HOT SITE CLICK HERE DI MANA KETENANGAN? | Islam For All
Breaking News
Loading...
Friday, December 27, 2013

DI MANA KETENANGAN?





Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat. Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah ‘syurga dunia’ sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.

Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.

Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.

Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.

Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.

Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya. Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.

Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.

Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.

Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!

Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan.

Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.

Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas.

Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.

Lihat sahaja Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin (Tunisia), Ghaddafi (Libya) yang tidak cukup-cukup dengan kuasa. Atau Tiger Woods yang tidak cuku-cukup dengan wanita. Hakikatnya, berjaya mencapai kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan lain-lain tanpa kualiti hati (iman) hanya akan menjurumuskan manusia kepada rasa kekosongan, kemurungan dan kebosanan.

Inilah yang menyebabkan berlakuya penzinaan, rasuah, ketagihan dadah, arak dan sakit jiwa dikalangan individu-individu yang kaya, jelita, berkuasa dan sebagainya.

Bila kualiti hati rendah, sedikit nikmat tidak cukup, banyaknya. Akibat tidak syukur, sabar, qanaah dan redha, diri akan diperhambakan oleh hawa nafsu dan syaitan ke arah kejahatan. Sebaliknya, hati yang kuat mampu mengawal nafsu (kehendak biologi, seksologi dan fisiologi) umpama burung yang menerbangkan sangkarnya. Manakala, hati yang lemah sentiasa terkurung oleh kehendak-kehendak nafsu seperti burung yang terkurung oleh sangkarnya.

Hati yang kuat akan memandang segala-galanya secara positif, mentafsirkannya secara positif dan bertindak secara positif. Inilah yang sering disebut oleh pakar motivasi sebagai berfikiran positif. Dan apabila kita berfikiran positif, segala yang positif akan tertarik kepada kita. Ini pula yang disebut sebagai hukum tarikan (law of attractions) dalam kehidupan.

Apa yang kita yakini dalam hati menentukan sudut pandang (worldview) kita seterusnya mempengaruhi sistem nilai, sikap serta kelakukan kita. Orang yang memiliki hati yang tenang (hasil keimananya kepada Allah) akan melihat segala yang berlaku dari sudut pandangan akidah – tauhidic mind set, lantas sistem nilainya mengikut perspektif Allah dan Rasul-Nya. Nilai ini akan mempengaruhi sikapnya. Ia akan menjadi seorang mukmin yang segala kelakukannya berpandukan syariat dan akhlak Islamiah.

Orang mukmin itu memiliki keajiban dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur. Bila ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semua yang dirasakan indah belaka kerana dia sudah mendapat ‘halawatul iman’ (kemanisan iman). Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala macam bentuk keperluan manusia sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan.

Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu rasa tenang, bahagia dan aman di dalam jiwa seseorang hasil keyakinannya yang tinggi kepada Allah, Al Kitab, Rasul dan lain-lain rukun iman. Ia adalah kemanisan yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasa dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh hati. Orang yang telah merasai kemanisan iman akan rasa indah dalam melakukan ketaatan dan bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah melanda, mampu sabar dan redha. Bahkan dia sanggup mati demi menemui kecintaannya (Allah).

Tidak ada rasa sukar, penat, bosan, rugi dan lain-lain dalam diri orang yang telah merasai kemanisan iman. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan dunia. Mereka yakin apa jua yang ditakdirkan Allah ada baik belaka. Dan hasil keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala yang pahit menjadi penawar, segala yang kotor menjadi bersih dan jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu menapis segala yang negatif menjadi positif.

Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesuburan pohon yang telah berbatang, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Firman Allah:

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Ibrahim: 24)
Kemanisan iman berkadar terus dengan kesempurnaan iman di dalam hati sanubari seseorang. Semakin sempurna, teguh dan kukuh iman seseorang, maka semakin manislah iman itu dirasai olehnya. Oleh itu bukan semua orang yang mengaku beriman dapat merasai kemanisannya. Ini kerana iman itu bukan dengan kata-kata ataupun angan-angan tetapi ia diperkukuhkan dengan perbuatan dan pengorbanan. 


Justeru, sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan, jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan kita pinta masuk ke dalam syurga dengan iman. 


Namun, mana mungkin kita boleh melakukan segala-galanya itu jika iman terasa pahit, pedih dan perit? Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja yang mampu hidup dan mati bersamanya! 


Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan menyebelahinya. Di dalam hadis qudsi, Allah swt berfirman: 
“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Allah akan berkata, “Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba maka cintailah dia. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata, “sesungguhnya Allah mencintai sifulan maka cintailah dia.” (musnad Imam Ahmad dari Abu Hurairah).
Sekali lagi saya ulangi, sebagai peringatan buat diri dan saudara-saudari, siapakah yang berani memusuhi kita sekiranya Allah mencintai kita? Marilah kita berusaha sedaya upaya untuk meraih cinta itu. Walaupun amat sukar tetapi itulah satu-satunya jalan ke arah keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan. Sekalipun tidak sampai, tidak mengapa… asalkan kita telah menempuh jalannya. Allah sesungguhnya menilai apakah kita ‘sudah berjalan’ bukan pada apakah kita ‘sudah sampai’. 


Ukuran iman di hati dapat dikesan melalui ketenangan yang kita rasai. Apakah kita telah tenang? Ataupun masih keluh-kesah dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam kehidupan? Jawabnya, kita sendiri boleh menilainya. Justeru, apa yang berlaku di luar diri kita tidaklah sepenting dengan apa yang berlaku ‘di dalam’ hati kita. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati. 
Sentiasa solat (zikir), istighfar, selawat dan sedekah. Jangan dikotori dengan fitnah, hasad, mengumpat dan marah.


Mujahadah dan istiqamahlah dalam mujahadah. Itulah jalan yang panjang, tetapi itulah jalan yang paling pendek. Tidak ada jalan pintas! 


Wassalam

0 comments:

Post a Comment







Think Positive, Think Islam For All | Something that seems to break the laws of science that makes you think only Allah could have done it | AllahuAkbar | الله أكبر


Copyright © 2014 Islam For All All Right Reserved