas. Terasa rindu untuk bersolat di masjid baru dan bertemu kawan-kawan yang lama tinggal di taman tersebut.
Sebagai manusia yang kudratnya bergantung kepadaNya dan sedang-sedang sahaja iman yang ada. Kadang-kadang apabila satu masalah datang dan ditimpa masalah baru pulak. Terasa tekanan dan semangat semakin menurun seperti tidak bermaya lagi. Nak diceritakan kepada pembaca, semua kita ada masalah tersendiri. Seperti masalah kewangan, keluarga, kesihatan dan banyak masalah yang merundungkan diri kita.
Tapi selepas mendengar khatib membaca khutbah jumaat semalam. Semangat dan perasaan telah berubah kembali seperti sediakala. Segala masalah yang ada tidak sedikit pun menjadi bebanan dan penghalang untuk kembali menjalankan perintahNya. Sesetengah orang apabila diuji sedikit masalah maka keimanannya semakin berkurang dan berkurang sehingga semua yang diperintahNya mula tidak diikuti. Solat mula dilengahkan. Kadang-kadang terlepas waktu solat dan seterusnya tidak bersolat langsung kerana masalah dan perasaan kecewa dan sedih mengenangkan musibah yang bertimpa-timpa yang dahulunya tabah dan kuat tapi kini lesu menjadi longlai dan tidak bermaya seperti insan yang kecewa dan putus asa dalam hidup. Itu yang dikatakan kemurungan.
Teks khutbah ini penulis minta sendiri selepas selesai solat jumaat untuk dimasukkan ke dalam blog ini untuk kita sekalian baca dan hayati serta manfaatkan. Iman kita kadang-kadang menjadi yang begitu rapuh seperti kulit telur bila ditimpa sedikit masalah. Jadi bacalah teks khutbah yang bertajuk"JANGAN BERSEDIH”.
TEKS KHUTBAH JUMAAT 4 FEBRUARI 2011 DI MASJID AZIZIAH BT 10.TAMAN DESA BERNAM.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah SWT.
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita sentiasa mendapat keberkatan, rahmat dan kasih sayang dari Allah swt.
Mimbar pada hari ini ingin menyingkap perasaan sedih dan hiba atau "stress" yang melingkari kehidupan insan.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah.
Dalam melayari kehidupan yang singkat ini. Adakah kita perlu menghabiskan hayat yang ada dengan bersedih dan berhiba? Berhiba disebabkan musibah yang melanda dalam kehidupan kita ini. Maksud musibah adalah sesuatu bebanan atau kesulitan yang menyusah dan menyakitkan jasmani atau rohani menimpa pada diri seseorang insan.
Walaupun perasaan sedih itu merupakan tabie semula jadi insan. Menitiskan airmata disebabkan kesedihan adalah merupakan kelumrahan. Rasulullah saw pernah bercucuran air mata apabila ditinggalkan oleh orang yang disayangi. Tetapi bersedih atau berhiba yang boleh membawa kemusnahan hidup adalah ditegah. Meraung dan berhiba sehingga mencakar dada dan mengoyakkan baju adalah dilarang dalam Islam. Perasaan kecewa dan putus asa yang tertanam dalam dada adalah berdosa besar. Yakinlah, bahawa Allah swt yang bersifat Rahman dan Rahim. Sentiasa memberi harapan baik atau rahmat dan pertolongan kepada setiap makhlukNya.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Hujurat ayat 15.
Maksudnya:
"Seseungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya."
Menurut kitab “Jangan Bersedih” yang diperakui oleh Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, bahawa beristirehat bagi mukmin itu adalah kelalaian. Waktu yang terlaung akan berlaku pengangguran minda, tenaga dan menjadi pemusnah kehidupan murni. Kebanyakan manusia yang menghadapi penyakit berdukacita, bersedih dan menghadapi seribu kekecewaan dalam hidup adalah berpunca dari pengangguran minda dan tenaga. Kadangkala waktu yang terluang digunakan untuk mengimbas kembali peristiwa-peristiwa lampau tentang diri, keluarga atau sahabat yang menyakitkan, memikirkan tugas harian yang menimbun, beromong-omong kosong, melepak tanpa tujuan atau melakukan perbuatan yang ditegah syara’. Apabila menghadapi situasi demikian rupa, sesungguhnya minda, hati dan perasaan akan menjadi taman lapangan para syaitan. Jelaslah bahawa pembaziran waktu itu akan menuju kepada kebathilan bukan penyelamat masalah.
Allah berfirman dalam surah Al-Fath, ayat 9.
Maksudnya:
"(Kami mengutusmu Wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamanya serta memuliakannya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang."
Sidang hadirin yang dirahmati Allah swt.
Dalam usaha untuk menghindarkan diri dari ditimpa kekecewaan, kesedihan dan putus asa itu, maka jangan mengharapkan balasan dari insan lain dari kerja-kerja amal kebajikan atau pengorbanan yang dilaksanakan. Hati dan perasaannya tidak riak, ujub dan takbur dengan amalannya itu. Sesungguhnya, ini merupakan suatu titian untuk mencapai tahap kemanisan dalam beramal. Allah swt telah memberi gambaran insane seumpamanya dalam surah Al-Insan, ayat 9.
Maksudnya:
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati) “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata, Kami tidak berkehendakan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.”
Rasulullah saw menegakkan Agama Allah di muka bumi ini tidak mengharapkan sebarang balasan dari ummatnya. Walaupun baginda Rasulullah merupakan seorang pemimpin agung, tetapi baginda masih tidur beralaskan pelepah tamar. Tinggal dirumah usang. Baginda juga masih mampu makan hanya sebutir tamar dalam sehari.
Firman Allah Taala lagi dalam surah Syaad, ayat 86.
Maksudnya:
Katakan (Wahai Muhammad) “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku”
Ini bermakna, sebarang amal soleh yang dilakukan adalah bertujuan untuk mencari yang satu, iaitu mencari keredhaan dari Allah swt, sebagaimana firmanNya dalam surah Thaahaa ayat 84.
Maksudnya:
“Dan aku segera datang kepada Mu, wahai Tuhanku, supaya Engkau redha akan daku”.
Sekiranya setiap amal soleh diletakkan atas nama jihad. Segala pengharapannya diletakkan atas keyakinan hanya kepada Allah swt. Maka sepatutnya sebarang halangan atau rintangan untuk mencapai kesempurnaan hidup, tidak akan mendatangkan kesusuhan, keperitan atau rasa kegusaran tetapi diterima secara berlapang dada. Allah yang mengadakan dan menentukan tiap-tiap sesuatu keatas makhluk ciptaanNya.
FirmanNya dalam surah An-Nahl ayat 127.
Maksudnya:
“Dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan”.
Sidang Jemaah yang dikasehi.
Janganlah kita merasa sedih atau berhiba dengan kekeruhan hidup, kerana sememangnya begitulah kehidupan. Menurut Dr . “Aidh Abdullah Al-Qarni, bahawa kehidupan yang Allah cipta ini, sememangnya bersifat sementara sahaja dan jarang terjadi. Dunia ini dicipta sebagai tempat Allah menguji hambaNya yang mukminin. Sebenarnya, Allah menguji manusia sepanjang hayat, sama ada dalam bentuk keselesaan dan kesenangan atau dalam bentuk keperitan dan kesusahan. Allah menguji keunggulan imannya, iaitu sama ada menurut perintah atau sebaliknya kerana sikap insan suka kepada membantah perintahNya.
Firman Allah swt dalam surah Al_Insan ayat 2.
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat.”
Sekiranya dunia ini bukan tempat ujian, pastilah di dalamnya tidak ada kesakitan dan kesusahan. Umpamanya, tidak susah untuk jadi kaya, tidak sukar untuk menguasai ilmu dan bertaqwa kepada Allah Azawajalla. Rasulullah saw pernah bersabda:
Yang bermaksunya bahawa :
"Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”
Ingatlah, bahawa kehidupan para solihin adalah terpenjara, para ulamak menerima ujian dan cubaan, para wali disengsarakan dan minuman para syadiqin dikeruhkan.
Nabi Adam as terus menerus menerima ujian dari Allah Taala sehingga ke penghujung hayatnya. Nabi Nuh as didustakan dan diejek oleh kaumnya. Nabi Ibrahim as diuji dengan bakaran api dan diperintah menyembelih anaknya. Manakala Nabi Musa as pula mendapat ujian melalui kekejaman Firaun dan kaumnya. Begitu juga Rasulullah saw menerima ujian dengan kehidupan serba kekurangan, kemiskinan dan menempuh berbagai rintangan, kesukaran dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam.
Adakah kita perlu bersedih atau merintih sehingga lupa kepada tanggungjawab dan amanahNya apabila menghadapi tekanan kerja? Adakah kita perlu menjauhkan diri dari masjid sekiranya ahli keluarga melakukan kebejatan? Adakah kita perlu putus harapan sekiranya berlaku kebuluran disebabkan harga barang-barang keperluan melambung tinggi? Atau adakah kita perlu jengkel dan lari dari masyarakat sekiranya hajatnya tidak kecapaian?
Firman Allah Taala dalam surah Al-Balad ayat 4.
Maksudnya:
“Sesunguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran(jasmani dan rohaninya)”
Begitulah Allah yang mengadakan dan menentukan tiap-tiap sesuatu keatas setiap makhluk ciptaanNya. Setiap kesusahan atau kesulitan itu adalah sunnatul Allah. Allah mencipta kesusahan dan kesukaran adalah untuk makhluk yang dibekalkan dengan akal, hati dan nafsu. Setiapa kesusahan dan kesukaran yang ditempuhi untuk mencapai perkara-perkara yang makruf itu, sebenarnya bukan halangan tetapi adalah ujian Allah swt. Allah akan menguji iman hamba yang menjadi pilihanNya, untuk menerima sebaik-baik balasan di akhirat kelak.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Al-Quran sebagai petunjuk dan syifaq menunjukkan panduannya untuk menangani kesakitan dan keperitan yang melanda dalam kehidupan, iaitu dalam surah Yusuf ayat 18.
Maksudnya:
“Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranKu. Dan Allah swt sajalah yang dipohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu ceritakan”.
Ahli sunnah berpendapat bahawa tiga perkara harus dilakukan ketika sedang menghadapi musibah iaitu
“Bersabar, berdoa, kemudian menunggu dan berusaha untuk jalan keluar”
Menurut seorang ulama’ salaf, untuk melepaskan diri dari belenggu kesedihan dan berdukacita, beliau telah berwasit kepada saudaranya:
“Jadikan keinginanmu itu kepada satu arah sahaja, yakni ingin bertemu dengan Allah swt dan bahagia diakhirat”.
Sidang hadirin yang berbahagia.
Marilah berdoa dan terus berdoa semuga kita dikurniakan tahap kesabaran yang tinggi, ditetapkan iman, diringankan bahu untuk memikul ujianNya yang menyakitkan. Dan menjadikan segala amal ibadah dan amal kebajikan yang dilaksanakan itu mendapat keridhaanNya.
TAMAT TEKS.
Jazakallah khairan.
0 comments:
Post a Comment