BERSEDERHANA DALAM PENGAMBILAN MAKANAN DAN MINUMAN
Membudayakan gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Justeru, kesihatan menjadi harta amat bernilai dalam kehidupan seseorang.
Faktor pemakanan berlebihan atau kandungan yang tidak seimbang sering menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan kanser.
Untuk mengekalkan prestasi kesihatan lebih baik, Islam menggalakkan umatnya bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman.
Mengikut pakar perubatan, kita digalakkan mengambil banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan mengelak makanan berkolesterol serta tinggi lemak.
Kita juga perlu memberi perhatian kepada pengambilan gula dengan memilih makanan dan minuman kurang manis. Selain pemakanan, bersukan atau beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Ini bertepatan saranan Saidina Umar yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani.
Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Seruan ini jelas membuktikan Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas.
Gaya hidup sihat juga dapat diperoleh dengan melakukan ibadah khusus seperti berwuduk, bersolat dan berpuasa. Berwuduk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau rongga.
Persoalannya, ramai daripada umat Islam tidak mengambil berat dan mengabaikan apa yang dituntut Islam mengenai menjaga kesihatan diri. Mereka terbabit dalam pengambilan perkara memudaratkan dan haram seperti minuman beralkohol dan pengambilan dadah yang memberi kesan buruk kepada mereka.
Rasulullah SAW berpesan pada seorang sahabat, Abu Musa al-Asy’ari yang bertanyakan kepada Baginda hukum minuman memabukkan yang berasal daripada madu diperap dan bijirin.
Jawab Baginda SAW dengan ringkas yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan itu adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim)
Satu perkara lagi yang membimbangkan hari ini ialah gejala menghisap rokok dan syisya. Ramai generasi muda terpengaruh dengan tabiat ini sedangkan ia memudaratkan kesihatan.
Menurut pakar perubatan, ada 40 penyakit dikaitkan dengan merokok dan sebahagian penyakit berbahaya itu boleh dicegah jika tidak merokok.
Umat Islam diseru mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga kesihatan diri, tubuh badan, akal fikiran dengan mengambil makanan berkhasiat, berzat lagi halal dan menjauhkan segala perkara memudaratkan serta diharamkan.
Mudah-mudahan dengan cara ini hidup mendapat keberkatan Allah. Luangkan masa memberi perhatian kepada anak supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat. Ajaklah mereka berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup dengan solat secara berjemaah, makan dan beriadah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid seperti mana mereka memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa saja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’, ayat 7)Wassalam.
0 comments:
Post a Comment