ADAB-ADAB PERGAULAN , JANGAN PERCAYA BERITA DARI ORANG-ORANG YANG FASIK!
Surah Hujurat: Ayat 6-8
Terjemahan:
6. Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
7. Dan ketahuilah olehmu bahawa dikalangan kamu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan, benar benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah didalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus
8. Sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dia Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.
Sebab-Sebab Turun Ayat:
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Al Harith Bin Abi Dirar Al Khaza'iy RA memohon kepada Rasulullah SAW agar dia ditugaskan untuk mengumpul zakat dari kaumnya Bani Mushtalaq. Kemudian dia juga memohon kepada Rasul SAW agar baginda mengirim seorang utusan kepadanya untuk mengambil zakat yang sudah dikumpulnya itu untuk selanjutnya diserahkan kepada baginda Rasul SAW.
Rasulullah SAW menyetujui permohonan tersebut lalu kemudiannya mengirim Al Walid Bin 'Uqbah supaya menemui Al Haris untuk mengambil zakat yang terkumpul dan selanjutnya menyerahkannya kepada Rasulullah SAW. Begitu terdengar oleh Al Harits berita tentang kedatangan utusan Rasul SAW itu maka kerana sangat gembiranya maka diajaknyalah kaumnya keluar beramai ramai untuk mengalu alukan kedatangan Al Walid Bin 'Uqbah.
Ketika Al Walid melihat kaum Al Harith (Bani Mushtalaq) begitu ramai menunggunya maka syaitanpun memainkan peranannya iaitu dengan memasukkan perasaan buruk sangka pada jiwa Al Walid kononnya kaum tersebut akan membunuhnya. Lalu Al Walid segera berpatah balik. Diceritakannya kepada Rasulullah bahawa Al Harish enggan menyerahkan zakat kepadanya, malahan kaumnya bermaksud ingin membunuhnya.
Mendengar berita tersebut Rasul SAW dan kaum muslimin lainnya sangat marah kapada Al Harith dan kaumnya. Dan dalam kisah yang lain pula diriwayatkan bahawa Rasul SAW mengirim Khalid Bin Al Walid untuk menyelidiki perkara yang sebenarnya. Khalid mendapati kisah yang sebenarnya tidaklah sebagaimana yang diceritakan oleh Al Walid Bin 'Uqbah. Lalu turunlah ayat di atas.
Tafsiran Ayat:
(6) Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
Dalam ayat diatas Allah SWT mengajar hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa adab (etika) yang berguna bagi mereka samada dalam urusan agama mereka ataupun urusan dunia mereka. Iaitu agar mereka waspada selalu kalau menerima suatu berita kerana sifat setiap berita pasti mengandungi dua kemungkinan iaitu sidq (benar) atau kizb (dusta). Kadang kadang betul dan kadang kadang hanya rekaan saja.
Oleh sebab itu, sesiapa yang menerima suatu berita maka wajib keatasnya supaya terlebih dahulu Tabayyun atau Tathabbut yang ertinya: Menyelidiki sampai di mana kesahihan berita itu. Sekiranya ada bukti kebenarannya barulah dia boleh percaya. Dan kalau ternyata dusta maka dia mesti menolak dan tidak boleh mempercayainya.
(7) Dan ketahuilah olehmu bahawa dikalangan kamu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan, benar benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah didalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus
Ketahuilah bahawa dikalanqan kamu ada Rasulullah SAW. Oleh sebab itu sanjunglah beliau, hormatilah beliau, dan bersopanlah kamu kepada beliau serta laksanakanlah anjuran beliau. Sesungguhnya dia lebih arif tentang kemaslahatan dan kebaikan kamu, malahan beliau lebih sayang kepadamu daripada sayangmu terhadap dirimu sendiri. Pandangan dan bimbingan beliau adalah lebih sempurna jika dibandingkan dengan pandangan kamu sendiri.
Kalaulah beliau menuruti saja semua kemahuan kamu nescaya kamu kelak pasti mendapat kesusahan. Baginda adalah pembimbing kamu kearah kesejahteraan dunia dan akhirat kamu.
Allah pula menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah di dalam hatimu sehingga hatimu terasa suka kepada kebenaran dan sanggup berjuang demi menegakkannya. Dia jugalah yang menjadikan kamu benci kepada kekufuran, kefasikan dan kedurhakaan sehingga hatimu terasa benci kepada segala jenis keburukan.
Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.
Yang dimaksudkan dengan mereka disini ialah orang-orang yang telah Allah hiasi hati mereka dengan iman dan mereka cinta kepada keimanan. Dan Allah juga telah memasukkan perasaan benci dalam hati mereka daripada kekufuran , kefasikan dan kedurhakaan. Mereka inilah orang-orang yang telah mendapat bimbingan Allah. Ilmu dan amalan mereka menjadi baik dan mereka istiqamah berada diatas jalan yang lurus.
Sedangkan lawan daripada golongan diatas " raashiduun " ialah golongan " ghaawuun " iaitu mereka yang suka kepada kekufuran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka benci kepada keimanan.
(8) Sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dia Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.
Yang demikian itu sebagai " kurnia " dan " ni’mat " dari Allah:
Maksudnya: Segala kebaikan yang mereka perolehi diatas iaitu suka kepada keimanan dan benci kepada kekufuran, kefasikan dan kedurhakaan adalah kurnia dan ni’mat yang Allah berikan kepada mereka bukan usaha dan kekuatan mereka semata mata.
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana:
Allah Maha Mengetahui siapakah diantara hamba-Nya yang berhak dan layak mendapat hidayah dan siapa pula yang tidak berhak mendapatkan-nya. Siapa yang pandai bersyukur kepada-Nya akan diberi-Nya taufiq dalam hidupnya, dan sebaliknya siapa yang tidak bersyukur kepada-Nya nescaya tidak diberi-Nya hidayah dalam hidupnya.
" Allah Maha Bijaksana ", maksudnya Allah Maha Bijak dalam segala hal, samada dalam perkataan-Nya, perbuatan-Nya, syai'at-Nya (suruhan dan larangan) dan ketetapan-Nya.
Pengajaran Ayat:
1. Diantara cara syaitan memecahbelahkan umat Islam ialah dengan memasukkan perasaan buruk sangka ketika menerima sesuatu berita yang belum pasti kebenarannya. Lalu dengan bersikap demikian akan mudahlah persaudaraan berubah menjadi permusuhan.
2. Jika suatu berita disampaikan kepada kita oleh seorang fasik maka cara yang betul dan sesuai dengan etika Islam, kita mestilah " tawaqquf " yakni berhenti sejenak atau jangan secara terus diambil dan dipercayai, sehingga terlebih dahulu Tabayyun dan Tathabbut yakni memastikan kebenarannya. Sekiranya ada bukti kebenaran berita itu maka kita terima dan boleh mengamalkannya. Dan sekiranya hanya rekaan saja maka kita mesti tolak dan jangan diamalkan.
3. Kalau perkara diatas pernah terjadi pada sahabat Nabi SAW. Mengapa perkara ini tidak boleh terjadi di kalangan kita sekarang ini? Malahan mengingat keimanan kita pada akhiur zaman jauh lebih tipis, maka sangat memungkinkan perkara yang sama akan terjadi di kalangan kita.
4. Mengapa umat Islam pada akhir zaman sukar bersatu? Malahan dikalangan mereka yang mendakwa menegakkan " sunnah " pun sering dilanda oleh perpecahan. Sikap kurang berhati hati dalam menerima suatu berita adalah diantara penyebab utamanya. Padahal merekalah orang yang paling faham dan sadar betapa pentingnya perpaduan dan ukhuwah islamiyah.
5. Dalam pandangan Islam setiap manusia pada asalnya adalah tidak bersalah sehingga dapat dibuktikan bahawa ia adalah bersalah. Menurut Islam ada dua cara untuk menetukan kesalahan seseorang iaitu:
- Dengan saksi yang cukup,
- Dengan pengakuan dari orang yang berkenaan.
6. Mempercayai berita angin tentang salah laku seorang Muslim tanpa usul periksa dapat membawa kepada penyesalan yang tidak berkesudahan kerana kadang kadang tertanya keadaan yang sebenarnya tidak sebagaimana yang didengar.
7. Dalam hal ini bagus juga kita ketahui bahawa di antara kaedah undang undang di dalam Islam, iaitu: " Membebaskan orang yang bersalah yang diragukan kesalahannya adalah lebih baik daripada menghukumnya di dalam keraguan ". Dan sekiranya ia memang benar benar bersalah, hanya saja tidak cukup bukti kesalahannya umpamanya tidak cukup buktinya atau ia tidak mengaku bersalah sehingga ia tidak dihukum di dunia, semoga Allah akan menghukumnya di akhirat nanti.
Wasallam.
Dari Penulis:
Dalam kes video lucah DSAI. Siapakah orang-orang yang menyampaikan cerita tsb?? Orang alim atau orang yang fasik? Jawapan tentu anda pembaca sudah tahu! Tapi sungguh menyedihkan kerana ada sesetengah dari orang politik yang pura-pura percaya kerana kepentingan politik mereka walaupun sudah tahu semua itu dusta belaka terutama kaki lompat dari Utara yang suka berkopiah kononnya warak.
0 comments:
Post a Comment