Ujian demi ujian dihadapi umat Islam adalah peperiksaan untuk mengetahui tahap keimanan kepada Allah. Mereka yang teguh di jalan-Nya tentulah mendapat markah tinggi, manakala yang goyah akan menanggung akibatnya.
Ujian bukan hanya kesukaran hidup, tetapi juga kesenangan yang menjadi sebab seseorang Muslim berjaya atau gagal dalam perhitungan hidupnya. Sejak sekian lama, umat Islam diuji dalam pelbagai bentuk kerana Muslim tidak akan beriman selagi tidak diuji.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian demikian, nyata apa diketahui Allah mengenai orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa diketahui-Nya mengenai orang yang berdosa.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)
Ayat itu menyedarkan kita ujian adalah syarat mendekatkan diri kepada Allah. Tiada seorang Muslim layak mengatakan dirinya sabar tanpa ujian atau beriman tanpa melepasi sesuatu cabaran.
Rasulullah SAW sendiri diuji pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Baginda serta kaum keluarga. Sahabat pula sanggup bersusah payah bersama Baginda walaupun pelbagai dugaan dihadapi kerana iltizam terhadap agama bukan sedikit.
Mereka tetap bersabar, sentiasa teguh dengan perintah Allah dan menganggap ujian bukan batu penghalang mendapat cinta Ilahi.
Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan Al-Imam Muslim bermaksud:
“Betapa ajaibnya orang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi Mukmin. Jika memperoleh kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”
Hari ini, ujian sebahagian umat Islam ialah komitmen terhadap perintah agama. Kemajuan pemikiran membawa dunia yang ‘memayakan’ tindak tanduk manusia. Ia tidak bersalahan dengan agama, bahkan kemodenan membawa banyak keuntungan kepada manusia.
Malangnya, umat Islam tidak memanfaatkan kemajuan serta kemodenan dalam kehidupan serta pegangan mereka. Ramai tidak bersedia memecut laju tetapi pada masa sama sentiasa berada di bawah ketaatan dan perintah syarak.
Akibatnya, dunia dan isinya terus mengawal tindak tanduk manusia, malah pegangan agama tidak menjadi paksi yang menapak kukuh supaya manusia tidak terpesong jauh. Rukun Islam dihafal daripada lagu didendangkan, bukan kerana menjadi pegangan teguh setiap umat Islam di dunia.
Ada sebilangan kecil yang langsung tidak mengetahui rukun lima ini, apatah lagi menunaikan solat lima waktu yang menjadi syarat kekal sebagai Muslim sehingga hari pembelaan.
Mungkin perhitungan Allah masih lambat, maka ramai terlupa, ada pula yakin sempat bertaubat. Selain itu, tanggungjawab diamanahkan juga adalah ujian Allah terhadap setiap manusia.
Boleh dikatakan setiap manusia mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain. Penting mengenal pasti setiap tanggungjawab serta melangsaikannya segera. Bagi yang tidak alpa, tanggungjawab menjadi rutin ditunaikan setiap masa dengan sempurna.
Perlu diingat, ujian juga adalah tanda kasih dan cinta Allah terhadap kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Daripada Anas, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barang siapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barang siapa yang marah (tidak reda), maka Allah murka kepadanya.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tarmizi).
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment