HOT SITE CLICK HERE Hak Wanita | Islam For All
Breaking News
Loading...
Wednesday, March 19, 2014

Hak Wanita




Apabila bersembang secara serius mengenai wanita, umumnya tidak ketinggalan menyebut perihal hak. Wanita juga seronok apabila mempertahan atau memperjuangkan hak, tetapi yang payahnya jika hak itu   tidak dipandang daripada perspektif syariat.


Perkataan hak asalnya daripada perkataan Arab yang diguna pakai dalam bahasa Melayu. Kamus Dewan menyebut antara maksud perkataan hak ialah ‘kuasa atas sesuatu, atau untuk berbuat sesuatu’.

Ibn Manzur berpendapat hak ialah sesuatu dikhususkan atau menjadi bahagian yang mesti diberi kepada  seseorang. Secara jelasnya, boleh dikatakan kuasa itu mesti disabitkan dengan agama, undang-undang dan adat, supaya tidak menyalahi persepsi manusia yang mempunyai Tuhan.

Jika sudah dikata mesti bertunjangkan agama, undang-undang dan adat, lalu apa yang susah sangat untuk difahami ialah jalan hidup manusia tidak boleh jauh dari pesisirnya. Benar kuasa Allah SWT mengatasi  segala-galanya tetapi kita yang sombong dengan perintah Dia, malu pula hendak meminta.

Dalam soal hak, Rasulullah SAW menggunakan pelbagai pendekatan membela hak wanita sama ada secara  langsung atau berkias. Antaranya ialah melarang lelaki mengganggu hak mereka.

Daripada Abd Allah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Jangan kamu halang wanita ke masjid. Namun rumah mereka lebih baik untuk mereka.”

Daripada hadis ini dapatlah kita fahami bahawa berjemaah di masjid adalah diizinkan untuk wanita walaupun Baginda SAW mengutamakan solat mereka di rumah sendiri.

Rasulullah SAW juga mengeluarkan perintah atau larangan kepada wanita demi  menjaga  hak mereka, tetapi lain pula jadinya apabila ramai wanita yang kurang  faham dengan larangan syarak menyebabkan menganggap tujuan larangan itu untuk menafikan  kemampuan atau kebolehan wanita yangsemestinya setaraf dengan kaum Adam.

Sedangkan, larangan itu adalah semata-mata untuk menjaga hak wanita. Pelik juga, wanita cuba  memperjuangkan hak, tetapi apabila agama mempertahankan hak mereka, dikata pula mengongkong.

Contohnya, larangan memakai wangian bertujuan menyelamatkan wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang menjadi bernafsu disebabkan bauan atau wangian yang datang daripada tubuh wanita.

Wangian itu boleh membawa pencemaran kepada kehormatan wanita juga. Mungkin juga kezaliman yang berluasa terhadap wanita disebabkan wanita  meninggalkan pengajaran Nabi SAW.

Selain itu, menjadi hak wanita supaya rahsia diri dan aurat mereka dipelihara serta dijaga. Walaupun  bunyinya mudah, tetapi bukan semua wanita mampu menghayati larangan. Itulah susahnya apabila larangan  menjaga hak dianggap sebagai penyeksaan yang menafikan hak.

Alangkah baiknya daripada wanita berkeluh kesah, kerana hak tidak disamakan dengan lelaki, berusaha  menggalakkan lelaki menunaikan hak mereka sebagai isteri, sama ada isteri tunggal atau yang ke berapa pun.

Suami yang menjaga isteri bukan saja dapat menyelamatkan institusi kekeluargaan, tetapi menjaga tanggungjawab yang akan dipersoalkan pada akhirat kelak. Islam menjamin bagi mereka yang memelihara hak wanita dengan jaminan agama iaitu syurga melewati batasan kebendaan dan kehidupan di dunia sementara ini.

Tambahan pula ramai pemohon yang menunggu kebenaran mahkamah untuk mendirikan ‘masjid’ baru  (yang sedia ada masih baik), jadi eloklah isteri memperingatkan suami tanggungjawab mereka yang besar, jangan pula masjid tahu dibina tetapi tidak pula dimakmurkan.

Mengingatkan hakikat diri wanita, kadang-kadang terasa jauh hati mendengar banyak masalah teman dan taulan yang jauh dan dekat, lantaran mereka tidak dihargai oleh suami yang memimpin insani dalam sebuah usrah didirikan kerana ibadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Terimalah pesananku supaya kamu melakukan  kebaikan kepada wanita. Mereka dicipta daripada tulang rusuk. Sesungguhnya yang paling bengkok pada tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika engkau terus meluruskannya, engkau mematahkannya. Jika engkau membiarkannya maka dia terus bengkok. Terimalah pesananku supaya kamu melakukan kebaikan kepada wanita.”

Barangkali sebahagian sifat wanita dianggap bengkok pada penilaian lelaki, namun ia sifat sebati dengan diri wanita. Bahkan mungkin ia menyuburkan lagi nilai kewanitaan mereka. Ini seperti sifat cemburu,  mudah merajuk, mudah menangis dan seumpamanya.

Sifat itu selalu menghiasi nilai kewanitaan mereka dan menjadikan mereka bertambah indah, jika ia tidak melampaui tahap sewajarnya. Jika mereka bersifat keras seperti lelaki nescaya hilanglah keindahan itu.

Namun sifat ini mungkin dirasakan janggal oleh lelaki lalu dia cuba meluruskannya berdasarkan sifat kelelakiannya, maka ia akan merosakkan hubungan dan nilai. Seperti tulang rusuk tidak wajar dibetulkan kerana demikian ia berfungsi, maka begitu juga membetulkan sifat tertentu pada diri wanita boleh merosakkan mereka.

Jika sikap mereka menjadi seperti lelaki, tentu rumah tangga tidak dapat diuruskan dan kasih sayang tidak dapat dibina. Oleh itu, marilah kita sama-sama seru hak sebagai hamba lebih utama daripada sentiasa   berseteru. Jadi teruslah menjadi abdi kepada yang satu, kerana ia tentunya lebih fardu.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved